Tips Berkunjung ke MAHA 2026, Tentatif Acara Setiap Zon, Peta Acara & Kemudahan
MAHA 2026 kini sedang berlangsung bermula 28 Ogos sehingga 6 September 2026 (selama 10 hari) di MAEPS, Serdang.
Edisi kali ini mengangkat tema “Value Creation for Food Security” (Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan).
Team kami baru sahaja pulang dari MAHA 2026 untuk buat tinjauan hari ini. Memang meriah, tapi kalau tak sedia mental dan fizikal, memang boleh penat. Jadi, ini panduan, tips penting dan info yang anda perlu tahu agar kunjungan anda lebih selesa dan teratur di bawah.
Jom semak!

- Bila MAHA 2026?
- MAHA 2026 Sesuai Untuk Siapa?
- Apa yang Menarik di MAHA 2026?
- Sambutan Ambang Merdeka di MAHA 2026
- Peta Acara MAHA 2026
- Panduan Pengunjung - Tentatif Penuh Acara Mengikut Tarikh & Lokasi
- Tips Berkunjung ke MAHA 2026 Pertama Kali
- Kenapa Anda Perlu Berkunjung ke MAHA 2026?
- Laluan Shuttle Bas MAHA 2026 - Muat Turun Peta dan PDF
- Cara Naik Pengangkutan Awam ke MAHA 2026
- Nak Sewa Buggy MAHA 2026? - Ini Caranya
- Kenderaan Mesra OKU & Warga Emas
- Kemudahan Pengunjung & Logistik
- Tandas MAHA Dekat Mana?
- Dekat Mana Nak Dapatkan Poskad?
- Bawa Anak Nak Tengok Haiwan? - Ada Di DISTRICT 4!
- Apa Lagi Menarik untuk Kanak-kanak Di MAHA 2026?
- Di mana Lokasi Jualan Rahmah MADANI @ MAHA?
- Rujukan & Pertanyaan
- FAQ - Soalan Lazim MAHA 2026
Bila MAHA 2026?
MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari bermula dari 28 Ogos hingga 6 September 2026. Berikut adalah ringkasan maklumat utama acara:
- Lokasi: Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor.
- Waktu Operasi: 10:00 Pagi hingga 10:00 Malam.
- Tema Utama: “Value Creation for Food Security” (Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan).
- Kemasukan: Percuma (Terbuka kepada semua lapisan masyarakat tempatan dan pelancong asing).
MAHA 2026 Sesuai Untuk Siapa?
Sebenarnya, MAHA 2026 sesuai untuk pelbagai golongan. Anda tidak perlu menjadi โorang pertanianโ pun untuk datang dan berhibur di sini. Datang sahaja dengan minat, memang ada terlalu banyak benda untuk diterokai.
- Keluarga & Anak-anak: Boleh melihat haiwan jinak secara dekat di Petting Zoo dan layan aktiviti kreatif di Kiddies Wonderland.
- Peminat Makanan & Tanaman: Lubuk terbaik untuk memborong anak pokok unik dan menerokai ratusan menu masakan asli dari 13 buah negeri di Food Empire.
- Usahawan, Pelajar & Peminat Teknologi: Tempat paling tepat untuk melihat demonstrasi dron, teknologi sensor IoT, dan mencari peluang perniagaan masa depan.
- Pengunjung Santai: Kalau anda cuma nak berjalan-jalan hujung minggu sambil mencari pengalaman dan suasana baharu pun amat dialu-alukan.
Saranan kami: Kalau nak memandu sendiri ke MAEPS memang menguji kesabaran mental sebab isu parking dan jem. Alternatif terbaik, naik MRT laluan Putrajaya, turun di stesen UPM, dan naik bas shuttle percuma yang disediakan terus ke pintu utama.

Apa yang Menarik di MAHA 2026?
Rujuk poster di bawah:








Sambutan Ambang Merdeka di MAHA 2026
Tarikan di MAHA mengikut ZON
ZON A: DALAM BANGUNAN
Dewan Pameran Utama
- Sembilan dewan berhawa dingin menempatkan syarikat agri-tech, agensi kerajaan, pengeluar makanan, syarikat permulaan, dan pavilion antarabangsa. Tumpuan utama MAHA 2026.

ZON B: AGROPELANCONGAN
Taman Agropelancongan
- Pasar terapung, agro safari, jelajah eko-ladang, dan tarikan interaktif mesra keluarga di kawasan semula jadi MAEPS.

ZON C: PAVILION
Pavilion Negeri
- Semua 13 negeri Malaysia dan wilayah persekutuan mempersembahkan hasil pertanian terbaik, makanan tempatan, dan tawaran agropelancongan mereka.

ZON D: JUALAN MAKANAN
Juadah Makanan
- Ratusan penjual makanan, gerai masakan, pasar hasil segar, dan demonstrasi masakan di zon makanan luar bangunan.

ZON E: ARENA
Arena Demonstrasi Langsung
- Pentas utama untuk pertunjukan dron dan laser, demonstrasi jentera, final pertandingan, dan persembahan budaya berskala besar.

Ringkasan:
- Pavillion Negeri (tempat showcase keunikan/produk setiap negeri di Malaysia)
- Food Empire (tempat makan-makan)
- Dewan A (pameran agensi-agensi/main hall)
- Agribisnes (tempat jual macam-macam jenis snek/krepek/produk IKS/ole-ole)
Peta Acara MAHA 2026
Berikut ialah peta acara MAHA 2026 yang telah dibahagikan kepada 4 bahagian utama:
District 1 (Kawasan Ungu / Pusat Utama)
- Pintu 1 (Pintu Masuk Utama)
- Dewan Utama
- Dewan A, Dewan B, Dewan C, Dewan D
- Food Empire (Empayar Makanan)
- Laman Tiba 1
- Laman Usahawan Desa
- Kingdom of Agrofood
District 2 (Kawasan Jingga / Laman Pertanian & Florikultur)
- Laman Jagung & Bawang
- Laman AgriNova
- Laman Florikultur
- Laman Herba
- Laman Sayur
- Laman Perikanan
- Laman Padi
- HPMKUSKOP @ MAHA2026
District 3 (Kawasan Merah Jambu / Kebudayaan & Rekreasi)
- Pavilion Negeri
- Perkampungan Bang Mat
- Santai dan Kopi @ Chillax
- Astana Pavilion
- Kiddies Wonderland
- Tasik MAEPS
District 4 (Kawasan Biru / Teknologi & Variasi Moden)
- Pintu 2
- Laman Tiba 2
- Laman Nanas
- Laman Smartfarming
- Laman Veterinar
- Food Truck Fiesta


Muat Turun Peta Acara MAHA 2026 (PDF)
Bagi memudahkan anda membuat perancangan dan rujukan semasa berkunjung ke MAHA 2026, pastikan anda dah muat turun siap-siap peta acara di bawah ini sebelum bertolak dari rumah. Klik ‘Download’ untuk muat turun PDF.
Panduan Pengunjung – Tentatif Penuh Acara Mengikut Tarikh & Lokasi
Dah muat turun peta, sekarang anda boleh rujuk tentatif penuh acara yang disenaraikan mengikut lokasi dan tarikh di bawah.










Muat Turun Panduan Pengunjung & Tentatif Penuh Acara Mengikut Tarikh & Lokasi (PDF)
Anda boleh turun PDF di bawah dengan klik butang ‘Download’ di bawah:
Beza District dan Zon:
1. District (Daerah) = Merujuk kepada kawasan fizikal (lokasi/tapak) di dalam MAEPS Serdang.
- Digunakan untuk penunjuk arah pada peta (navigasi) supaya pengunjung tahu di mana mereka berada.
- Contoh:
- District 1 adalah kawasan kompleks bangunan utama (Dewan A-D).
- District 2 adalah kawasan padang terbuka (Laman-laman tanaman).
2. Zon = Merujuk kepada jenis pameran atau aktiviti yang dijalankan, tidak kira di mana ia berada.
- Membantu pengunjung memilih pengisian acara yang mereka minati (contohnya mahu membeli makanan atau mahu melihat teknologi).
- Contoh:
- Zon A (Dalam Bangunan) fokus kepada pameran korporat dan teknologi pertanian pintar.
- Zon D (Jualan Makanan) fokus kepada gerai makan, trak makanan, dan demonstrasi masakan.
Kesimpulan Ringkas:
- District = Anda berada di mana (Lokasi pada peta).
- Zon = Anda sedang melihat atau membuat apa (Aktiviti/Tema pameran).
Tips Berkunjung ke MAHA 2026 Pertama Kali
Berikut ialah beberapa tips utama yang dikongsikan oleh Jabatan Pertanian Malaysia untuk pengunjung yang pertama kali ke MAHA 2026:
- Pilih kasut yang selesa: Pakai kasut sukan, kasut bertapak rata atau sandal kerana kawasan pameran luas.
- Bersedia dengan cuaca: Bawa payung, topi atau baju hujan ringan untuk menghadapi cuaca panas dan hujan.
- Datang lebih awal: Perjalanan lebih tenang dan anda mempunyai lebih banyak masa untuk meneroka tarikan.
- Rancang lokasi pilihan: Semak peta, pintu masuk dan lokasi pameran yang ingin dikunjungi sebelum bergerak.
- Gunakan shuttle bas: Manfaatkan Laluan A, B, C, D dan E untuk bergerak dengan lebih mudah di sekitar MAHA.
- Bawa keperluan anak kecil: Sediakan stroller atau carrier, lampin, tisu basah, air minuman dan pakaian tambahan.
- Awasi anak-anak: Pastikan mereka sentiasa bersama penjaga. Catatkan nombor telefon penjaga pada kad kecil untuk kecemasan.
- Utamakan keselesaan warga emas dan OKU: Rancang waktu rehat dan gunakan kerusi roda atau kemudahan pergerakan jika diperlukan.
- Sediakan kelengkapan solat: Membawa telekung dan sejadah sendiri boleh memudahkan urusan ketika pengunjung ramai.
- Kekal terhidrat: Minum air secukupnya dan berehat jika letih. Pelbagai makanan serta minuman turut dijual.
- Bawa troli lipat atau beg guna semula: Sesuai jika merancang membeli pokok, produk agro atau barangan dalam kuantiti banyak.
- Jaga kesihatan dan kebersihan: Gunakan pelitup muka jika bergejala atau berada di kawasan sesak dan bersihkan tangan secara berkala. Tangguhkan kunjungan jika kurang sihat.
- Rakam dan kongsikan pengalaman: Gunakan tanda pagar seperti berikut; #myDOA #MAHA2026 #LamanAgrofoodFlorikultur #LamanFlorikulturDOA #MagicaGarden
- Datang dengan sabar dan berhemah: Patuhi arahan petugas serta hormati pengunjung lain ketika beratur atau menggunakan kemudahan awam.

Tips Tambahan:
Ini adalah beberapa tips tambahan dan saranan daripada kami untuk anda yang baru nak berkunjung ke MAHA 2026:
- Kalau datang bersama anak kecil, bawa pakaian tambahan. Aktiviti luar dan cuaca panas boleh menyebabkan anak cepat berpeluh.
- Muat turun siap-siap peta, tentatif, lokasi tandas dan info penting.
- Kenalpasti tempat yang nak dituju.
- Go hands-free! (Balik nanti tangan pasti penuh!)
- Kenalpasti surau dan tandas (PENTING!)
- Bawa telekung untuk wanita yang nak solat. Faham-faham je lah kalau telekung umum yang digunakan ramai orang. Bawa sendiri, lebih selesa.
- Berdasarkan pengalaman peribadi dan diakui oleh ramai orang, sebaiknya pergi dua hari, baru puas!
Kenapa Anda Perlu Berkunjung ke MAHA 2026?
Kalau anda masih berkira-kira sama ada berbaloi atau tidak untuk bersesak ke MAEPS Serdang tahun ini, ini beberapa sebab realistik kenapa MAHA 2026 wajin anda kunjungi:
1. Lubuk Cari Duit & Peluang Bisnes Baharu: Di sini, anda boleh berjumpa terus dengan pembekal, ejen, dan usahawan tani agro-makanan. Boleh dapatkan ilmu, pandangan dan tips penting daripada mereka. paling penting, bina hubungan baru.
2. Melihat Teknolog Pertanian: Anda boleh tengok sendiri bagaimana dron gergasi menyembur baja automatik, sistem sensor tanaman berasaskan AI, dan teknologi rumah hijau moden yang selama ini cuma nampak di YouTube.
3. Port Santai “Healing” Satu Keluarga: Lokasi ini sangat sesuai untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak sempena musim cuti sekolah tanpa perlu berbelanja besar. Masuk percuma je, kalau bawa anak-anak pergi tengok haiwan (Laman Veterinar) ada bayaran untuk bagi makan haiwan.
4. Tanda Sokong Produk Tempatan: Ini masanya untuk kita bantu naikkan ekonomi usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan dengan membeli hasil buatan tangan mereka yang berkualiti tinggi.
5. Syurga Makanan dari 13 Buah Negeri: Anda boleh rasai sendiri masakan asli, snek tradisional, dan menu viral popular yang dihimpunkan di bawah satu bumbung di Food Empire. Memang syok sangat!
6. Stok Gambar & Video Konten Untuk Sebulan: Bagi pempengaruh (influencer) atau kaki media sosial, setiap sudut laman bertema seperti Laman Florikultur sangat estetik dan “Insta-worthy” untuk dijadikan bahan video TikTok.
7. Kenali Kerjaya Unik yang Jarang Didengar: Pameran ini membuka mata kita (dan anak-anak) tentang bidang kerjaya moden seperti pakar teknologi dron pertanian, perunding hidroponik pintar, dan penganalisis data agro. Bidang ini semakin diperlukan tau!
8. Balik Rumah Bawa Ilmu Berkebun Yang Betul: Anda boleh belajar cara penanaman sayur di rumah flat, teknik penjagaan pokok hiasan, hingga cara penjagaan ternakan mini secara percuma daripada pakar agensi kerajaan.
9. Terlalu Banyak Benda Unik untuk Dicuba: Bukan setakat pameran, anda boleh merasai sendiri simulasi memandu jentera penuai melalui set kepala VR, memegang arnab jinak, dan menaiki bot mini. Seronok! Tahun sebelum ni dah pergi, kali ini memang wajib pergi lagi!
Kawan-Kawan Semua Dah Sampai, Anda Takkan Nak Tengok Je?
Media sosial sekarang tengah penuh dengan video review MAHA 2026. Jangan sampai terlepas, ajak kawan-kawan gerak sekali hujung minggu ini!











Laluan Shuttle Bas MAHA 2026 – Muat Turun Peta dan PDF
Perkhidmatan shuttle bas disediakan menerusi lima laluan utama, iaitu Laluan A, Laluan B, Laluan C, Laluan D dan Laluan E.
Sebelum memulakan perjalanan, pengunjung digalakkan mengenal pasti laluan shuttle bas yang bersesuaian dengan destinasi pilihan.
Perhatikan papan tanda, peta laluan serta maklumat yang disediakan di lokasi. Jika kurang pasti, dapatkan bantuan daripada petugas bertugas.
Anda boleh simpan infografik peta laluan shuttle bas di bawah agar mudah dirujuk sepanjang kunjungan. Klik gambar dan tekan ‘Save’. Atau muat turun PDF Shuttle Bas MAHA 2026 di bawah (Klik ‘Download’).





Cara Naik Pengangkutan Awam ke MAHA 2026
Kalau anda buka media sosial sekarang, ramai pengunjung terawal sudah mula merungut tentang isu sesak dan parking penuh di MAEPS Serdang.
Pilihan paling bijak dan selamat mental adalah dengan menaiki pengangkutan awam.
Pihak penganjur menyediakan kemudahan bas shuttle percuma yang beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 11:00 malam untuk membawa anda terus ke Laman Tiba 1.
Ini tiga stesen utama yang menyediakan perkhidmatan bas shuttle berdasarkan maklumat poster rasmi:
- Stesen MRT UPM (Laluan Putrajaya): Ini laluan paling dicadangkan dalam mana-mana thread kerana jaraknya yang paling dekat dengan tapak acara. Jaraknya hanya sekitar 7km dengan anggaran masa perjalanan bas dalam 15 minit ke tapak MAHA. Keluar sahaja dari stesen Laluan Putrajaya (PYL) ini, terus cari kawasan menunggu bas shuttle percuma untuk ke Laman Tiba 1.
- Stesen KTM Serdang: Bagi yang tinggal di kawasan laluan KTM Komuter, anda boleh turun di stesen ini tanpa perlu menukar tren ke laluan MRT. Jaraknya adalah sekitar 12km dengan anggaran masa perjalanan bas dalam 18 minit. Bas shuttle disediakan terus dari stesen KTM ini untuk menghantar anda terus ke Laman Tiba 1.
- Stesen Putrajaya Sentral: Stesen ini sangat strategik bagi pengunjung yang datang dari arah selatan atau kawasan sekitar Putrajaya dan Cyberjaya. Jaraknya berjarak 11km dengan anggaran masa perjalanan sekitar 16 minit menggunakan bas shuttle percuma Laluan Putrajaya (PYL) yang disediakan di hub pengangkutan ini.


Saranan kami:
- Rancang Perjalanan Guna App: Sebelum bertolak, muat turun aplikasi MyRapid PULSE. Sangat membantu untuk semak waktu ketibaan tren dan jangkaan masa bas sampai supaya anda tak buang masa menunggu di stesen.
- Sediakan Baki Touch ‘n Go Cukup: Walaupun bas shuttle ke MAHA adalah percuma, pastikan kad Touch ‘n Go atau kad konsesi anda mempunyai baki sekurang-kurangnya RM5 untuk urusan keluar masuk stesen tren dengan lancar.
- Jangan Balik Terlalu Lewat: Walaupun waktu pameran tamat jam 10:00 malam, bas shuttle terakhir adalah pada jam 11:00 malam. Sebaiknya, mula bergerak ke hentian bas sekitar jam 9:15 malam untuk mengelakkan anda tersangkut dalam barisan panjang “geng pengangkutan awam” yang lain.
Nak Sewa Buggy MAHA 2026? – Ini Caranya
Anda boleh menyewa buggy untuk MAHA 2026 di MAEPS Serdang daripada dua syarikat utama yang menyediakan perkhidmatan ini sepanjang acara berlangsung (28 Ogos hingga 6 September 2026).
Berikut adalah cara tempahan, senarai penyedia, dan kadar harga sewaan buggy untuk MAHA 2026:
1. MINIS Buggy (Sesuai untuk Keluarga / Pandu Sendiri)
MINIS Buggy menyediakan buggy 4-seater comel yang sangat sesuai untuk pergerakan santai bersama keluarga.
Kadar Harga:
- 15 Minit: RM45
- 30 Minit: RM90
- 1 Jam: RM180
Cara Tempah: Tempahan boleh dibuat secara terus secara dalam talian melalui pautan Sistem Tempahan Umai MINIS Buggy.
Saranan kami, kalau nak sewa Buggy MINIS ini, datanglah seawal jam 9.30 pagi sebab kalau tengah hari, barisan menunggu boleh jadi panjang.

2. XMOTO Buggy Rental (Sesuai untuk Kumpulan Besar / VIP / Korporat)
XMOTO Resources Sdn Bhd menyediakan pilihan buggy berskala lebih besar (seperti 4-seater dan 8-seater) serta menawarkan pakej sewaan sejam, harian, atau mingguan. Perkhidmatan pemandu (chauffeur) juga disediakan atas permintaan.
Kadar Harga:
- Bermula dari RM300 (tertakluk kepada jenis pakej dan kapasiti buggy).
Cara Tempah: Hubungi atau WhatsApp terus di talian https://wa.me/60102000090
Tips: Memandangkan unit buggy adalah sangat terhad setiap hari, anda digalakkan untuk membuat tempahan awal (pre-book) bagi mengelakkan slot penuh.

Kenderaan Mesra OKU & Warga Emas
Pihak penganjur menyediakan van penumpang (seperti van merah dan perak dalam poster) serta kenderaan buggy berbumbung panjang untuk membawa warga emas dan OKU merentasi kawasan MAEPS.

Saranan kami: Kalau datang dengan anak atau ibu ayah yang dah berusia, jangan terus cuba habiskan semua kawasan. Pilih beberapa tarikan yang memang anak minat dahulu, kemudian baru bergerak ke kawasan lain. MAHA sangat luas, jadi perancangan kecil sebelum datang boleh membantu anda elak berjalan tanpa hala tuju.
Kemudahan Pengunjung & Logistik
Pihak penganjur menyediakan pelbagai kemudahan di seluruh kawasan MAEPS demi keselesaan, keselamatan, dan kelancaran sepanjang acara berlangsung:
Fasiliti & Kebajikan Pengunjung
- Surau & Kemudahan Solat: Beberapa surau terletak di seluruh kawasan dengan ruang wuduk khusus, dewan solat untuk lelaki dan perempuan, serta pengumuman waktu solat.
- Kemudahan OKU: MAEPS sepenuhnya boleh diakses dengan tanjakan, lif, tandas OKU, sewaan kerusi roda, dan lorong keutamaan di semua pintu masuk dan dewan utama.
- Kaunter Maklumat: Kiosk maklumat berpetugas di semua titik masuk utama dan persimpangan dewan yang menyediakan peta, jadual program, dan bantuan pengunjung.
Pengangkutan & Sokongan Tapak
- Tempat Letak Kereta: Tempat letak kereta yang luas merentas beberapa zon. Parkir OKU khusus berdekatan pintu masuk.
- Hab Pengangkutan: Kawasan perhentian bas dan tempat set-down/pick-up yang ditetapkan berdekatan pintu masuk utama sepanjang waktu operasi.
- Gerai Makanan & Kantin: Beberapa kelompok gerai makanan merentas zon dalam dan luar bangunan. Tempat duduk yang luas tersedia.
Transaksi & Infrastruktur Digital
- Wi-Fi Percuma Seluruh Kawasan: Wi-Fi berkelajuan tinggi tersedia di semua dewan dalam bangunan dan kawasan luar utama, menyokong media, pempamer, dan pengunjung sepanjang acara.
- ATM & Perbankan: Pelbagai mesin ATM dan van perbankan mudah alih ditempatkan di kawasan tempat utama. Pembayaran tanpa tunai disokong di semua gerai rasmi MAHA.
- Hab Perkhidmatan Pempamer: Kaunter perkhidmatan gerai khusus untuk pertanyaan pempamer, kelayakan Wi-Fi, permintaan elektrik, pembersihan, dan sokongan logistik dalam kawasan.
Keselamatan, Perubatan & Media
- Pertolongan Cemas & Perubatan: Pusat perubatan dalam kawasan dengan pertolongan cemas terlatih, ambulans bersiap sedia, dan pos pertolongan cemas tersebar di seluruh kawasan pameran.
- Pusat Operasi Acara: Hab kawalan berpusat menguruskan CCTV, penyelarasan keselamatan, tindak balas kecemasan, dan pengurusan orang ramai secara masa nyata sepanjang acara.
- Pusat Media: Bilik akhbar khusus dengan stesen kerja internet, kawasan taklimat media, dan pengambilan kelayakan untuk wartawan dan pencipta kandungan yang diakreditasi.

Tandas MAHA Dekat Mana?
Jangan risau, ada banyak tanda disediakan untuk keselesaan pengunjung MAHA tahun ini. Berikut ialah lokasi tandas yang anda boleh simpan awal-awal supaya tak kalut nanti.

1. District 1:
- VIP Drop Off
- Pavilion FAMA
- Parkir P1, LT1
- Dewan Utama A,B,C,D

2. District 2:
- Pavilion Negeri
- Laman Padi
- Laman Perikanan
- Laman Sayur & Herba
- Laman Florikultur

3. District 3:
- Laman Florikultur
- Menara Tinjau

4. District 4:
- Laman Nanas
- Laman Mekanisasi
- Laman Ternakan
- Parkir P2, LT2

Dekat Mana Nak Dapatkan Poskad?
Bagi pengunjung yang ingin dapatkan poskad eksklusif MAHA 2026, anda boleh berkunjung ke lokasi berikut:
- Motherbooth KPKM (Dewan A)
- Pavillion KPKM
- Laman Nenas
- Laman Veterinar

Bawa Anak Nak Tengok Haiwan? – Ada Di DISTRICT 4!
Kalau anda bawa anak-anak untuk melihat haiwan, anda boleh masuk melalui Laman TIBA 2 di District 4 (Laman Veterinar) .
Cara nak ke situ:
- Masuk ke Gate 2 (IOI City Mall > belok kiri > ikut signage MARDI)
- Boleh letak kereta di kawasan parking disediakan (selepas guard house)
- Jalan kaki ke Laman Tiba 2. Sampai!
Dari kawasan ternakan/haiwan ini, anda boleh jalan kaki atau naik tram/bas untuk ke kawasan Laman Nanas dan Laman Smart Farming. Boleh je pergi ke Laman Perikanan. Dari Laman Perikanan boleh terus ke Pavillion Negeri.
Info: Nak masuk tengok haiwan percuma je dekat Laman Veterinar ni, tapi alau nak bagi haiwan makan ada yang kena bayar. Jadi siapkan duit awal-awal okay.
Yang bestnya dekat District 4 ni, ada banyak tempat makan (foodtruck). Tandas pun banyak. Jadi, mak ayah tak perlu risau anak lapar atau tiba-tiba nak pergi tandas.
Saranan kami: Bawa tisu basah untuk lap tangan selepas beri makan haiwan, bawa air minuman untuk anak dan pakaikan topi.
Apa Lagi Menarik untuk Kanak-kanak Di MAHA 2026?
1. Kiddies Wonderland (District 3 / Kawasan Merah Jambu):
- Ini adalah zon taman tema mini khas untuk kanak-kanak. Ia menyediakan taman permainan, aktiviti mewarna, badut jemputan, serta pelbagai aktiviti seni dan kraf tangan bertemakan alam semula jadi.
2. Petting Zoo & Laman Veterinar (District 4 / Kawasan Biru):
- Antara kawasan paling popular di mana kanak-kanak boleh melihat, menyentuh, dan memberi makan secara dekat kepada haiwan jinak (seperti arnab, kambing baka kerdil, burung eksotik, dan anak kuda poni).
3. VR Lab (Makmal Realiti Maya):
- Menyediakan simulasi visual interaktif yang membolehkan kanak-kanak merasai pengalaman “menjadi penternak moden” melalui set kepala VR.
4. Agro Safari & Pasar Terapung (District 2 & 3 / Zon B):
- Kanak-kanak boleh menaiki kenderaan khas gaya safari untuk melihat landskap ladang simulasi serta melihat demonstrasi hidupan air di Laman Perikanan.
Kemudahan Kebajikan Kanak-Kanak & Bayi
Bagi memastikan keselesaan ibu bapa yang membawa anak kecil atau bayi, fasiliti berikut disediakan:
- Bilik Penyusuan & Menukar Lampin (Nursing Rooms): Tersedia di dalam kompleks bangunan dewan utama (District 1 / Zon A), berhampiran tandas utama, bagi memberikan ruang privasi dan berhawa dingin untuk ibu bapa.
- Laluan Mesra Stroller: Kesemua sembilan dewan pameran utama dan laluan pejalan kaki berongga dibina rata dengan tanjakan (ramps), memudahkan ibu bapa menolak kereta sorong bayi (stroller).
- Pakej Sewaan Buggy Keluarga: Anda boleh menyewa buggy 4-seater comel daripada MINIS Buggy untuk membawa anak-anak bersiar-siar di kawasan terbuka tanpa perlu risau mereka keletihan atau meragam akibat cuaca panas.
Tips Penting Bawa Kanak-Kanak ke MAHA 2026:
- Pakaikan Gelang ID: Memandangkan sasaran pengunjung adalah 4 juta orang, kawasan akan menjadi sangat sesak. Tulis nama anak dan nombor telefon ibu bapa pada gelang tangan kanak-kanak sebagai langkah keselamatan jika terpisah.
- Sediakan Kipas Tangan & Payung: Kawasan bertema seperti Laman Ternakan dan Laman Padi adalah kawasan terbuka (outdoor). Pastikan anak-anak memakai pakaian nipis dan minum air secukupnya.
Di mana Lokasi Jualan Rahmah MADANI @ MAHA?
Hah, jangan lupa singgah di Jualan Rahmah MADANI @ MAHA yang berlangsung 28 Ogos hingga 30 Ogos 2026 ini.
- Perkarangan Hall C, MAEPS, Persiaran MARDI-UP, Seri Kembangan.
- 9 pagi hingga 10 malam
Antara barangan keperluan asas yang ditawarkan dengan potongan harga sehingga 30% termasuklah barangan dapur mentah seperti ayam dan telur, beras, minyak masak, tepung, serta produk makanan segera dan minuman seperti milo, biskut, dan sardin


Rujukan & Pertanyaan
Bagi sebarang maklumat lanjut, kemas kini jadual, atau bantuan sepanjang acara berlangsung, sila rujuk Laman Web rasmi MAHA 2026 di mahaofficial.com.my
- Lokasi Rasmi Event: Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS)
- Facebook Rasmi: MAHA Official Page
- Instagram Rasmi: @maha_official
- Talian: +60 12-590 1370
- Email: support@mahaofficial.com.my
FAQ – Soalan Lazim MAHA 2026
Masuk adalah PERCUMA untuk semua pengunjung domestik dan antarabangsa. Tiada sebarang pendaftaran awal atau pas masuk diperlukan untuk berjalan di seluruh tapak pameran.
MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari bermula dari 28 Ogos hingga 6 September 2026. Waktu operasi harian adalah dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.
Acara bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor. Peta navigasi digital boleh diakses secara langsung melalui Laman Web Rasmi MAHA.
Ya. Anda boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya dan turun di Stesen MRT UPM. Pihak penganjur menyediakan perkhidmatan bas transit/shuttle percuma secara berjadual dari stesen tersebut terus ke Hab Pengangkutan pintu masuk utama MAEPS.
Pihak penganjur menyediakan kenderaan khas mesra OKU (seperti van transit rendah dan buggy berbumbung) secara percuma. Pengunjung juga boleh membuat sewaan buggy berbayar pandu sendiri (seperti MINIS Buggy) atau komersial.
Semua gerai rasmi MAHA 2026 menyokong penuh pembayaran tanpa tunai (cashless) seperti DuitNow QR, kad debit, dan kad kredit. Walau bagaimanapun, beberapa mesin ATM mudah alih turut disediakan di kawasan utama tapak untuk kemudahan pengunjung.
Zon jualan makanan utama tertumpu di Food Empire (Empayar Makanan) yang terletak di District 1 (Zon D) serta barisan trak makanan moden di Food Truck Fiesta yang terletak di District 4.
Penafian: Maklumat yang terkandung dalam dokumen ini disediakan untuk tujuan rujukan, panduan am, dan maklumat am sahaja. Segala usaha telah dilakukan bagi memastikan ketepatan, kesahihan, dan kebolehpercayaan maklumat yang dipaparkan pada masa ia diterbitkan.