10 Tips Penjagaan Kereta Asas yang Perlu Anda Tahu – Boleh Buat Sendiri Di Rumah!
Tips penjagaan kereta harian yang paling mudah ialah membuat pemeriksaan ringkas secara konsisten terhadap komponen utama seperti tayar, papan pemuka, minyak enjin, cecair penyejuk, brek, lampu, dan terminal bateri. Langkah pencegahan awal ini membantu mengesan kerosakan lebih cepat sebelum menjadi lebih serius dan memerlukan kos pembaikan yang mahal.
Kereta yang masih boleh bergerak tidak semestinya bermaksud semuanya berada dalam keadaan baik. Ada masalah yang pada peringkat awal hanya menunjukkan tanda kecil seperti tayar semakin kurang angin, bunyi brek yang berubah, atau enjin mengambil masa lebih lama untuk dihidupkan.
Lama-kelamaan, isu kecil ini akan menjadi semakin teruk jika dibiarkan tanpa pemantauan.
Sebagai pemilik kereta, ada beberapa perkara asas yang boleh diperiksa sendiri sebelum memandu. Mari kita semak 10 tips penting penjagaan kereta yang berguna di bawah.
Ringkasan: Apa Yang Perlu Diperiksa?
Penjagaan kenderaan secara konsisten ialah usaha memastikan kereta sentiasa berada dalam keadaan optimum, selamat, dan sedia dipandu. P
Pemeriksaan kecil secara berkala sangat membantu pemilik mengesan tanda awal kerosakan. Berikut ialah ringkasan komponen utama yang wajib diperiksa SECARA RUTIN:
- Tayar: Pantau tekanan angin, keadaan bunga, rekahan, atau benjolan fizikal.
- Dashboard Meter: Beri perhatian kepada sebarang lampu amaran luar biasa.
- Minyak Enjin: Semak paras pelincir mengikut spesifikasi rasmi pengeluar.
- Cecair Kenderaan: Pantau cecair penyejuk radiator, minyak brek, dan minyak kotak gear.
- Sistem Brek: Ambil tindakan jika pedal terasa lembut, bergetar, atau berbunyi.
- Sistem Lampu: Pastikan lampu hadapan, belakang, brek, dan isyarat berfungsi.
- Terminal Bateri: Periksa kekukuhan sambungan dan bersihkan sebarang kesan kakisan.
- Jadual Servis: Patuhi jadual penyelenggaraan berkala yang ditetapkan oleh kilang.
Amalan pemeriksaan kenderaan ini hanyalah langkah keselamatan asas pemilik sahaja. P
Pemeriksaan harian ini sama sekali tidak menggantikan keperluan servis berkala atau pemeriksaan menyeluruh oleh mekanik profesional di pusat servis.

Penjagaan Kereta Bantu Elak Poket Koyak!
Menjaga kereta sebenarnya tidak memerlukan anda menjadi seorang mekanik atau membuka enjin setiap hari.
Ia lebih kepada membina tabiat konsisten untuk memastikan kenderaan sentiasa bersih, selamat dan selesa dipandu.
Amalan asas ini boleh bermula dengan langkah mudah seperti:
- Memeriksa keadaan fizikal keempat-empat tayar.
- Memastikan semua lampu luaran berfungsi dengan baik.
- Memerhatikan jika terdapat sebarang titisan atau kesan cecair di bawah kereta.
- Memberi perhatian kepada perubahan ketika memandu, seperti bunyi pelik, gegaran atau stereng yang terasa berbeza daripada biasa.
Mudahkan?
Sebab utama kita perlu rajin memeriksa kereta adalah untuk mengenal pasti tanda-tanda masalah lebih awal sebelum ia menjadi kerosakan yang lebih serius dan mahal untuk dibaiki.
Sebagai contoh, tekanan tayar yang tidak mencukupi boleh menjejaskan pengendalian kenderaan, mempercepatkan kehausan tayar dan meningkatkan penggunaan bahan api.

Dari sudut keselamatan pula, JPJ Negeri Selangor sangat menggalakkan pemeriksaan asas kenderaan sebelum perjalanan, termasuk keadaan tayar, lampu dan brek.
Bagi pemeriksaan teknikal tertentu, pemilik boleh merujuk PUSPAKOM untuk mengetahui keperluan dan skop pemeriksaan yang berkaitan.
10 Tips Penjagaan Kereta yang Boleh Dilakukan Sendiri
Memperuntukkan masa sekitar 5 minit setiap pagi untuk memeriksa komponen asas kenderaan amat digalakkan oleh pihak berkuasa demi mengurangkan risiko kemalangan akibat kegagalan teknikal.
Berikut adalah langkah pemeriksaan yang boleh anda lakukan sendiri:
1. Periksa Tayar Sebelum Memandu
Tayar ialah antara komponen paling penting dalam penjagaan kereta. Sebelum memulakan perjalanan, buat pemeriksaan dan lihat keadaan keempat-empat tayar kereta anda dengan teliti.
Checklist pemeriksaan tayar:
- Periksa tekanan angin tayar. โ – Tekanan tayar perlu mengikut spesifikasi pengeluar kenderaan.
- Lihat jika ada rekahan fizikal. โ
- Kenal pasti benjolan pada dinding tayar. โ
- Pastikan tiada objek tajam yang tertusuk di tayar โ
- Perhatikan jika bunga tayar kelihatan haus atau haus secara tidak sekata. โ
Jika tayar mengalami kerosakan yang ketara atau tekanan angin kerap berkurangan, dapatkan pemeriksaan di kedai tayar atau pusat servis yang sesuai.
Mengikut Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, nilai tekanan yang disyorkan biasanya boleh dirujuk pada pelekat di bingkai pintu pemandu, penutup tangki bahan api atau di dalam manual pemilik.

2. Perhatikan Lampu Amaran Pada Dashboard Meter Kereta
Jangan abaikan lampu amaran yang muncul pada dashboard meter kereta anda. Setiap simbol mempunyai maksud tertentu.
Jika lampu amaran muncul bersama simptom seperti enjin panas, kehilangan kuasa, bunyi pelik atau bau terbakar, jangan teruskan perjalanan seperti biasa.
Berhenti di lokasi yang selamat dan dapatkan pemeriksaan jika perlu.
Maksud Simbol di Dashboard Kereta
Jom rujuk maksud-maksud simbol pada meter kereta anda di bawah:


3. Semak Paras Minyak Enjin (Minyak Hitam)
Jangan malas semak minyak enjin secara rutin. Minyak enjin memainkan peranan penting dalam memastikan enjin sentiasa beroperasi dengan lancar, mengurangkan geseran serta memanjangkan jangka hayat komponen enjin.
Sebelum membuat pemeriksaan pastikan kereta berada dalam tempat yang rata dan enjin tidak panas. Gunakan batang celup (dipstick) untuk memeriksa tahap minyak hitam. Pastikan paras minyak berada dalam julat yang ditetapkan.
Jika minyak terlalu rendah, tambah menggunakan minyak dengan gred dan spesifikasi yang disyorkan untuk kenderaan anda. Jangan menambah minyak enjin secara berlebihan.
Berdasarkan tips JPJ Negeri Perlis (Unit Keselamatan Jalan Raya & Korporat JPJ Negeri Perlis), anda disarankan memeriksa paras minyak enjin sekurang-kurangnya sekali sebulan atau sebelum memulakan perjalanan jauh.
Untuk mengetahui bila minyak perlu ditukar, rujuk manual pemilik atau jadual servis model kereta anda kerana selang penyelenggaraan berbeza mengikut kenderaan.

4. Pantau Paras Cecair Penyejuk Enjin (Coolant)
Cecair penyejuk membantu mengawal suhu enjin dan penting untuk mengurangkan risiko enjin mengalami masalah akibat terlalu panas.
Periksa paras coolant pada tangki simpanan apabila enjin sudah sejuk dan pastikan ia berada dalam julat yang ditetapkan. Jangan sesekali membuka penutup radiator ketika enjin masih panas kerana cecair dan wap bertekanan boleh menyebabkan kecederaan.
Jika paras coolant kerap berkurangan, terdapat kesan kebocoran atau enjin menunjukkan tanda terlalu panas, jangan terus memandu seperti biasa. Dapatkan pemeriksaan untuk mengetahui puncanya.

Ramai orang suka isi air paip biasa ke dalam tangki simpanan radiator. Saya sendiri pernah amalkan tabiat ini pada kereta lama saya selama setahun.
Kesannya?
Karat mula menyumbat saluran radiator menyebabkan enjin ‘overheat’ (terlalu panas) secara tiba-tiba di tengah-tengah jalan raya.
Ketahuilah, kos membaiki ‘head gasket’ yang terbakar mencecah ribuan ringgit, jauh lebih mahal berbanding harga sebotol cecair coolant tulen.
5. Dengar Sebarang Bunyi Pelik
Jangan abaikan perubahan bunyi ketika memandu.
Contohnya:
- bunyi berdecit ketika membrek,
- bunyi ketukan dari ruang enjin,
- bunyi dengung yang semakin kuat,
- bunyi geseran,
- atau bunyi pelik ketika membelok.
Bunyi yang luar biasa tidak semestinya bermaksud kerosakan besar, tetapi ia boleh menjadi petunjuk awal bahawa sesuatu komponen perlu diperiksa.
6. Periksa Sistem Brek
Brek merupakan komponen keselamatan yang tidak boleh dipandang ringan.
Antara tanda yang tidak patut diabaikan ialah pedal brek terasa terlalu lembut, kereta menarik ke satu arah ketika membrek, pedal atau stereng bergegar, atau kedengaran bunyi yang luar biasa ketika membrek.
Bunyi berdecit tidak semestinya bermaksud pad brek sudah rosak kerana terdapat beberapa kemungkinan punca. Jadi, elakkan membuat diagnosis sendiri berdasarkan bunyi semata-mata.
Jika prestasi brek berubah dengan ketara, dapatkan pemeriksaan mekanik secepat mungkin.
Jangan jadi macam saya. Bulan lepas, setiap kali saya tekan brek masa nak ‘parking’, ada bunyi besi bergesel. Saya buat tak tahu je.
Sekali masa bawa keluarga pergi berjalan-jalan, tengah atas lebuhraya ni, masa tekan pedal brek rasa ‘kosong’ dan dalam sangat bila dipijak. Berderau darah saya. Bila check kat bengkel, pad brek dah nipis gila sampai makan piring disk. Kalau lambat, memang boleh hilang brek terus.
TIPS:
Berikut ialah 7 Isyarat Amaran Brek Perlu Diperiksa yang dikongsikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia:
- BUNYI: Bunyi berciut atau ketukan semasa membrek.
- SERET: Kenderaan terseret ke tepi apabila membrek.
- PEDAL RENDAH: Pedal brek mencecah ke lantai.
- PEDAL KERAS: Pedal brek perlu dipijak dengan kuat.
- MENCENGKAM: Brek mencengkam dengan sedikit sentuhan.
- BERGETAR: Pedal brek bergetar walaupun semasa membrek normal.
- LAMPU: Lampu brek menyala pada papan pemuka.

7. Pastikan Semua Lampu Berfungsi
Seterusnya, pastikan lampu kereta anda berfungsi dengan baik. Periksa lampu hadapan, lampu brek, lampu signal kiri dan kanan, lampu belakang dan lampu undur.
Cara mudah ialah meminta seseorang melihat dari luar ketika anda menghidupkan lampu, menekan pedal brek dan menggunakan signal.
Jika ada lampu yang tidak menyala, periksa atau gantikan komponen yang berkaitan secepat mungkin.
Lampu kenderaan yang berfungsi dengan sempurna bukan sahaja membantu anda melihat dengan jelas, malah memastikan kenderaan anda mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain, terutama ketika hujan, waktu malam atau keadaan cuaca kurang baik.

8. Periksa Cecair Brek dan Cecair Transmisi (Minyak Gearbox)
Selain minyak enjin dan coolant, terdapat cecair lain yang berkaitan dengan sistem tertentu dalam kenderaan.
Cara Memeriksa Cecair Brek (Brake Fluid)
- Cari Takungan: Buka bonet depan dan cari silinder yang biasanya berwarna lutsinar di bahagian belakang ruang enjin.
- Periksa Paras Cecair: Pastikan paras cecair berada di antara garisan MIN (Minimum) dan MAX (Maximum). Jangan biarkan ia berada di bawah paras MIN.
- Periksa Warna & Kejelasan: Cecair brek yang baharu berwarna jernih atau kekuningan. Jika warnanya bertukar menjadi coklat gelap, hitam, atau keruh, ia bermakna cecair sudah tercemar dan wajib ditukar segera.
Cara Memeriksa Cecair Transmisi / Minyak Gearbox (Transmission Fluid)
Cecair transmisi memastikan pertukaran gear kenderaan (sama ada automatik atau manual) berjalan dengan lancar dan mengurangkan geseran komponen dalaman.
- Gunakan Dipstick (Minyak Gear): Sesetengah kenderaan mempunyai dipstick untuk memeriksa paras cecair transmisi, tetapi tidak semua model menggunakan kaedah ini. Rujuk manual pemilik kerana prosedur pemeriksaan boleh berbeza mengikut jenis transmisi. Jika tidak pasti, minta mekanik membuat pemeriksaan.
- Cara Menguji: Periksa paras cecair mengikut manual kenderaan anda (sesetengah model memerlukan enjin dihidupkan atau dipanaskan terlebih dahulu). Cabut dipstick, lap bersih, masukkan semula, dan tarik keluar untuk melihat parasnya.
9. Periksa Bateri Dan Terminal Bateri
Bateri kereta ini ibarat “jantung” yang menyalurkan tenaga elektrik untuk menghidupkan enjin dan menghidupkan sistem radio, lampu, serta pendingin hawa.
Sebab itu, anda perlu periksa selalu keadaan fizikal bateri dan terminalnya.
Perhatikan jika ada skru yang longgar, retak, atau dilitupi serbuk kerak berwarna putih kehijauan. Kerak atau karat ini sebenarnya adalah kesan hakisan berasid yang boleh menyekat aliran elektrik.
Kalau anda perasan enjin kereta dah mula semput atau mengambil masa lama untuk “hidup” setiap kali memulas kunci, itu tanda awal bateri anda sudah semakin lemah.
Bagaimanapun, jika anda tidak yakin atau takut untuk mengendalikannya sendiri, jangan memandai-mandai mencabut wayar atau membersihkan kerak tersebut. Sebaiknya, terus bawa kereta ke bengkel berdekatan untuk meminta bantuan mekanik yang lebih pakar demi keselamatan.
Cara ‘Jump Start’ Bateri Kereta Dengan Betul
Jika bateri kereta anda sudah benar-benar lemah sehingga enjin tidak boleh dihidupkan, anda memerlukan bantuan kereta lain untuk melakukan proses jump start.
Anda boleh rujuk panduan yang disediakan oleh PUSPAKOM di bawah:
Langkah Sambungan Kabel Jumper:
- Sambung Kabel Merah (Positif): Kepitkan hujung kabel merah pada terminal positif (+) bateri kereta yang mati (Nombor 1), kemudian sambungkan hujung satu lagi ke terminal positif (+) bateri kereta yang membantu (Nombor 2).
- Sambung Kabel Hitam (Negatif): Kepitkan hujung kabel hitam pada terminal negatif (-) bateri kereta yang membantu (Nombor 3).
- Cari Titik Bumi (Grounding): Sambungkan hujung kabel hitam yang satu lagi pada bahagian logam badan atau blok enjin kereta yang mati (Nombor 4).
- Nota Keselamatan Penting: Jangan sesekali menyambung kabel hitam ini terus pada terminal negatif (-) bateri kereta yang mati untuk mengelakkan risiko percikan api atau letupan gas bateri.
Langkah Menghidupkan Enjin:
- Hidupkan enjin kereta yang membantu terlebih dahulu dan biarkan seketika.
- Seterusnya, cuba hidupkan enjin kereta yang mati.
- Setelah enjin kereta yang mati berjaya dihidupkan, biarkan kedua-dua enjin terus berjalan selama beberapa minit untuk memulakan proses pengecasan semula.
Langkah Menanggalkan Kabel:
- Buka semula sambungan kabel satu persatu mengikut urutan terbalik daripada langkah di atas (Tanggalkan mengikut turutan Nombor 4 โก๏ธ Nombor 3 โก๏ธ Nombor 2 โก๏ธ Nombor 1).

Dulu, saya ingatkan proses jump start ini setakat hantam pasang sahaja janji merah bertemu merah, hitam bertemu hitam.
Akibat kurang ilmu, saya pernah tersambung kabel hitam terus ke terminal negatif bateri kereta yang mati.
Kesannya, keluar percikan api yang agak besar. Jadi, pastikan anda baca betul-betul cara nak ‘jump start’ kereta di atas okay.
10. Patuhi Jadual Servis
Ini antara tips penjagaan kereta harian yang paling penting untuk pemilik kenderaan. Walaupun kereta anda nampak macam tiada masalah dan lancar sahaja, jangan sesekali culas atau sengaja melambatkan servis berkala.
Tempoh servis boleh berbeza mengikut model, jarak perjalanan, usia kenderaan dan cara penggunaan.
Penyelenggaraan berkala membantu memastikan komponen penting diperiksa dan diselenggara pada masa yang sesuai.
Rutin Ringkas Penjagaan Kereta yang Boleh Diamalkan
Melakukan pemeriksaan asas kenderaan sebenarnya tidak memerlukan masa yang lama atau jadual yang padat.
Anda boleh membahagikan tugasan ringkas ini mengikut garis masa harian, mingguan, dan berkala seperti panduan di bawah:

Sebelum Memandu (Rutin Harian)
Luangkan masa seketika sebelum memulakan perjalanan untuk melihat keadaan asas kenderaan. Pemeriksaan ringkas ini tidak perlu mengambil masa yang lama.
- Fizikal Tayar: Lihat jika ada tayar yang kelihatan kurang angin, pancit, retak atau mempunyai objek asing seperti paku.
- Lantai Parkir: Perhatikan jika terdapat kesan titisan atau tompokan cecair yang luar biasa di bawah kereta.
- Keadaan Cermin: Pastikan cermin hadapan, belakang dan sisi cukup bersih untuk memberikan pandangan yang jelas.
- Dashboard Meter: Selepas enjin dihidupkan, perhatikan jika terdapat lampu amaran yang kekal menyala atau muncul secara luar biasa.
Setiap Minggu
Luangkan beberapa minit untuk pemeriksaan yang sedikit lebih terperinci, terutama jika kereta digunakan setiap hari.
- Tekanan Angin: Gunakan tolok tekanan untuk memeriksa tekanan setiap tayar dan sesuaikan mengikut spesifikasi pengeluar.
- Sistem Lampu: Periksa lampu hadapan, lampu brek, lampu signal, lampu belakang dan lampu undur untuk memastikan semuanya berfungsi.
- Kebersihan Kabin: Pastikan kawasan pemandu bebas daripada botol, beg, kasut atau objek lain yang boleh mengganggu pergerakan pedal.
- Pantau Bunyi dan Gegaran: Ambil perhatian jika terdapat bunyi berdecit, ketukan, gegaran atau perubahan lain ketika memandu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Secara Berkala (Mengikut Jadual Servis)
Pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala perlu dilakukan mengikut jadual yang disyorkan oleh pengeluar kenderaan. Skop servis boleh berbeza mengikut model, jarak perbatuan, usia kenderaan dan cara penggunaannya.
Antara perkara yang mungkin diperiksa atau diselenggara termasuk:
- Minyak dan Cecair: Periksa atau tukar minyak enjin serta cecair lain mengikut keperluan dan spesifikasi kenderaan.
- Bateri: Periksa keadaan bateri, terminal dan sistem pengecasan, terutama jika enjin semakin sukar dihidupkan.
- Brek dan Suspensi: Minta mekanik memeriksa keadaan pad brek, cakera, penyerap hentak dan komponen berkaitan apabila tiba masa servis atau jika terdapat perubahan ketika memandu.
- Penyaman Udara: Periksa sistem penyaman udara jika aliran udara semakin lemah, kurang sejuk, mengeluarkan bau luar biasa atau menunjukkan tanda masalah lain.
Perlu diingat: pemeriksaan harian bukan pengganti kepada servis berkala di bengkel. Ia merupakan lapisan penjagaan tambahan yang membantu anda mengesan perubahan pada kenderaan lebih awal sebelum masalah menjadi lebih serius.

Bila Kereta Perlu Diperiksa Oleh Mekanik?
Tidak semua masalah kereta boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan luaran. Jika anda mula menyedari perubahan pada prestasi atau keadaan kenderaan, lebih baik dapatkan pemeriksaan mekanik sebelum masalah menjadi lebih serius.
Antara tanda yang tidak wajar diabaikan ialah:
- Lampu amaran kekal menyala selepas enjin dihidupkan.
- Brek terasa berbeza, terlalu lembut atau menghasilkan bunyi luar biasa.
- Enjin terlalu panas atau suhu meningkat melebihi kebiasaan.
- Terdapat kebocoran cecair yang tidak dapat dikenal pasti puncanya.
- Stereng atau kenderaan bergegar ketika memandu.
- Kereta menarik ke satu arah ketika bergerak atau membrek.
- Enjin sukar dihidupkan atau prestasinya berubah secara ketara.
- Terdapat bunyi pelik yang berulang atau semakin kuat.
Bagi masalah yang melibatkan brek, tayar, stereng atau enjin terlalu panas, jangan mengambil risiko dengan terus memandu seperti biasa. Jika keadaan kenderaan dirasakan tidak selamat, berhenti di lokasi yang sesuai dan dapatkan bantuan profesional.
Pemeriksaan oleh mekanik juga penting apabila sesuatu masalah memerlukan peralatan diagnostik atau kerja pembaikan yang tidak sesuai dilakukan sendiri.
| Pemeriksaan | Kekerapan | Boleh buat sendiri? | Bila perlu ke bengkel? |
|---|---|---|---|
| Keadaan tayar | Sebelum perjalanan | โ Ya | Ada benjol/kerosakan |
| Tekanan tayar | Mingguan | โ Ya | Tekanan kerap turun |
| Lampu | Mingguan | โ Ya | Lampu/fius bermasalah |
| Minyak enjin | Mengikut manual | โ Untuk model tertentu | Paras kerap berkurang |
| Coolant | Berkala | โ Periksa paras ketika enjin sejuk | Kerap berkurang/panas |
| Brek | Perhatikan ketika memandu | โ ๏ธ Pemeriksaan asas | Pedal pelik/bunyi/gegaran |
| Transmission fluid | Mengikut model | โ ๏ธ Bergantung model | Tidak pasti prosedur |
| Bateri | Berkala | โ Pemeriksaan visual | Sukar hidup/masalah elektrik |
Rujukan
Untuk maklumat lanjut mengenai standard keselamatan kenderaan, undang-undang automotif, dan panduan penyelenggaraan rasmi, anda boleh merujuk kepada sumber di bawah:
NOTA EDITOR: Artikel ini telah disemak berdasarkan panduan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan manual penyelenggaraan kenderaan standard. Namun, sekiranya terdapat kesalahan maklumat atau fakta yang kurang tepat, sila maklumkan kepada pasukan eWarta agar artikel ini boleh disemak semula demi menyediakan panduan yang tepat & terkini kepada pembaca.
FAQ – Soalan Lazim Tips Penjagaan Kereta
Antara yang penting ialah memeriksa tayar, lampu, brek, paras cecair, lampu amaran dan sebarang perubahan bunyi atau tingkah laku kereta. Pada masa sama, ikut jadual servis yang disyorkan oleh pengeluar.
Tidak semua komponen perlu diperiksa setiap hari. Namun, pemeriksaan ringkas seperti melihat keadaan tayar, lampu amaran, cermin dan tanda kebocoran boleh dilakukan sebelum perjalanan, terutama sebelum perjalanan jauh.
Tempoh atau jarak penukaran minyak enjin bergantung kepada model dan spesifikasi kenderaan. Rujuk manual pemilik atau jadual servis pengeluar kerana tiada satu tempoh yang sesuai untuk semua kereta.
Tekanan tayar yang sesuai membantu mengekalkan pengendalian dan prestasi tayar. Tekanan yang terlalu rendah atau tinggi boleh menyebabkan kehausan tidak sekata dan menjejaskan ciri pemanduan.
Periksa simbol lampu amaran dan rujuk manual pemilik. Jika lampu menunjukkan masalah serius atau disertai simptom luar biasa, berhenti di tempat yang selamat dan dapatkan pemeriksaan profesional.
Ya. Kebersihan ialah sebahagian daripada penjagaan kenderaan, tetapi ia bukan pengganti kepada penyelenggaraan mekanikal seperti servis enjin, pemeriksaan brek dan pemeriksaan tayar.
Ya. Kereta baharu juga perlu mengikuti jadual penyelenggaraan pengeluar bagi memastikan komponen diperiksa dan diselenggara pada masa yang ditetapkan.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah bunyi geseran yang luar biasa, getaran ketika membrek, pedal terasa pelik atau perubahan pada keupayaan membrek. Jika terdapat tanda sedemikian, dapatkan pemeriksaan secepat mungkin.
Bateri patut diberi perhatian jika kereta semakin sukar dihidupkan, sambungan terminal berkarat atau terdapat tanda fizikal yang mencurigakan. Pemeriksaan profesional boleh menentukan keadaan sebenar bateri.
Tidak. Penjagaan yang baik boleh membantu mengesan masalah lebih awal dan mengurangkan risiko sesetengah kerosakan, tetapi ia tidak menjamin kereta tidak akan mengalami masalah. Komponen tetap mempunyai jangka hayat dan boleh rosak akibat usia, penggunaan atau faktor lain.
Penafian (Disclaimer): Maklumat dalam artikel Tips Penjagaan Kereta Harian ini disediakan untuk tujuan perkongsian informasi am sahaja. Tips dalam artikel ini sama sekali tidak menggantikan nasihat teknikal atau pemeriksaan profesional daripada mekanik bertauliah.