Sinking Fund – Maksud, Senarai Perbelanjaan yang Perlu, Formula & Cara Buat Simpanan

infografik mengenai maksud dan cara buat sinking fund

Sinking fund adalah dana simpanan khas yang dikumpul secara konsisten setiap bulan untuk membayar komitmen atau perbelanjaan yang sudah diketahui akan berlaku pada masa hadapan (biasanya setahun sekali). Contoh sinking fund utama termasuklah bayaran insurans kereta, yuran sekolah anak, cukai tanah, dan perbelanjaan Hari Raya.

Berbeza dengan dana kecemasan (emergency fund) yang digunakan untuk perkara yang tidak dijangka, sinking fund berfungsi sebagai pelindung aliran tunai bulanan anda.

Dengan mengasingkan wang lebih awal, anda dapat mengelakkan ‘poket koyak’ atau terpaksa berhutang apabila bil tahunan perlu dibayar.

Berikut adalah 11 senarai sinking fund tahunan yang wajib anda sediakan untuk memastikan aliran kewangan anda lebih baik.

Apa Itu Sinking Fund? – Konsep Mudah

Pernah tak masuk bulan tertentu, tiba-tiba banyak pula duit yang perlu dikeluarkan?

Awal tahun mungkin perlu bayar insurans dan cukai jalan kereta. Beberapa bulan kemudian anak perlukan pakaian atau kelengkapan sekolah. Kemudian datang pula musim perayaan, servis kereta, cukai tertentu, hadiah untuk keluarga atau perbelanjaan bercuti.

Masalahnya, semua perbelanjaan ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara mengejut.

Kita sebenarnya sudah tahu ia akan datang, cuma duitnya tidak disediakan lebih awal. Di sinilah konsep sinking fund boleh membantu.

Secara ringkasnya, sinking fund ialah tabung simpanan khas yang dibina sedikit demi sedikit untuk membayar perbelanjaan yang dijangka berlaku pada masa akan datang.

Ia bukan duit untuk dibelanjakan sesuka hati dan bukan juga duit kecemasan.

Contohlah, anda ada insurans kereta berjumlah RM1,200 yang memang perlu dibayar setahun sekali. Jadi, anda mengetepikan kira-kira RM100 sebulan selama setahun untuk membuat pembayaran kelak dan bukannya mencari RM1,200 sekaligus apabila tarikh pembayaran tiba. Inilah dia konsep sinking fund.

Konsep ini boleh digunakan untuk perbelanjaan seperti penyelenggaraan kereta, percutian, perayaan, yuran sekolah dan pembelian barang yang mahal tetapi boleh dirancang.

Penafian: Maklumat ini disediakan sebagai panduan maklumat umum sahaja dan bukan nasihat kewangan mutlak. 
infografik apa itu sinking fund

Perbezaan Sinking Fund dan Emergency Fund

Adakah sinking fund dan emergency fund ni sama?

Jawapannya, tidak.

Sinking Fund tidak sama dengan Emergency Fund. Dua-dua ni berbeza. Sebelum kita pergi lebih jauh, kita perlu faham perbezaan asas ini agar strategi simpanan anda tidak tersasar:

Sinking Fund Emergency Fund
Untuk perbelanjaan yang boleh dijangka Untuk perkara tidak dijangka
Tahu tujuan wang akan digunakan Tidak tahu bila diperlukan
Contoh: Insurans kereta, percutian, yuran sekolah, hari perayaan Contoh: Kehilangan pekerjaan, kereta rosak, anak sakit
Boleh digunakan apabila matlamat tiba Digunakan apabila benar-benar berlaku kecemasan

Dengan mengasingkan sinking fund, anda tidak akan mengganggu dana kecemasan utama anda apabila komitmen tahunan menjelma.

infografik Sinking Fund dan Emergency Fund

TIPS: Untuk membuat kiraan emergency fund yang perlu disimpan, anda boleh gunakan kalkulator percuma yang disediakan PIDM ini untuk membuat kiraan. Klik sini: https://www.pidm.gov.my/finlit/pidm-emergency-savings-calculator

11 Senarai Sinking Fund Tahunan yang Wajar Anda Sediakan

Untuk memudahkan pengurusan kewangan, anda sangat digalakkan untuk membuat tabung khas bagi setiap kategori di bawah.

Jangan satukan semuanya dalam satu baki akaun utama bagi mengelakkan isu “terpakai” untuk kehendak peribadi.

infografik 11 senarai sinking fund tahunan

1. Roadtax & Takaful / Insurans Kereta

Ini antara perbelanjaan tahunan yang paling selalu membuatkan pemilik kenderaan terkejut apabila tiba masa pembaharuan.

Selain roadtax, pemilik kenderaan biasanya perlu menyediakan wang untuk takaful atau insurans kenderaan. Jumlahnya pula boleh berbeza mengikut faktor seperti jenis kenderaan, perlindungan yang dipilih dan faktor berkaitan polisi.

Sebab itu, jangan tunggu sebulan sebelum tarikh tamat baru fikir hendak mencari wang.

Sebagai contoh, jika anggaran takaful/insurans dan roadtax ialah RM1,200 setahun:

RM1,200 รท 12 = RM100 sebulan

Anda hanya perlu memperuntukkan RM100 sebulan untuk tabung tersebut.


2. Keperluan Sekolah Anak

Perbelanjaan persekolahan bukan sekadar yuran. Persediaan sesi persekolahan baharu boleh melibatkan banyak perkara antaranya baju sekolah baharu, kasut, beg, alat tulis, bayaran buku, kelengkapan peralatan sekolah, wang saku duit, duit bayaran kelab dan sebagainya.

Masalahnya, kebanyakan perbelanjaan ini berlaku dalam tempoh yang hampir sama.

Daripada menunggu sehingga waktu nak masuk sekolah baru mengeluarkan simpanan untuk perbelanjaan sekolah anak, adalah lebih baik anda sediakan tabung (sinking fund) lebih awal.

Sebagai contoh, saya ada dua orang anak bersekolah rendah. Setiap bulan, saya akan asingkan sebanyak RM100 untuk seorang. Setahun dapat, RM1200 ‘dana’ untuk seorang.

Duit itulah yang nanti digunakan untuk cover semua perbelanjaan sekolah yang mendatang. Walaupun kadang-kadang wang tersebut tidak mencukupi, tapi sekurang-kurangnya dapatlah membantu meringankan sedikit perbelanjaan yang diperlukan.


3. Zakat Fitrah & Zakat Harta

Bagi umat Islam, zakat juga boleh dimasukkan dalam perancangan kewangan.

Namun, jangan anggap semua orang mempunyai jumlah zakat yang sama atau semestinya perlu membayar semua jenis zakat.

Kewajipan dan jumlah zakat bergantung kepada jenis zakat serta syarat yang berkaitan, termasuk nisab dan haul bagi zakat harta tertentu.

Zakat fitrah pula mempunyai ketetapan yang berbeza dan kadar bayaran ditentukan mengikut negeri.

Jika anda memang sudah mengetahui anggaran jumlah zakat yang perlu disediakan, anda boleh membuat tabung khas supaya wang tersebut tidak bercampur dengan perbelanjaan harian.

Contohnya, jika anggaran kewajipan yang perlu disediakan ialah RM600 setahun:

RM600 รท 12 = RM50 sebulan

Dengan cara ini, apabila tiba masa untuk menunaikannya, wang tersebut sudah tersedia.


4. Perbelanjaan untuk Perayaan

Perayaan adalah salah satu kategori perbelanjaan yang menelan kos tinggi. Inilah masanya untuk berkumpul dengan keluarga, makan-makan, hias rumah dan sebagainya.

Salah satu kesilapan yang boleh berlaku ialah bergantung sepenuhnya kepada bonus atau gaji pada bulan sebelumnya untuk membiayai semua persiapan.

Untuk mengelakkan poket kering hujung-hujung, sebaiknya, anda bina sinking fund untuk sambutan perayaan sepanjang tahun.

Contohnya, sasaran anda ialah RM1,500. Jadi, anda boleh kira simpanan yang diperlukan ialah: RM1,500 รท 12 = RM125 sebulan

Apabila musim perayaan tiba, anda sudah mempunyai dana khas untuk perbelanjaan tersebut. Tak perlu pening kepala nak korek duit simpanan lagi.

Lagi satu, anda juga boleh gunakan sasaran sinking fund ini sebagai bajet utama perbelajaan. Jangan berbelanja lebih pulak!

Sebagai umat Islam, ada dua perayaan utama yang disambut setiap tahun iaitu. Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Hah, sukar juga nak buat simpanan bulanan untuk kedua-duanya.

Cara yang saya dan adik beradik lain gunakan ialah dengan berkongsi duit.

Sebagai contoh, untuk Hari Raya Puasa, kami tetapkan RM3,000 untuk perbelanjaan rumah di kampung. RM3,000 itu kami bahagikan kepada 5 orang bersaudara. Jadi, seorang kena kumpul RM600 je.

RM3,000 ini adalah untuk belanja katering hari raya pertama (makan-makan keluarga terdekat je) dan baju raya sedondon. Kalau ada lebihan boleh buat untuk hias rumah secara sederhana.

Tips ini mungkin terpakai untuk mereka yang belum berkeluarga/berkahwin sahaja.


5. Cukai Tanah & Cukai Taksiran

Jika anda memiliki hartanah di Malaysia, jangan lupa masukkan cukai berkaitan hartanah dalam kalendar kewangan tahunan anda. Antaranya:

  • Cukai Tanah (Quit Rent): Dibayar sekali setahun kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri. Ia adalah cukai bagi hak milik tapak atau tanah tempat hartanah anda berdiri.
  • Cukai Taksiran / Cukai Pintu (Assessment Rates): Dibayar dua kali setahun kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti DBKL, MBPJ, dan sebagainya. Dana ini digunakan untuk kos penyelenggaraan kawasan sekitar seperti kutipan sampah, pembersihan longkang, dan lampu jalan.

Mengasingkan RM15 hingga RM35 sebulan dalam sinking fund memastikan anda tidak terbeban dengan bayaran sekaligus.


6. Maintenance / Penyelenggaraan Rumah

Walaupun tiada kerosakan besar berlaku, rumah anda tetap memerlukan wang penyelenggaraan berkala untuk beberapa perkara penting, antaranya seperti:

  • Servis Penghawa Dingin (Aircond): Perlu dilakukan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali untuk mengelakkan kerosakan kompresor.
  • Kos Kosmetik & Struktur: Kerja-kerja mengecat semula dinding yang pudar atau berlumut.
  • Pembaikan Paip & Plumber: Menukar kepala paip yang bocor atau mengatasi masalah longkang tersumbat.
  • Sistem Elektrikal: Menukar lampu LED yang terbakar atau membaiki suis dinding yang rosak.
  • Peralatan & Kerosakan Kecil: Membeli perkakasan DIY rumah atau membetulkan tombol pintu yang longgar.

Perbelanjaan penyelenggaraan rumah ini kadangkala sukar diramal dengan tepat. Oleh itu, langkah paling praktikal adalah dengan menetapkan satu anggaran tahunan yang tetap.

  • Formula Mudah: RM1,200 setahun รท 12 bulan = RM100 sebulan.

Jika pada bulan tersebut tiada sebarang kerosakan berlaku, jangan belanjakan duit itu.

Biarkan wang tersebut terus terkumpul di dalam tabung khas. Apabila tiba masanya penghawa dingin tiba-tiba rosak atau bumbung rumah mula bocor, anda sudah mempunyai dana sedia ada yang memang telah diperuntukkan khas untuk tujuan tersebut tanpa perlu mengusik duit gaji bulanan.


7. Aktiviti Pendidikan Anak

Kos ini merujuk kepada pelaburan jangka panjang untuk pembangunan minda dan bakat anak-anak.

Perbelanjaan ini berbeza daripada keperluan fizikal persekolahan (seperti baju atau beg) kerana ia melibatkan yuran komitmen berkala.

Sesebuah keluarga mungkin mempunyai perbelanjaan seperti:

  • Kelas Akademik Tambahan: Kos tuisyen bulanan atau kelas intensif menjelang peperiksaan.
  • Pendidikan Keagamaan: Yuran bulanan untuk kelas mengaji, fardu ain (KAFA), atau kelas tahfiz kejiranan.
  • Pembangunan Bakat & Fizikal: Kos pendaftaran untuk aktiviti sukan (seperti kelas renang atau taekwondo) dan aktiviti kokurikulum.
  • Program Bermusim: Bayaran untuk menyertai kem motivasi, kem ibadah, atau lawatan sambil belajar anjuran sekolah.

Dengan mewujudkan sinking fund pendidikan, anda boleh memasukkan kos berkala ini ke dalam bajet bulanan sepanjang tahun.

Sebagai contoh, jika total yuran pendaftaran tadika dan kelas tambahan adalah RM600 setahun, anda hanya perlu menyimpan RM50 sebulan.

Tindakan proaktif ini memastikan proses pembelajaran anak-anak berjalan lancar tanpa gangguan kewangan.


8. Langganan Tahunan & Annual Membership

Inilah antara kategori perbelanjaan yang paling kerap terlepas pandang oleh kebanyakan orang termasuklah saya.

Cuba semak semula penyata bank atau kad kredit anda. Pasti ada beberapa langganan tahunan yang dicaj secara automatik (auto-billing) pada tarikh pembaharuan tertentu.

Contohnya:

  • Netflix
  • Spotify
  • Cloud Storage
  • Permainan Online (Game)
  • Software kerja
  • Keahlian tertentu

Jika beberapa komitmen ini diperbaharui pada bulan yang sama, baki kad kredit atau akaun bank anda boleh terjejas teruk.

Dengan memperuntukkan sejumlah wang sebulan ke dalam tabung khas, anda tidak perlu lagi panik apabila menerima notifikasi pembaharuan untuk langganan/membership anda.

9. Sambutan Istimewa Keluarga (Harijadi, Anniversary, dll)

Perbelanjaan ini boleh menjadi sangat besar dan membebankan sekiranya beberapa tarikh penting dalam keluarga anda jatuh pada bulan yang berturut-turut.

Cara paling bijak untuk mengekalkan keharmonian keluarga tanpa merosakkan aliran tunai adalah dengan menetapkan satu bajet siling tahunan yang jelas.

Contohnya: RM600 setahun รท 12 bulan = RM50 sebulan.

Dengan memasukkan RM50 setiap bulan ke dalam tabung hadiah khas, anda telah membina satu sistem pertahanan kewangan yang baik.

Apabila tiba tarikh penting, anda boleh membelikan hadiah atau menaja makan malam istimewa secara tunai tanpa perlu mengorek bajet barangan dapur, membayar bil utiliti, atau mengusik dana simpanan utama.


10. Percutian Keluarga/Balik Kampung

Sama ada rancangan untuk pulang ke kampung halaman pada musim perayaan mahupun membawa keluarga bercuti bagi merehatkan minda, kedua-duanya memerlukan kos yang tidak sedikit.

Kesilapan besar yang sering dilakukan adalah mengira bajet untuk kos penginapan dan tiket utama sahaja, sedangkan perbelanjaan tersembunyi lain yang menyebabkan poket bocor.

Cara saya, saya akan senaraikan keseluruhan kos yang diperlukan, seperti:

  • Logistik & Pengangkutan: Kos minyak kenderaan, bayaran tol, atau pembelian tiket penerbangan dan kereta api (ETS).
  • Penginapan & Penginapan Singgah: Kos hotel, homestay, atau Airbnb sepanjang tempoh perjalanan.
  • Makan: Bajet untuk makan di restoran viral, kedai kopi, atau kos membeli bahan mentah jika memasak bersama keluarga.
  • Aktiviti & Tiket Tarikan: Bayaran pas masuk ke taman tema, muzium, atau tempat menarik lain.
  • Duit Poket: Simpanan tunai untuk membeli buah tangan, cenderamata, serta perbelanjaan luar jangka untuk keperluan anak-anak sepanjang percutian.

Kos balik kampung atau percutian ini biasanya berlaku antara 2 hingga 4 kali setahun. Dengan memasukkan kategori ini ke dalam sinking fund, anda boleh mengumpul dana secara konsisten setiap bulan berdasarkan sasaran tarikh percutian tersebut.


11. Tabung Korban

Jika anda merancang untuk menunaikan ibadah korban, anda juga boleh memasukkan sasaran tersebut dalam perancangan kewangan tahunan.

Sebagai contoh, macam tahun ini, harga satu bahagian korban kambing adalah sekitar RM850+. Tapi, anda boleh sasarkan RM1,000 untuk kenaikan harga tahun hadapan.

Jadi, simpanan yang diperlukan ialah kira-kira RM83.33 sebulan jika dikumpulkan selama 12 bulan untuk sasaran RM1000.

Simpan untuk buat korban tahun seterusnya bermula dari bulan pertama selepas hari raya korban tahun ini.

Lebih baik semak harga semasa dan laraskan jumlah simpanan apabila sudah mengetahui sasaran sebenar.

Berapa Banyak Sinking Fund Perlu Disimpan Setiap Bulan?

Ada berbagai cara untuk buat sinking fund. Salah satu cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan formula pengiraan ini:

Jumlah diperlukan รท Bilangan bulan sebelum pembayaran = Jumlah simpanan bulanan

Berdasarkan 11 kategori di atas, berikut ialah contoh pengiraan sinking fund yang perlu disimpan mengikut formula yang kita bincangkan:

Simulasi Pengiraan Sinking Fund Bersasaran

Kategori Sinking Fund Anggaran Kos (Setahun) Simpanan Bulanan (12 Bulan)
1. Roadtax & Insurans RM 1,200 RM 100.00
2. Keperluan Sekolah RM 480 RM 40.00
3. Zakat RM 240 RM 20.00
4. Perbelanjaan Raya RM 1,200 RM 100.00
5. Cukai Tanah / Taksiran RM 180 RM 15.00
6. Maintenance Rumah RM 600 RM 50.00
7. Yuran & Aktiviti Anak RM 360 RM 30.00
8. Langganan Tahunan RM 240 RM 20.00
9. Hadiah & Anniversary RM 300 RM 25.00
10. Balik Kampung / Cuti RM 1,200 RM 100.00
11. Tabung Korban RM 1,000 RM 84.00
JUMLAH KESELURUHAN RM 6,840 RM 584.00

Jadi, anda perlu asingkan RM584 sebulan sebagai sinking fund.

Nota: Angka di atas adalah sekadar simulasi purata, contoh sahaja. Anda boleh mengubah suai jumlah mengikut keperluan serta bajet gaji anda sendiri.

Kalkulator Sinking Fund

Tak perlu susah hati, anda boleh guna kalkulator di bawah ini untuk buat pengiraan:

Kalkulator Sinking Fund Interaktif eWarta

Rancang simpanan anda dengan memasukkan anggaran kos dan baki bulan sebelum pembayaran dibuat.

Kategori Sinking Fund Anggaran Kos (RM) Tempoh (Bulan) Simpanan Bulanan Tindakan
1. Roadtax & Insurans Kereta RM 100.00
2. Keperluan Sekolah Anak RM 40.00
3. Zakat Fitrah & Harta RM 20.00
4. Perbelanjaan Raya RM 100.00
5. Cukai Tanah / Taksiran RM 15.00
6. Maintenance Rumah RM 50.00
7. Yuran & Aktiviti Anak RM 30.00
8. Langganan Tahunan RM 20.00
9. Hadiah & Anniversary RM 25.00
10. Balik Kampung / Cuti RM 100.00
11. Tabung Korban RM 84.00
Jumlah Keseluruhan Simpanan Bulanan: RM 584.00

Nak Simpan Kat Mana? – Senarai Simpanan Digital Dengan Pulangan

Selepas tahu apa itu sinking fund dan berapa banyak yang perlu disimpan setiap bulan, timbul pula satu soalan penting:

โ€œDuit sinking fund ini nak simpan dekat mana?โ€

Kalau dibiarkan bercampur dengan duit belanja harian dalam akaun yang sama, ada risiko duit tersebut terpakai sebelum tiba tarikh yang dirancang.

Jadi, untuk sinking fund, tempat simpanan yang baik bukan semata-mata yang menawarkan pulangan paling tinggi.

Anda juga perlu melihat kemudahan pengeluaran, keselamatan, perlindungan deposit, status patuh Syariah jika penting kepada anda dan sama ada produk itu benar-benar sesuai untuk simpanan jangka pendek.

Untuk konteks di Malaysia, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah:

Cara Mula Tetapkan Sinking Fund Dalam 30 Minit

Tak perlu tunggu awal tahun. Boleh buat malam ini.

  • Ambil kalendar. Lihat 12 bulan akan datang.
  • Senaraikan bayaran besar
  • Catat semua perkara yang anda tahu akan memerlukan duit
  • Semak transaksi tahun lalu. Ini penting kerana kadangkala kita lupa perbelanjaan yang hanya berlaku sekali atau dua kali setahun.
  • Anggarkan jumlah. Bahagikan dengan bulan
  • Automatikkan simpanan. Tetapkan pemindahan pada hari gaji.
  • Semak setiap 3โ€“6 bulan. Jika kos berubah, ubah jumlah sinking fund.
infografik Cara Tetapkan Sinking Fund

Kalau Tak Mampu Buat Simpanan Sinking Fund?

Jangan paksa.

Sinking fund sepatutnya membantu kewangan, bukan menyebabkan anda tidak cukup duit untuk keperluan asas.

Contohnya, jika kemampuan anda hanya RM300 sebulan, anda boleh mulakan dengan perkara paling penting.

Contoh:

RM100 โ†’ kereta
RM75 โ†’ sekolah anak
RM50 โ†’ Raya
RM50 โ†’ rumah
RM25 โ†’ hadiah

Jumlah: RM300 sebulan

Apabila pendapatan meningkat atau komitmen berkurang, barulah tambah jumlah tersebut.

Anda juga boleh menggunakan wang tambahan seperti bonus atau pendapatan sampingan untuk mengejar sasaran sinking fund yang masih belum mencukupi.

Rujukan

NOTA EDITOR: Artikel ini ditulis berdasarkan prinsip asas pengurusan kewangan peribadi dan disemak berdasarkan sumber rasmi yang berkaitan. Contoh jumlah simpanan yang diberikan hanyalah simulasi dan perlu disesuaikan dengan keadaan kewangan individu.

Sekiranya terdapat kesalahan maklumat atau fakta yang kurang tepat, sila maklumkan kepada pasukan eWarta agar artikel ini boleh disemak semula demi menyediakan panduan yang tepat & terkini kepada pembaca.

FAQ – Soalan Lazim Sinking Fund

Adakah sinking fund wajib untuk semua orang?

Tidak. Sinking fund sebagai kaedah pengurusan kewangan peribadi ialah strategi simpanan, bukannya kewajipan undang-undang. Namun, ia boleh membantu anda menyediakan wang untuk perbelanjaan berkala.

Berapa banyak perlu simpan dalam sinking fund?

Jumlah bergantung kepada perbelanjaan tahunan anda. Cara mudah ialah jumlahkan anggaran kos setahun dan bahagikan kepada 12 bulan.

Apa beza sinking fund dengan dana kecemasan?

Sinking fund adalah untuk perbelanjaan yang sudah dijangka seperti insurans kereta atau yuran sekolah. Dana kecemasan pula digunakan untuk perkara tidak dijangka seperti kehilangan pendapatan atau kecemasan kewangan.

Adakah roadtax perlu dibayar setiap tahun?

Bagi kenderaan persendirian, JPJ membenarkan pembaharuan LKM untuk tempoh enam bulan atau satu tahun, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Kenderaan juga perlu mempunyai perlindungan insurans bagi tempoh LKM yang dipohon.

Adakah cukai tanah dan cukai taksiran sama?

Tidak. Cukai tanah dan cukai taksiran ialah bayaran yang berbeza dan berada di bawah bidang kuasa yang berbeza. Pemilik hartanah perlu merujuk bil serta pihak berkuasa yang berkenaan.

Bolehkah sinking fund digunakan untuk percutian?

Boleh. Percutian ialah contoh perbelanjaan yang boleh dirancang lebih awal. Anda boleh menentukan sasaran percutian dan menyimpan sedikit demi sedikit setiap bulan.

Perlukah sinking fund disimpan dalam akaun berasingan?

Tidak wajib, tetapi akaun atau tabung berasingan boleh memudahkan anda membezakan wang untuk komitmen masa hadapan dengan wang untuk kegunaan harian.

Apa yang perlu dibuat jika tidak mampu menyimpan untuk semua sinking fund?

Utamakan perkara yang wajib dan mempunyai tarikh bayaran yang jelas seperti perlindungan kenderaan, keperluan pendidikan dan bayaran hartanah. Kemudian kurangkan atau tangguhkan kategori pilihan seperti percutian, hadiah atau langganan yang tidak penting.

Tags:

Asraf merupakan penulis artikel Bahasa Melayu di ewarta.my yang mempunyai pengalaman dalam menganalisis topik semasa, bantuan kerajaan, tips kewangan di Malaysia, isu viral serta liputan berita dan acara nasional di Malaysia. Komited untuk menyediakan panduan mudah difahami oleh pembaca umum.

View All Posts

You Missed