iTEKAD Employment, Latihan Kerja Ditaja Penuh untuk Golongan B40 – Syarat & Panduan Permohonan

itekad employment

iTEKAD Employment 2026 (juga dikenali sebagai iTEKAD Kerjaya) ialah program bantuan kewangan sosial oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyediakan latihan kemahiran percuma, elaun sara hidup bulanan, dan peluang penempatan kerja.

Program berbentuk “biasiswa kerjaya” ini dikhususkan untuk membantu golongan B40, asnaf, ibu tunggal, dan belia tercicir membina kerjaya tetap dengan pendapatan yang stabil.

Bagi anda yang sedang mencari jalan keluar daripada belenggu pengangguran atau ingin menukar bidang kerja demi menaikkan gaji, inisiatif ini adalah peluang terbaik.

Berbeza dengan skim bantuan tunai biasa, program ini melatih anda dari sifar sehingga diserap masuk bekerja.

RINGKASAN ARTIKEL

  • iTEKAD Employment ialah subprogram iTEKAD yang diperkenalkan pada 2026 untuk membantu komuniti rentan meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran.
  • Sasaran program boleh merangkumi golongan berpendapatan rendah, asnaf, individu yang tercicir daripada pendidikan, individu yang mahu menukar kerjaya dan golongan tertentu yang memerlukan sokongan.
  • Latihan dan peluang pekerjaan tidak terhad kepada sektor ekonomi tertentu kerana setiap institusi kewangan dan rakan pelaksana boleh menentukan program masing-masing.
  • Peserta tidak dijamin mendapat pekerjaan, tetapi boleh dipertimbangkan untuk peluang pekerjaan melalui rakan pelaksana atau syarikat dalam rangkaian mereka.
  • iTEKAD Employment melibatkan beberapa institusi kewangan Islam dan pembangunan seperti Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic, Maybank Islamic, Public Islamic Bank, RHB Islamic dan SME Bank.

Apa Itu iTEKAD Employment?

Ringkasan Pantas (Fahami Dalam 1 Minit)

Untuk memudahkan anda, ini adalah intipati utama program iTEKAD Employment yang wajib anda tahu:

Ini Program Apa sebenarnya?

  • Ini adalah program tajaan penuh (konsep biasiswa) untuk melatih individu dari sifar sehingga mahir dalam bidang industri, kemudian diserap masuk bekerja secara sah. Anda tidak perlu membayar satu sen pun untuk kos latihan.

Program Ini Untuk Apa?

  • Untuk membantu golongan yang menganggur, tiada kemahiran tinggi, atau mereka yang mahu menukar bidang kerjaya demi mendapatkan kerja tetap dengan gaji bulanan yang stabil. Alirannya mudah: Belajar Percuma ➔ Dapat Elaun ➔ Dapat Peluang Penempatan Kerja

Siapa Boleh Mohon?

  • Program ini dikhususkan untuk komuniti rentan seperti golongan berpendapatan rendah (B40), penerima zakat (asnaf), belia yang tercicir atau putus sekolah/kolej, ibu tunggal, serta individu yang kehilangan pekerjaan.

Macam Mana Nak Mohon?

  • Anda perlu memohon terus melalui 7 bank tempatan yang terpilih (seperti Bank Islam, Maybank Islamic, CIMB Islamic, dll.) yang menganjurkan kursus ini mengikut kuota masing-masing.

Tiga Jenis iTEKAD & Perbezaannya

Sebelum ini, anda mungkin biasa mendengar tentang program iTEKAD. Penting untuk tahu bahawa iTEKAD kini terbahagi kepada tiga sub program yang berbeza:

iTEKAD Entrepreneurship (Perniagaan): Khusus untuk usahawan mikro yang mahukan bantuan modal, peralatan, dan geran untuk memulakan atau membesarkan kedai/bisnes sendiri.

iTEKAD Employment (Pekerjaan): Khusus untuk orang yang bukan mahu berniaga, tetapi mahu mencari kerja tetap. Anda tidak diberikan modal barang, sebaliknya diberikan latihan teknikal industri dan kontrak kerja terus dengan majikan.

    iTEKAD Protection (Perlindungan): Khusus untuk melindungi kebajikan usahawan mikro dan golongan berpendapatan rendah daripada musibah. Anda tidak diberikan modal atau latihan kerja, sebaliknya diberikan akses kepada produk insurans atau takaful mikro mampu milik bagi melindungi diri, keluarga, atau aset perniagaan daripada risiko kemalangan dan bencana alam.


    Manfaat Utama Peserta iTEKAD Employment

    Jika anda terpilih menyertai program iTEKAD Employment (juga dikenali sebagai iTEKAD Kerjaya), anda tidak sekadar menghadiri kelas teori.

    Berdasarkan model yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, setiap peserta akan menerima tiga (3) bentuk pakej sokongan yang menyeluruh untuk mengubah hidup daripada “Individu berpendapatan rendah” kepada “Individu yang bekerja dan berdaya tahan kewangan”:

    • Penyediaan Latihan (Melalui Institut Latihan): Peserta akan diberikan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) serta penerapan kemahiran insaniah (soft skills). Sepanjang tempoh ini, kemudahan penginapan serta elaun makan atau elaun bulanan turut disediakan untuk menyokong kebajikan anda.
    • Penempatan Pekerjaan (Melalui Majikan Berpotensi): Selepas fasa latihan selesai, program ini menyediakan saluran penempatan pekerjaan secara terus bagi memastikan anda mendapat peluang kerjaya yang betul serta menjana pendapatan yang stabil.
    • Literasi Kewangan dan Pemerkasaan (Melalui Bank, Syarikat Insuran dan Pengendali Takaful): Untuk membina daya tahan kewangan jangka panjang, peserta akan dibimbing melalui kursus literasi kewangan dan diberikan bantuan pembukaan akaun bank. Selain itu, anda juga layak menerima program padanan simpanan, perlindungan insurans/takaful bersubsidi, atau sebarang produk/skim kewangan yang setara demi mencapai objektif keselamatan kewangan and.
    infografik itekad kerjaya - apa manfaat peserta perolehi

    Syarat Kelayakan iTEKAD Employment: Siapa yang Layak Sertai?

    Ramai yang tertanya-tanya, “Siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan komuniti rentan dalam program ini?”

    Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), komuniti rentan merujuk kepada golongan yang berdepan jurang akses kepada sumber modal, sistem sokongan, atau penyelesaian kewangan. Faktor ini menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan stabil atau membina simpanan masa depan.

    Secara umumnya, sub-program iTEKAD Employment ini menyasarkan 5 kumpulan utama berikut:

    • Golongan Ibu Tunggal: Wanita yang menjadi ketua keluarga dan memerlukan sumber pendapatan kedua yang lebih stabil untuk kelangsungan domestik.
    • Golongan Berpendapatan Rendah (B40): Individu daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengalami kekangan kewangan untuk membiayai kos latihan kemahiran tinggi.
    • Golongan Asnaf & Penerima Zakat: Kumpulan sasaran utama yang dibantu melalui integrasi dana zakat daripada institusi agama negeri.
    • Belia Tercicir Sekolah atau Kolej: Remaja atau belia yang terpaksa menghentikan pengajian akibat masalah peribadi, kos, atau kekangan keluarga.
    • Pekerja dalam Transisi (Tukar Kerjaya): Individu yang ingin menaikkan taraf hidup dengan mempelajari kemahiran baharu (reskilling) demi berpindah ke sektor industri yang menawarkan gaji lebih tinggi.

    INFO: Sekiranya anda tergolong dalam salah satu kategori di atas, ia bukanlah jaminan kelulusan automatik. Kuota pengambilan, kriteria pemilihan yang lebih terperinci, dan had umur sebenar adalah ditentukan sepenuhnya oleh institusi kewangan (bank) serta rakan pelaksana yang mengendalikan program tersebut.

    Mengapa Tiada Syarat Kelayakan Umum untuk iTEKAD Employment?

    Satu perkara penting yang wajib difahami oleh semua pemohon ialah tiada satu set syarat kelayakan yang seragam atau borang am untuk semua program iTEKAD Employment.

    Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kriteria minimum dan proses pengambilan peserta adalah ditentukan sepenuhnya oleh institusi kewangan (bank) yang mengendalikan program tersebut. Syarat penapisan ini diubah suai mengikut reka bentuk program, objektif latihan, dan keperluan majikan korporat yang terlibat.

    Sebagai contoh, sesetengah bank mungkin melancarkan kempen iTEKAD Employment yang khusus untuk:

    • Komuniti Setempat: Fokus hanya kepada penduduk B40 di kawasan luar bandar atau negeri tertentu (contohnya, zon utara atau pantai timur).
    • Sektor Sasaran: Khusus untuk belia yang mahu dilatih dalam bidang automotif atau teknologi maklumat sahaja.
    • Kumpulan Khusus: Mengutamakan golongan asnaf berdaftar di bawah majlis agama negeri rakan strategik bank.

    Oleh itu, anda tidak akan menjumpai satu borang permohonan berpusat di portal BNM. Sebaliknya, pemohon perlu menyemak pengumuman terus daripada bank-bank terlibat untuk melihat jika profil anda menepati kriteria program spesifik yang sedang dibuka pada waktu tersebut.

    Senarai Bank yang Mengendalikan iTEKAD Employment

    Oleh sebab tiada borang permohonan berpusat di portal Bank Negara Malaysia, anda perlu memohon terus melalui institusi kewangan yang menjadi rakan strategik rasmi program ini.

    Merujuk kepada data rasmi BNM, terdapat 7 buah bank utama di Malaysia yang mengendalikan pengambilan peserta bagi sub-program iTEKAD Employment:

    • Bank Islam
    • Bank Muamalat
    • CIMB Islamic Bank
    • Maybank Islamic
    • Public Islamic Bank
    • RHB Islamic Bank
    • SME Bank

    Setiap bank di atas mempunyai kalendar ambilan (intake) yang berbeza sepanjang tahun. Laman web rasmi serta media sosial bank-bank ini merupakan saluran terbaik untuk anda mendapatkan info tarikh tutup permohonan terkini. Anda juga boleh berkunjung ke cawangan bank berdekatan dan bertanyakan terus kepada pegawai khidmat pelanggan mengenai skim iTEKAD Employment yang sedang aktif.

    Contoh Program iTEKAD Employment 2026

    Untuk membantu anda memilih laluan kerjaya yang tepat, berikut adalah senarai program rasmi yang ditawarkan oleh bank peserta bersama fokus industri masing-masing:

    🏦 Institusi Kewangan 📋 Nama Program 🎯 Objektif Program 🤝 Rakan Pelaksana
    Bank Islam Malaysia Berhad DAYA Insani Menyokong peserta melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) yang disasarkan, bagi menyediakan mereka untuk pekerjaan masa hadapan dalam bidang kejururawatan dan teknologi pembuatan.
    • Lembaga Tabung Haji
    • Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (PEYATIM)
    • University College Bestari
    • KMI Healthcare Sdn. Bhd.
    • KHTP Skills Centre
    SME Bank Zero to Hero 3.0 Menyokong peserta melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) yang disasarkan, bagi menyediakan mereka untuk pekerjaan yang mampan dalam sektor fabrikasi logam, kimpalan, dan kejuruteraan luar pesisir.
    • GIATMARA Sdn. Bhd.
    • Zurich General Takaful Malaysia Berhad
    RHB Islamic Bank Employment & Vocational Empowerment Programme (EVOLVE) Menyediakan peserta dengan program latihan intensif sepenuh masa yang direka untuk mempersiapkan mereka bagi peranan sebagai Pembantu Pemandu Keretapi (Railway Assistant Train Pilot), termasuk laluan ke peluang pekerjaan masa hadapan dalam industri rel.
    • Pahang Skill Development Centre
    • Yayasan Pelajaran MARA
    Public Islamic Bank Public Islamic iTEKAD 5.0 – iTEKAD Sejahtera Employment Programme Menyediakan peserta dengan peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) melalui program latihan teknikal, bagi menyediakan mereka untuk pekerjaan sebagai juruteknik sedia industri dalam sektor elektronik dan pembuatan termaju.
    • Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd.
    • Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
    • Majlis Agama Islam Perlis
    • Majlis Agama Islam Melaka
    • Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang
    Maybank Islamic Accelerate with TVET Menyokong peserta melalui penyediaan latihan bersama sokongan bimbingan (coaching) dan pementoran (mentoring), dengan pekerjaan masa hadapan dalam pelbagai bidang termasuk: otomotif, kenderaan berat, ekosistem rel, industri telekomunikasi dan gentian optik, sektor luar pesisir dan Minyak & Gas (O&G), kejuruteraan/kimpalan, serta tenaga kerja pelabuhan.
    • Carsome Academy
    • Pahang Skills Development Centre
    • Yayasan Pelajaran MARA
    • Yayasan Pahang Advanced Skills
    CIMB Islamic Bank iTEKAD CIMB Islamic KHTP Employment & Technical Skills Programme Menyokong peserta melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) yang disasarkan, bagi menyediakan mereka untuk pekerjaan masa hadapan dalam industri elektrik & elektronik, semikonduktor, automasi industri, dan teknologi pembuatan termaju.
    • Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd.
    • Institusi zakat dan rakan komuniti
    Bank Muamalat Malaysia Berhad iTEKAD Employment programme by BMMB Menyokong peserta melalui peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling), setelah mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor perniagaan seperti makanan & minuman, perkhidmatan, peruncitan, hospitaliti, pembinaan, dan pendidikan.
    • Akan disahkan kelak (To be confirmed)

    Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui PDF di bawah: (Klik Download untuk muat turun)

    Adakah Peserta Dijamin Mendapat Pekerjaan Selepas Latihan?

    Tidak. Peserta tidak dijamin mendapat pekerjaan selepas tamat latihan. Ini merupakan perkara penting yang perlu difahami oleh pemohon.

    Menurut BNM, program iTEKAD Employment menyediakan platform untuk peserta dipertimbangkan bagi peluang pekerjaan bersama rakan pelaksana atau syarikat dalam rangkaian mereka. 

    Namun, peluang tersebut tertakluk kepada komitmen dan prestasi peserta sepanjang tempoh latihan serta proses penilaian.

    Maksudnya, mengikuti latihan tidak bermakna peserta akan terus menerima surat tawaran kerja.

    Sebaliknya, peserta perlu:

    • menghadiri latihan;
    • menunjukkan komitmen;
    • memenuhi keperluan program;
    • mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan;
    • dan melepasi penilaian yang berkaitan.

    Selepas itu, peserta boleh dipertimbangkan untuk peluang pekerjaan yang tersedia.

    Bagaimana Cara Memohon iTEKAD Employment?

    Mekanisme permohonan bagi sub-program iTEKAD Employment berbeza dengan bantuan tunai kerajaan yang biasa.

    Oleh sebab setiap kursus latihan dan jaminan penempatan kerja dikendalikan secara berasingan oleh bank-bank peserta, anda perlu memohon mengikut langkah demi langkah (step-by-step) yang strategik di bawah:

    Langkah-Langkah Memohon iTEKAD Employment

    Langkah 1: Pilih Program dan Bank Pengendali
    Rujuk jadual ringkasan 7 bank peserta yang telah dibahas sebelum ini (seperti program DAYA Insani oleh Bank Islam, Zero to Hero 3.0 oleh SME Bank, atau EVOLVE oleh RHB Islamic Bank). Pilih program yang menawarkan latihan dalam bidang industri yang bersesuaian dengan minat anda.

    Langkah 2: Sediakan Dokumen Sokongan Profil Rentan
    Setiap bank akan menapis profil pemohon untuk memastikan bantuan ini sampai kepada golongan kumpulan sasar.

    Sediakan dokumen berikut:

    • Salinan Kad Pengenalan (MyKad) pemohon.
    • Bukti Pendapatan (Slip gaji isi rumah, penyata akaun bank, atau Surat Pengesahan Pendapatan Komuniti jika tidak bekerja/bekerja sendiri).
    • Bukti Kategori Rentan (Kad pendaftaran asnaf/zakat, dokumen pengesahan ibu tunggal, atau sijil berhenti sekolah/kolej jika berkaitan).

    Langkah 3: Pantau Pengumuman Ambilan (Intake) Rasmi
    Layari portal rasmi atau media sosial bank pengendali yang anda pilih. Bank-bank seperti Maybank Islamic atau CIMB Islamic akan membuka hebahan borang online atau pautan pendaftaran digital apabila kuota sesi latihan baharu dibuka mengikut kalendar mereka.

    Langkah 4: Bertanya Terus Melalui Hubungan Kaunter
    Jika anda tidak menemui pautan permohonan atas talian yang sedang aktif, anda boleh hadir secara fizikal ke cawangan bank berdekatan dan bertanyakan terus kepada pegawai khidmat pelanggan mengenai pengambilan terkini bagi program kewangan sosial iTEKAD Employment / iTEKAD Kerjaya.

    Langkah 5: Hadiri Saringan dan Sesi Temuduga
    Calon yang disenarai pendek berdasarkan profil B40/asnaf akan dipanggil oleh pihak bank atau rakan pelaksana untuk sesi saringan ringkas. Sesi ini bertujuan menguji komitmen anda untuk menamatkan latihan sehingga fasa penempatan kerja tetap selesai.

    Sumber Rujukan

    Semua maklumat, syarat kelayakan, dan draf pakej bantuan dalam panduan ini diambil secara sahih berdasarkan pengumuman dan dokumen rasmi berikut:

    NOTA EDITOR: Artikel ini ditulis berdasarkan sumber rasmi yang dinyatakan di atas. Sekiranya terdapat kesalahan maklumat atau fakta yang kurang tepat, sila maklumkan kepada pasukan eWarta agar artikel ini boleh disemak semula demi menyediakan panduan yang tepat & terkini kepada pembaca.


    Soalan Lazim iTEKAD Employment

    1. Bila iTEKAD Employment diperkenalkan?

    Program ini diperkenalkan pada 2026 dan dilancarkan dalam Sasana Symposium pada 28 Julai 2026.

    2. Siapa yang boleh memohon iTEKAD Employment?

    Syarat bergantung kepada program. Secara umum, ia menyasarkan komuniti rentan seperti golongan berpendapatan rendah, asnaf, individu yang tercicir daripada pendidikan, individu yang menukar kerjaya dan ibu tunggal, tertakluk kepada kriteria program masing-masing.

    3. Adakah semua program iTEKAD Employment mempunyai syarat yang sama?

    Tidak. Setiap institusi kewangan dan rakan pelaksana menentukan syarat pengambilan berdasarkan objektif serta reka bentuk program masing-masing.

    4. Adakah latihan iTEKAD Employment percuma?

    Struktur sokongan bergantung kepada program. iTEKAD Employment menggunakan model seperti biasiswa dan boleh merangkumi pelbagai bentuk sokongan kepada peserta. Semak syarat program tertentu sebelum memohon.

    5. Adakah peserta dijamin mendapat pekerjaan?

    Tidak. Pekerjaan tidak dijamin selepas tamat latihan. Peserta boleh dipertimbangkan untuk peluang pekerjaan berdasarkan komitmen dan prestasi sepanjang latihan serta penilaian.

    6. Adakah iTEKAD Employment hanya untuk sektor tertentu?

    Tidak. Program ini terbuka kepada semua sektor ekonomi, tetapi setiap institusi kewangan boleh memilih sektor dan bidang latihan berdasarkan kepakaran serta objektif program.

    7. Adakah Bank Muamalat menyertai iTEKAD Employment?

    Ya. bank Muamalat merupakan salah satu institusi kewangan yang mengambil bahagian dalam iTEKAD Employment. Programnya menyediakan laluan latihan uspkilling dan reskilling untuk peluang pekerjaan dalam beberapa sektor termasuk F&B, perkhidmatan peruncitan, hospitaliti, pembinaan dan pendidikan.

    8. Adakah hanya bank yang mengendalikan latihan?

    Tidak semestinya. Program melibatkan rakan pelaksana yang boleh membantu dalam latihan dan pembangunan kemahiran serta laluan pekerjaan.

    9. Di mana boleh mendapatkan maklumat rasmi iTEKAD Employment?

    Maklumat terkini boleh disemak melalui halaman rasmi Bank Negara Malaysia – iTEKAD Employment kerana BNM menyenaraikan institusi kewangan yang mengambil bahagian, program, sasaran peserta dan rakan pelaksana.

    Penafian (Disclaimer): Website ini hanya menyediakan panduan rujukan am berdasarkan maklumat rasmi Bank Negara Malaysia (BNM). Kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana bank peserta dan tidak menawarkan borang kelulusan automatik. Sila layari portal rasmi bank masing-masing untuk maklumat terbaharu.

    Asraf merupakan penulis artikel Bahasa Melayu di ewarta.my yang mempunyai pengalaman dalam menganalisis topik semasa, bantuan kerajaan, tips kewangan di Malaysia, isu viral serta liputan berita dan acara nasional di Malaysia. Komited untuk menyediakan panduan mudah difahami oleh pembaca umum.

    View All Posts

    You Missed