Apa Perlu Buat Jika Duit Bank Kena Scam? – Buat 3 Benda Ini Serta-Merta!
Duit bank kena scam?! Tindakan serta-merta yang wajib anda lakukan ialah hubungi talian NSRC di 997 dalam tempoh kurang 24 jam, aktifkan fungsi Kill Switch pada aplikasi perbankan anda, dan buat laporan polis dengan segera untuk menyelamatkan wang anda.
Apabila menyedari wang simpanan hilang atau dipindahkan tanpa kebenaran, situasi panik boleh membuatkan mangsa tersalah langkah.
Ingat, setiap saat amat berharga!
Dalam masa beberapa minit sahaja, duit anda boleh hilang tanpa dikesan.
Mengikut statistik, kelewatan bertindak melebihi 24 jam akan mengurangkan peluang untuk mendapatkan semula wang yang telah lesap.
Baca tips-tips penting dibawah untuk mengelakkan anda menjadi mangsa scammer dan tindakan yang perlu dibuat dalam masa 24 jam jika anda ditipu scammer.
- LANGKAH 1: Segera Hubungi NSRC di Talian 997
- LANGKAH 2: Hubungi Talian Hotline & Aktifkan Kill Switch Bank Anda
- Langkah 3: Buat Laporan Polis di Balai Berdekatan
- Teknik Terkini Scammer yang Perlu Anda Tahu
- Jangan Buat Perkara Ini Apabila Sedar Kena Scam
- Cara Kenal Pasti Anda Sedang Berdepan Scammer
- Macam Mana Nak Tahu Scammer ke Tak?
- Tips Agar Anda Tidak Terkena Scam
- Jika Duit Sudah Hilang, Adakah Masih Boleh Dapat Semula?
- Rujukan & Maklumat Lanjut
- FAQ - Soalan Lazim Duit Bank Kena Scam
LANGKAH 1: Segera Hubungi NSRC di Talian 997
Sebaik sahaja menyedari bahawa anda atau orang terdekat telah ditipu scammer, sila hubungi NSRC di talian 997 dalam masa TIDAK LEBIH 24 JAM.
Talian kecemasan sehenti ini beroperasi setiap hari, 24 jam.
Selepas mendapat laporan, NSRC akan menyelaraskan tindak balas oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi:
- mencegah mangsa daripada menghadapi kerugian kewangan selanjutnya;
- berusaha mengesan dana yang telah dicuri;
- menjalankan siasatan terhadap jenayah penipuan tersebut; dan
- mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

Sediakan 5 maklumat penting ini sebelum membuat panggilan:
- Butiran peribadi: Nama penuh dan nombor kad pengenalan anda.
- Maklumat akaun bank: Nombor akaun dan nama bank yang digunakan oleh anda.
- Maklumat akaun penipu: Nombor akaun dan nama bank penerima (akaun keldai).
- Butiran transaksi: Jumlah wang yang hilang serta tarikh dan masa pemindahan berlaku.
- Bukti komunikasi: Nombor telefon scammer atau pautan pancing data (phishing link) jika ada.
NSRC berfungsi menyelaraskan operasi antara Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta institusi perbankan.
Melalui kerjasama ini, aliran wang mangsa ke akaun keldai siber (mule account) dapat dikesan dan disekat dengan serta-merta.
LANGKAH 2: Hubungi Talian Hotline & Aktifkan Kill Switch Bank Anda
Seterusnya, anda juga perlu menghubungi hotline kecemasan 24 jam bank anda dengan segera untuk tindakan pembekuan akaun agar baki wang anda tidak diambil scammer.
Semasa panggilan hotline, maklumkan kepada sistem atau pegawai operator bahawa anda adalah “mangsa penipuan/scam” supaya panggilan anda diletakkan di dalam barisan keutamaan (priority queue).
Aktifkan fungsi Kill Switch
Satu lagi, terus aktifkan fungsi Kill Switch di aplikasi perbankan anda.
Log masuk ke aplikasi perbankan internet anda (seperti MAE, CIMB Clicks, atau HLB Connect) dan aktifkan fungsi Kill Switch untuk membekukan akaun serta-merta tanpa perlu menunggu bantuan pegawai bank.
Setiap bank di Malaysia kini diwajibkan menyediakan butang kecemasan digital ini sebagai benteng pertahanan terakhir pengguna.
Contoh cara aktifkan fungsi Kill Switch untuk pengguna Maybank (MAE):



Senarai Hotline Bank
- Hong Leong Bank: 03-7626 8899 (Perbankan Telefon & Laporan Kad Hilang/Scam 24 Jam).
Maybank: +603 5891 4744 (Hotline Fraud 24 Jam), 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +603-7844 3696 (Luar Negara) - RHB: +603-9206 8118 (Talian 24 Jam).
- BSN: 03-2613 1900 (Pusat Perhubungan BSN / Lapor Fraud).
- CIMB: +603 6204 7788 (Pusat Perhubungan Pengguna 24 Jam).
- Bank Rakyat: : 1-300-80-2273 (Talian 24 jam / Tempatan), +603-5526 8800 (Talian 24 jam luar negara).
Jangan bertangguh walaupun seminit, kerana scammer profesional mampu mengosongkan akaun anda dalam tempoh beberapa saat sahaja selepas berjaya menceroboh.
📌Sila lakukan semakan semula talian hotline bank anda yang terkini di laman web rasmi bank masing-masing.
Langkah 3: Buat Laporan Polis di Balai Berdekatan
Selain memaklumkan kepada bank anda atau NSRC, anda juga perlu membuat laporan polis. Tindakan ini penting bagi membolehkan pihak polis memulakan siasatan rasmi.
Pastikan anda hubungi bank anda atau hotline 997 NSRC terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis di balai polis berdekatan okay.
Laporan polis akan menjadi dokumen undang-undang yang sah untuk membolehkan pihak bank melakukan siasatan rasmi dan membantu pihak berkuasa menjejaki pemilik akaun keldai.
Dokumen dan bukti yang wajib dibawa ke balai polis:
- Penyata Bank Rasmi: Cetak atau muat turun penyata yang menunjukkan aliran wang keluar.
- Tangkap Layar (Screenshot): Simpan gambar bukti transaksi resit pindahan wang, tarikh, masa, dan nombor akaun penerima.
- Log Komunikasi: Bawa bukti teks perbualan WhatsApp/Telegram, rekod panggilan, atau pautan phishing yang dihantar oleh scammer.
- Maklumat Identiti Scammer: Sediakan nombor telefon, nama, atau pemegang akaun bank yang digunakan oleh penipu.
Selepas laporan siap, pastikan anda mendapat salinan laporan polis yang disahkan oleh pegawai bertugas.
Seterusnya, serahkan salinan tersebut kepada cawangan bank anda dengan segera untuk memulakan proses tuntutan atau siasatan dalaman.
Laporan polis yang lengkap dan pantas amat membantu mempercepatkan kes anda di bawah pemantauan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).
Teknik Terkini Scammer yang Perlu Anda Tahu
Sekarang ni macam-macam teknik yang scammer buat untuk dapatkan duit anda. Kadang-kadang tak terfikir dek akal.
Berikut ialah beberapa teknik terkini scammer yang anda perlu tahu agar tidak terpedaya:

- Duit Masuk Akaun Secara Tiba-Tiba: Anda menerima transaksi kemasukan wang daripada pihak tidak dikenali. Scammer kemudiannya akan menghubungi anda mendakwa mereka “tersalah hantar” dan meminta anda memulangkan wang tersebut ke akaun lain (yang sebenarnya merupakan akaun keldai atau berkaitan sindiket pinjaman haram).
- Tawaran Kerja yang Minta Bayaran Awal: Iklan tawaran kerjaya sambilan yang menjanjikan pulangan lumayan dan tugasan yang nampak sangat mudah. Bagaimanapun, anda akan diwajibkan untuk membuat bayaran modal atau yuran pendahuluan terlebih dahulu sebelum boleh memulakan kerja.
- Mesej Palsu Daripada Pegawai LHDN: Mangsa menerima mesej atau panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Mereka akan mengugut bahawa anda mempunyai tunggakan cukai tidak berbayar atau akaun syarikat tersangkut dengan kes mahkamah untuk memaksa anda memindahkan wang.
- Emel atau Mesej Klon yang Nampak Rasmi: Taktik pancing data (phishing) menggunakan e-mel, SMS, atau mesej digital yang meniru bulat-bulat logo, gaya penulisan, dan identiti institusi rasmi. Mesej ini mengandungi pautan luar yang mendesak anda mengemas kini maklumat perbankan internet atau maklumat peribadi.
- Pautan Iklan Bantuan Kerajaan Palsu: Scammer menaja iklan palsu di Facebook mengenai permohonan skim bantuan rumah atau e-tunai rakyat. Apabila ditekan, anda akan dibawa ke laman web klon yang meminta nombor telefon, lalu kod OTP dihantar untuk membolehkan mereka menceroboh dan mengambil alih akaun Telegram anda.
- Ulasan Produk / “Task” Shopee-Lazada: Bermula dengan mesej tawaran kerja sambilan yang hanya memerlukan anda “like” video TikTok atau beri rating hotel. Selepas dibayar komisen RM10-RM30 untuk tugasan awal, anda akan dimasukkan ke grup VIP dan dipaksa mendepositkan wang modal yang besar kononnya untuk “task” pulangan tinggi.
- APK Muat Turun Aplikasi Luar: Pengguna ditawarkan pakej perkhidmatan murah seperti servis cuci rumah, tempahan katering, atau agensi pembantu rumah melalui media sosial. Mangsa kemudian diarah memuat turun fail aplikasi (.APK) untuk membuat bayaran, yang mana aplikasi tersebut sebenarnya mengandungi perisian hasad (malware) untuk mencuri log masuk akaun bank internet anda.
- Resit Pindahan Wang Palsu: Scammer menyamar sebagai pembeli barang berharga tinggi (seperti iPhone atau emas). Mereka akan menghantar tangkap layar (screenshot) resit pemindahan bank yang nampak tulen, tetapi sebenarnya telah diedit menggunakan aplikasi menukar angka. Mangsa hanya sedar ditipu selepas menyerahkan barang dan menyemak baki akaun yang masih kosong. Biasanya mangsa tertipu dengan duit yang masuk tapi sebenarnya masih ‘floating’ dan boleh dibatalkan oleh scammer apabila dah dapat barang.
- Taktik “Lebih Bayar” & Minta Pulangkan Baki: Scammer berpura-pura membeli barang daripada anda dan menghantar resit palsu yang menunjukkan mereka “terlebih bayar” (contohnya harga barang RM100, tetapi resit menunjukkan RM1,000). Mereka kemudiannya mendesak anda memulangkan baki RM900 dengan kadar segera sebelum anda sempat menyemak transaksi sebenar di aplikasi bank.
- Penipuan COD (Cash on Delivery) “Barang Misteri”: Scammer menghantar bungkusan (parcel) ke rumah anda menggunakan perkhidmatan kurier secara COD, walaupun anda tidak pernah memesan barang tersebut. Ahli keluarga di rumah yang tidak tahu perkara sebenar akan membayar wang tunai kepada penghantar kurier, hanya untuk mendapati kandungan kotak tersebut hanyalah barang murah atau sampah.
- Ugutan “Barang Sangkut di Kastam”: Pembeli kononnya membeli barang dari luar negara, atau rakan siber mendakwa menghantar hadiah mewah kepada anda. Tiba-tiba, anda dihubungi oleh “agen kurier palsu” yang mendakwa barang tersebut ditahan oleh pihak Kastam diraja Malaysia kerana mengandungi wang tunai atau barang terlarang, dan anda dipaksa membayar “denda” atau “cukai” ke akaun peribadi untuk melepaskannya.
- Penyamaran Pegawai PTPTN & Ugutan Senarai Hitam (Blacklist): Scammer menghubungi pelajar universiti (terutamanya yang baru menerima wang pinjaman atau baru bergraduasi) dengan menyamar sebagai pegawai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Scammer minta nombor akaun bank untuk semakan dan sebagainya.
Jangan Buat Perkara Ini Apabila Sedar Kena Scam
Apabila menyedari wang anda telah hilang, tindakan yang salah boleh menyebabkan anda kerugian lebih banyak wang atau memadamkan bukti penting yang diperlukan oleh pihak polis.
Sila pastikan anda TIDAK melakukan perkara-perkara berikut:
- Jangan Padam Mesej atau Log Panggilan: Jangan sesekali memadamkan perbualan WhatsApp, Telegram, SMS, atau log panggilan dengan scammer. Semua ini adalah bukti digital yang sangat bernilai untuk siasatan polis dan pihak bank.
- Jangan Beritahu Scammer yang Anda Dah Tahu: Elakkan daripada mengugut atau memarahi scammer selepas sedar ditipu. Jika mereka tahu helah mereka sudah terbongkar, mereka akan memadamkan akaun profil, menyekat nombor anda, dan menghilangkan diri dengan lebih cepat.
- Jangan Percaya “Agensi Penyelamat” atau Hacker Berbayar: Jangan melayan individu di media Sosial yang mendakwa mereka “pakar IT” atau ethical hacker yang boleh mendapatkan semula duit anda dengan bayaran tertentu. Ini adalah taktik Scam Peringkat Kedua (Recovery Scam) yang akan menipu wang anda buat kali kedua.
- Jangan Guna Telefon yang Sama Jika Ada Simptom Digodam: Jika wang anda hilang selepas memuat turun fail APK, jangan teruskan penggunaan aplikasi perbankan di telefon tersebut. Matikan sambungan internet (Wi-Fi / Data Mobil) serta-merta untuk memutuskan akses scammer ke dalam peranti anda.
- Jangan Rahsiakan Daripada Ahli Keluarga: Jangan memendam rasa malu atau takut untuk bercerita dengan keluarga terdekat. Sokongan moral amat penting dalam situasi panik sebegini bagi mengelakkan anda membuat keputusan yang meluru.
Artikel lain: 8 Tips Simpan Duit Kahwin RM15,000 Dalam Masa 18 Bulan (1 Tahun Setengah)
Cara Kenal Pasti Anda Sedang Berdepan Scammer
Jika anda mengalami situasi ini, anda sah sedang berdepan dengan penipu:
- Mendesak Bertindak Serta-Merta (Rasa Panik Palsu): Mereka akan menggunakan taktik menakut-nakutkan seperti ugutan waran tangkap, akaun bank dibekukan, atau tawaran diskaun yang akan tamat dalam masa beberapa minit. Matlamat mereka adalah supaya anda panik dan bertindak tanpa berfikir panjang.
- Minta Maklumat Perbankan Sulit: Tiada institusi kewangan, PDRM, LHDN, atau PTPTN yang akan meminta nombor pin kad ATM, kata laluan perbankan internet, atau kod OTP/TAC anda melalui panggilan telefon atau mesej teks.
- Mengarahkan Pindahan Wang ke “Akaun Pihak Ketiga”: Jika seorang “pegawai kerajaan” mengarahkan anda memindahkan wang ke akaun peribadi individu atau akaun syarikat yang tidak dikenali atas alasan “pemeriksaan audit” atau “akaun selamat”, itu adalah 100% scam.
- Minta Bayaran Pendahuluan Untuk Pulangan Lumayan: Sama ada untuk urusan tawaran kerja sambilan, kelulusan pinjaman peribadi pantas, atau cabutan bertuah, mereka akan meminta anda membayar “yuran proses” atau “wang modal” terlebih dahulu.
- Menghantar Pautan (Link) atau Fail APK Meragukan: Mereka enggan menggunakan platform rasmi seperti Google Play Store atau Apple App Store. Sebaliknya, mereka mendesak anda menekan pautan luar untuk memuat turun fail aplikasi (.APK) atau mengisi borang butiran bank di laman web klon.
Macam Mana Nak Tahu Scammer ke Tak?
Untuk mengetahui sama ada individu yang menghubungi anda itu scammer atau bukan, anda boleh mengesan tanda amaran (red flags) utama perbualan dan menggunakan saluran semakan rasmi yang disediakan oleh pihak berkuasa di Malaysia.
1. Guna Portal Semak Mule
Sebelum membuat sebarang transaksi ke akaun tidak dikenali, sentiasa buat semakan di portal rasmi Semak Mule PDRM.
Masukkan nombor akaun bank, nombor telefon atau nama syarikat yang mencurigakan tersebut ke dalam sistem.
Jika nombor akaun atau nombor telefon tersebut mempunyai rekod laporan polis, batalkan niat anda serta-merta.

2. Aplikasi Whoscall (Rakan Strategik PDRM)
Whoscall merupakan aplikasi rasmi yang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM.
Anda boleh muat turun aplikasi ini siap-siap melalui laman web rasmi Whoscall.
Aplikasi ini akan memaparkan notifikasi merah bertulis “Scammer” atau “Likely Fraud” terus pada skrin telefon anda apabila nombor penipu membuat panggilan.
Whoscall juga mempunyai fungsi terbina untuk menyemak sama ada pautan SMS atau WhatsApp yang dihantar oleh nombor tidak dikenali itu selamat atau merupakan pautan pancing data (phishing)

3. Aplikasi Truecaller
Anda boleh memuat turun aplikasi Truecaller atau melayari laman web mereka untuk memasukkan nombor telefon tidak dikenali.
Sistem akan menyemak nombor tersebut berdasarkan laporan jutaan pengguna lain. Anda boleh melihat tulisan seperti “Scammer LHDN”, “Scammer J&T”, atau “Fake Buyer” yang diletakkan oleh mangsa terdahulu jika nombor tersebut adalah nombor scammer.
Muat turun aplikasi Truecaller di: https://www.truecaller.com/scam-alert

4. CCID Scam Response Centre (03-26101559 / 03-26101599)
Jika anda ragu-ragu dengan kesahihan panggilan atau akaun pihak ketiga, anda boleh terus menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 untuk membuat pertanyaan.

Tips Agar Anda Tidak Terkena Scam
Mencegah adalah lebih baik daripada terpaksa menanggung kerugian wang ringgit yang besar. Mengikut saranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), anda boleh melindungi diri dan akaun perbankan daripada scammer dengan mengamalkan tips keselamatan ini:
- Amalkan Formula “3 TIDAK”:
- TIDAK panik jika diugut
- TIDAK percaya tawaran melampau
- TIDAK akan berkongsi sebutir pun maklumat perbankan sulit dengan orang asing seperti nombor PIN kad ATM, kata laluan perbankan internet, jawapan soalan keselamatan, atau kod OTP/TAC kepada sesiapa sahaja, termasuk individu yang mengaku sebagai pegawai bank.
- Jangan Tekan: Elakkan daripada menekan pautan (link) yang dihantar melalui SMS, e-mel, atau WhatsApp tidak dikenali. Agensi rasmi tidak akan meminta anda mengemas kini butiran akaun melalui pautan luar.
- Muat Turun Aplikasi Rasmi Sahaja: Jangan sesekali memasang fail aplikasi berformat
.APKyang dihantar oleh individu tidak dikenali di luar platform Google Play Store atau Apple App Store.
- Sahkan Identiti Pemanggil: Jika menerima panggilan daripada agensi kerajaan (LHDN, PDRM, PTPTN, atau Mahkamah), letakkan panggilan tersebut serta-merta. Cari nombor telefon rasmi agensi berkenaan di laman web rasmi mereka dan hubungi semula untuk pengesahan.
- Aktifkan Sekatan Spam Digital: Muat turun aplikasi keselamatan seperti Whoscall untuk membantu menapis, mengesan, dan memberikan amaran automatik bagi nombor telefon scammer yang ada dalam rekod laporan polis
- Semak Sebelum Transaksi: Jadikan tabiat untuk menyemak nombor telefon atau akaun bank pihak ketiga di portal Semak Mule PDRM terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pemindahan wang harian.
Jika Duit Sudah Hilang, Adakah Masih Boleh Dapat Semula?
Ramai mangsa tertanya-tanya sama ada wang yang telah dipindahkan boleh dikembalikan.
Jawapannya bergantung kepada beberapa faktor seperti:
- Seberapa cepat laporan dibuat.
- Status transaksi.
- Tindakan bank.
- Hasil siasatan.
Tiada jaminan wang pasti kembali, tetapi laporan segera boleh meningkatkan peluang tindakan lanjut.
Rujukan & Maklumat Lanjut
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai trend penipuan siber terkini atau ingin membuat laporan penipuan kewangan, anda boleh rujuk saluran dan agensi rasmi berikut:
- Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC):
- Talian Kecemasan: 997 (Beroperasi setiap hari, 8:00 pagi – 8:00 malam).
- Laman Web Rasmi: nsrc.my
- Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM:
- Pusat Respons Scam CCID: 03-26101559 / 03-26101599 (Untuk pertanyaan dan semakan taktik scam).
- Portal Semakan Akaun & Telefon: semakmule.rmp.gov.my
- Bank Negara Malaysia (BNM):
- Talian BNMTELELINK: 1-300-88-5465
- Laman Web Rasmi: bnm.gov.my
FAQ – Soalan Lazim Duit Bank Kena Scam
Peluang untuk mendapatkan semula wang adalah sangat bergantung kepada kepantasan anda bertindak. Jika anda menghubungi NSRC di talian 997 dalam tempoh kurang dari 24 jam, ada kemungkinan wang tersebut sempat disekat sebelum dikeluarkan oleh akaun keldai. Bagaimanapun, jika wang sudah dikeluarkan dari sistem perbankan, proses pemulangan adalah tertakluk kepada hasil siasatan penuh polis dan pihak bank.
Anda wajib menghubungi NSRC serta-merta atau dalam tempoh 24 jam pertama selepas menyedari transaksi penipuan berlaku. Setiap saat amat berharga kerana scammer akan memindahkan wang anda ke beberapa akaun keldai lain dalam masa beberapa minit sahaja untuk memadamkan jejak.
Pihak bank akan menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu. Mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM), jika kehilangan wang berpunca daripada kecuaian sistem bank, pihak bank bertanggungjawab sepenuhnya. Bagaimanapun, jika mangsa secara sukarela menyerahkan kod OTP/TAC atau memasang fail APK meragukan, proses tuntutan ganti rugi adalah bergantung kepada budi bicara dan hasil siasatan kes.
– NSRC 997: Talian kecemasan kecurian wang siber untuk menyekat aliran transaksi mangsa serta-merta.
– CCID PDRM (03-26101559): Talian pertanyaan untuk membuat semakan taktik scam, mengadu panggilan meragukan, atau menyemak status kes jenayah komersil.
Hubungi 997 (NSRC), call talian hotline bank, aktifkan fungsi Kill Switch pada aplikasi perbankan anda, dan buat laporan polis dengan segera untuk peluang menyelamatkan wang anda.
Penafian: Artikel ini ditulis untuk tujuan perkongsian maklumat dan kesedaran keselamatan digital sahaja, serta tidak boleh dianggap sebagai nasihat perundangan atau jaminan kewangan rasmi daripada pihak bank mahupun pihak berkuasa. Sekiranya anda telah menjadi mangsa penipuan siber, anda wajib menghubungi talian kecemasan NSRC di 997 atau institusi perbankan anda dengan serta-merta bagi mendapatkan bantuan.