Tips Elak Anak Jadi Picky Eater + Cadangan Menu – Pengalaman Peribadi Seorang Ibu
Tips Elak Anak Jadi Picky Eater | Anak susah makan, memilih makanan atau hanya mahu makan menu yang sama setiap hari? Situasi ini memang boleh membuatkan ibu bapa risau dan pening kepala.
Masalah picky eater atau tabiat memilih makanan memang selalu berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ada anak yang hanya mahu makan nasi kosong, ada yang nak makan makanan yang sama je setiap hari dan ada juga yang nak makan snek/jajan je. Hmm.
Sebagai seorang ibu, saya sendiri percaya bahawa membentuk tabiat pemakanan anak bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa sehari dua. Ia memerlukan kesabaran, rutin yang konsisten dan pendekatan yang sesuai dengan usia serta perkembangan anak.
Dalam perkongsian ini, saya kongsikan beberapa tips elak anak menjadi picky eater berdasarkan pengalaman menguruskan waktu makan anak, di samping panduan praktikal yang boleh dicuba oleh ibu bapa di rumah.
Apa Itu Picky Eater?
Picky eater merujuk kepada kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan memilih makanan tertentu dan menolak makanan lain.
Contohnya:
- Hanya mahu makan makanan yang sama setiap hari.
- Menolak makanan dengan tekstur tertentu.
- Tidak mahu mencuba makanan baharu.
- Memilih berdasarkan warna, bau atau rupa makanan.
- Mengambil masa lama ketika makan.
Picky eater bukan bermaksud anak tidak suka makan, tetapi mereka lebih berhati-hati terhadap makanan yang tidak biasa bagi mereka.
Fasa memilih makanan sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak. Anak kecil sedang belajar mengenali rasa, tekstur dan bau makanan, selain mula menunjukkan keinginan untuk membuat pilihan sendiri.
Ada kanak-kanak yang perlu diperkenalkan kepada sesuatu makanan berkali-kali sebelum mereka bersedia mencubanya.
Yang penting, ibu bapa perlu memerhatikan sama ada anak masih mendapat nutrisi yang mencukupi dan membesar dengan baik.

10 Tips Elak Anak Jadi Picky Eater
Berikut ialah beberapa pendekatan yang boleh diamalkan sejak anak mula mengenali makanan pejal supaya mereka lebih terbuka untuk mencuba pelbagai jenis makanan.
1. Perkenalkan Pelbagai Jenis Makanan Sejak Awal
Antara perkara yang boleh membantu mengurangkan kecenderungan memilih makanan ialah memperkenalkan pelbagai rasa dan tekstur secara berperingkat.
Apabila anak mula makan makanan pelengkap sekitar usia 6 bulan, ibu bapa boleh memperkenalkan pelbagai jenis makanan yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan anak mengunyah.
Contohnya:
- Sayur-sayuran seperti lobak merah, brokoli dan labu.
- Buah-buahan seperti pisang, epal dan avokado.
- Sumber protein seperti ayam, ikan, telur dan kekacang yang sesuai.
- Karbohidrat seperti nasi, kentang dan oat.
Cuba pelbagaikan menu dan cara penyediaan makanan supaya anak mendapat peluang mengenali rasa yang berbeza.
2. Jangan Paksa Anak Menghabiskan Makanan
Ini antara perkara paling penting yang saya cuba praktikkan sebagai seorang ibu.
Kadangkala kita terlalu risau apabila melihat anak hanya makan beberapa suap nasi. Akhirnya, kita mula memujuk berkali-kali, menyuapkan makanan secara paksa atau menjanjikan sesuatu sebagai ganjaran.
Namun, memaksa anak makan boleh menyebabkan waktu makan menjadi pengalaman yang menekan.
Sebaliknya, berikan anak peluang untuk menentukan jumlah makanan yang mereka mahu makan. Biar mereka belajar mengenali rasa lapar dan kenyang.
Jika anak sudah menunjukkan tanda kenyang, jangan paksa mereka menghabiskan makanan di dalam pinggan.

3. Makan Bersama-sama Dengan Anak
Anak kecil banyak belajar melalui pemerhatian dan meniru tingkah laku orang di sekeliling mereka. Mereka belajar cara menyuap makanan ke dalam mulut apabila melihat ibu/ayah menyuap makanan.
Jadikan waktu makan sebagai aktiviti keluarga. Duduk bersama, makan makanan yang sama mengikut kesesuaian umur dan tunjukkan contoh menikmati makanan yang disediakan.
Contohnya, apabila makan brokoli, ibu atau ayah boleh menunjukkan cara menikmatinya tanpa perlu memaksa anak mencubanya.
Lama-kelamaan, anak mungkin akan berasa lebih selesa untuk mencuba makanan yang dilihat selalu dimakan oleh ahli keluarga.
Tapi, jika ibu bapa sendiri tidak makan sayur, memang susah untuk anak suka sayur juga. Sebab dia tak nampak ibu atau ayahnya makan sayur. Macam mana dia nak ‘tiru’ makan sayur juga?
4. Elakkan Memberikan Snek Terlalu Hampir Dengan Waktu Makan
Anak yang terlalu kerap diberikan biskut, roti, susu atau makanan ringan mungkin tidak berasa lapar apabila tiba waktu makan utama.
Cuba tetapkan jadual makan yang lebih konsisten, termasuk waktu sarapan, makan tengah hari, makan malam dan snek.
Contohnya:
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 8.00 pagi | Sarapan |
| 10.00 pagi | Snek pagi |
| 12.30 tengah hari | Makan tengah hari |
| 3.30 petang | Snek petang |
| 6.30 petang | Makan malam |
Jadual ini hanyalah contoh dan boleh disesuaikan mengikut rutin keluarga serta keperluan anak.
Elakkan juga memberikan terlalu banyak minuman manis atau susu sehingga anak hilang selera untuk makan makanan utama.
5. Jangan Cepat Mengalah Apabila Anak Menolak Makanan
Ini satu perkara yang ibu bapa perlu faham. Anak mungkin memerlukan beberapa kali pendedahan sebelum bersedia mencuba sesuatu makanan.
Contohnya, hari ini anak menolak brokoli. Esok, dia hanya menyentuhnya. Pada hari berikutnya, dia mungkin menghidu atau merasa sedikit.
Semua ini sebahagian daripada proses mengenali makanan.
Jangan terus menganggap anak tidak suka sesuatu makanan hanya kerana dia menolaknya sekali.
Cuba tawarkan semula makanan tersebut pada hari yang berlainan dengan cara penyediaan yang berbeza.
Tips untuk ibu/ayah: Jika anak tidak mahu makan sayur yang direbus, cuba tawarkan dalam bentuk sup, telur dadar sayur atau sayur yang dipotong kecil mengikut kesesuaian umur.
6. Jadikan Penyediaan Makanan Lebih Menarik
Kanak-kanak biasanya tertarik dengan warna, bentuk dan penampilan makanan. Jadi, ibu/ayah boleh cuba buat makanan yang comel-comel dan ada bentuk.
Antara idea yang boleh dicuba:
- Potong buah-buahan dalam bentuk kecil yang sesuai.
- Susun nasi, sayur dan lauk secara berasingan.
- Gunakan acuan makanan untuk membentuk nasi atau roti.
- Sediakan hidangan dengan gabungan warna semula jadi.
- Hidangkan sayur bersama makanan kegemaran anak.
Pastikan bentuk dan saiz makanan sesuai dengan kebolehan mengunyah anak bagi mengurangkan risiko tercekik.
7. Libatkan Anak Ketika Menyediakan Makanan
Salah satu cara untuk meningkatkan minat anak terhadap makanan ialah melibatkan mereka dalam aktiviti penyediaan makanan.
Bagi anak kecil, aktiviti ini boleh dimulakan dengan perkara mudah seperti:
- Memilih buah yang mahu dimakan.
- Membasuh sayur dengan bantuan ibu.
- Memasukkan potongan sayur ke dalam mangkuk.
- Mengacau adunan dengan pengawasan.
- Membantu menyusun makanan di atas pinggan.
Apabila anak terlibat dalam proses menyediakan makanan, mereka berpeluang mengenali bahan mentah, warna, bau dan teksturnya. Mesti diorang lagi semangat nak cuba makanan yag diorang sediakan/masak sendiri!

8. Jangan Gunakan Gajet Ketika Makan
Telefon pintar, televisyen dan tablet boleh mengalihkan perhatian anak daripada makanan. Cuba wujudkan suasana makan yang lebih tenang tanpa gajet.
Galakkan anak memberi perhatian kepada makanan, mengenali rasa dan menikmati waktu makan bersama keluarga.
9. Berikan Pilihan Makanan Kepada Anak
Kanak-kanak yang semakin membesar biasanya mula mahu membuat keputusan sendiri.
Daripada menentukan semua perkara untuk anak, cuba berikan dua pilihan makanan yang sama-sama berkhasiat.
Contohnya:
- “Adik nak makan pisang atau betik?”
- “Nak telur dadar atau ayam?”
- “Nak brokoli atau lobak merah?”
Cara ini membolehkan anak berasa dirinya mempunyai pilihan tanpa mengabaikan keperluan pemakanan.
Walau bagaimanapun, elakkan menyediakan terlalu banyak menu berbeza setiap kali anak menolak makanan. Ini boleh menyebabkan anak terbiasa mengharapkan menu lain yang lebih disukainya.
10. Bersabar dan Konsisten Dengan Rutin Pemakanan
Membentuk tabiat makan yang baik memerlukan masa.
Ada hari anak makan dengan berselera, tetapi ada juga hari mereka hanya mahu makan sedikit. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan perubahan selera, tahap aktiviti, pertumbuhan atau keadaan kesihatan.
Jangan terlalu cepat berasa kecewa apabila anak menolak makanan yang sudah disediakan.
Teruskan sedia makanan yang pelbagai, kekalkan rutin dan berikan contoh pemakanan yang baik.
Matlamatnya bukan untuk memastikan anak makan semua jenis makanan dalam sehari, tetapi membantu mereka membina hubungan yang positif dengan makanan.
Menu untuk Anak Picky Eater
Ibu-ibu yang sedang cari menu, boleh cuba tiga menu untuk anak picky eater yang disediakan oleh Nutritionistkkm di bawah ini. Mana tahu anak anda suka!
Menu 1: Murtabak Mi

Menu 2: Jejari Kentang Cheese

Menu 3: Nugget Nasi Homemade

Pengalaman Peribadi Seorang Ibu: Apa yang Saya Belajar Tentang Tabiat Makan Anak
Sebagai ibu kepada anak kecil, saya semakin memahami bahawa setiap anak mempunyai selera dan perkembangan yang berbeza.
Ada hari anak makan dengan berselera. Ada juga hari apabila makanan yang biasanya disukai tiba-tiba ditolak. Kadangkala, anak lebih berminat untuk bermain dengan makanan berbanding memakannya.
Pada awalnya, saya sama macam ibu-ibu lain yang marah dan risau apabila melihat anak tidak menghabiskan makanan. Namun, saya belajar bahawa waktu makan tidak sepatutnya menjadi waktu yang menegangkan untuk anak-anak.
Antara pendekatan yang saya cuba utamakan ialah:
1. Tidak terlalu mengejar kuantiti makanan
Saya cuba melihat corak pemakanan anak secara keseluruhan dan bukan hanya berdasarkan satu hidangan. Ada hari anak makan banyak dan ada hari seleranya kurang.
Kalau hari kurang berselera tu, saya hanya katakan; takpe, kalau dah kenyang berhenti je tak perlu habiskan. Simpan, nanti boleh sambung makan semula.
2. Memberikan peluang untuk anak mencuba sendiri
Saya tidak mengharapkan anak terus menyukai semua makanan yang diberikan. Kadangkala, peluang untuk menyentuh, menghidu dan merasa makanan pun sudah menjadi satu proses pembelajaran.
3. Tidak menjadikan makanan sebagai ganjaran
Saya cuba mengelakkan ayat seperti, “Kalau habiskan sayur, baru boleh makan coklat.” Sebaliknya, saya mahu anak memahami bahawa sayur, buah dan makanan lain merupakan sebahagian daripada hidangan harian.
4. Menjadikan waktu makan sebagai rutin keluarga
Saya percaya anak lebih mudah belajar apabila melihat ibu bapa makan makanan yang sama. Jadi, saya cuba menunjukkan contoh dan menjadikan waktu makan sebagai aktiviti yang menyeronokkan.
–
Bagi saya, perkara paling penting ialah tidak membandingkan selera anak dengan kanak-kanak lain.
Setiap anak mempunyai perjalanan perkembangan tersendiri. Apa yang berkesan untuk seorang anak mungkin tidak memberikan hasil yang sama kepada anak lain.
Nota: Perkongsian ini merupakan refleksi pengalaman dan pendekatan keibubapaan, bukannya jaminan bahawa semua anak akan menerima makanan dengan cara yang sama.
Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Ketika Menguruskan Anak Picky Eater
Tanpa sedar, ada beberapa tindakan ibu bapa yang boleh menjadikan waktu makan lebih mencabar.
Antaranya:
- Memaksa anak makan: Boleh menyebabkan anak mengaitkan waktu makan dengan tekanan.
- Memberikan makanan kegemaran sahaja: Anak mungkin kurang mendapat pendedahan kepada pilihan makanan lain.
- Menggunakan gula-gula sebagai ganjaran: Boleh membentuk tanggapan bahawa makanan manis lebih istimewa berbanding makanan berkhasiat.
- Terlalu kerap memberikan snek: Anak mungkin tidak berasa lapar ketika waktu makan utama.
- Memarahi anak apabila menolak makanan: Boleh menjadikan anak semakin tidak selesa untuk mencuba makanan baharu.
- Membandingkan anak dengan kanak-kanak lain: Setiap anak mempunyai selera, perkembangan dan keperluan pemakanan yang berbeza.
Sebaliknya, cuba kekalkan suasana makan yang tenang, tawarkan makanan secara konsisten dan hormati isyarat lapar serta kenyang anak.
Bila Ibu Bapa Perlu Risau Tentang Tabiat Picky Eater?
Walaupun memilih makanan boleh menjadi sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak, ibu bapa tidak sepatutnya mengabaikan perubahan pemakanan yang ketara.
Dapatkan pemeriksaan doktor atau pakar pemakanan kanak-kanak sekiranya anak:
- Mengalami penurunan berat badan atau tidak menunjukkan pertumbuhan yang sepatutnya.
- Hanya menerima terlalu sedikit jenis makanan sehingga menjejaskan kepelbagaian nutrisi.
- Kerap tersedak, batuk atau mengalami kesukaran ketika mengunyah dan menelan.
- Menunjukkan reaksi yang sangat kuat terhadap tekstur, bau atau rupa makanan sehingga mengganggu pemakanan harian.
- Kelihatan lesu atau menunjukkan tanda kekurangan nutrisi.
- Menolak hampir semua makanan atau mengalami perubahan tabiat makan yang berpanjangan.
Jangan tunggu sehingga anak mengalami masalah berat badan sebelum mendapatkan nasihat profesional.
Doktor boleh menilai pertumbuhan, perkembangan, sejarah pemakanan dan kemungkinan masalah kesihatan yang mempengaruhi selera makan anak.
Ya. Ramai kanak-kanak melalui fasa memilih makanan terutama ketika kecil.
Setiap anak berbeza. Sesetengah anak memerlukan beberapa kali pendedahan sebelum menerima makanan baharu.
Tidak digalakkan. Tekanan boleh menyebabkan anak semakin menolak makanan.
Mulakan dengan makanan berkhasiat yang sesuai dengan umur anak seperti protein, buah-buahan, sayur dan karbohidrat.
Teruskan memperkenalkan pilihan baharu secara perlahan tanpa memaksa.
