Cara Bersihkan Periuk Stainless Steel: Hilangkan Kesan Hangus, Tompok Air, Minyak & Kotoran

Cara Bersihkan Periuk Stainless Steel Hilangkan Kesan Hangus, Tompok Air, Minyak & Kotoran

Cara bersihkan periuk stainless steel yang comot, hangus, atau mempunyai kesan kotoran sebenarnya sangat mudah. Anda hanya perlu menggunakan bahan dapur semula jadi seperti cuka, baking soda, atau sos tomato tanpa perlu menyental menggunakan berus dawai yang boleh mencalarkan permukaan periuk.

Sekarang ramai yang dah mula beralih ke periuk stainless steel atau keluli tahan karat untuk pengalaman memasak yang lebih baik. Saya pun begitu!

Periuk stainless steel atau keluli tahan karat sememangnya menjadi pelaburan terbaik untuk dapur anda kerana ia tahan lama, lambat karat, dan nampak premium.

Dari segi penggunaannya pula, periuk stainless steel tidak mempunyai lapisan salutan tidak melekat (non-stick coating) seperti yang terdapat pada sesetengah jenis periuk non-stick yang boleh mengelupas dan membebaskan bahan kimia berbahaya ke dalam makanan anda apabila calar atau terdedah kepada suhu yang tinggi.

Walau bagaimanapun, masalah utama periuk jenis ini adalah ia sangat mudah nampak ‘comot’ terutamanya dengan kesan tompok air (water spots), lapisan minyak melekit, dan kesan ‘pelangi’ akibat haba.

Jika disental dengan cara yang salah seperti menggunakan berus dawai kasar, periuk stainless steel mahal anda akan calar secara kekal!

Hah, nak tahu cara bersihkan periuk stainless steel dengan selamat menggunakan bahan dapur sedia ada? Jom baca tips perkongsian di bawah.

Ringkasan Tips Hilangkan Kesan Tompok Air, Minyak, Kotoran Periuk Stainless Steel

Masalah Periuk Kaedah Sesuai (Bahan Dapur) Tips
Kesan air / water spots Cuka putih tulen Lap terus guna kain mikrofiber yang dibasahi cuka, tak perlu campur air supaya mineral cepat larut.
Kesan minyak / melekit Sabun pencuci + Air suam Sifat minyak boleh diatasi dengan sabun yang memotong lemak dan bilasan air suam.
Makanan hangus (Bahagian Dalam) Didihan Baking soda + Air Rebus air dan baking soda sampai kering (seperti dalam Tips 1 anda).
Kesan pelangi (heat tint) Cuka putih tulen Kesan akibat api terlalu panas ini sangat sensitif dengan asid cuka. Sekali lap terus hilang!
Kusam / kekuningan Sos tomato Kandungan asid dalam sos tomato sangat power untuk naikkan semula kilauan besi yang dah legap.
Kesan karat ringan Lemon + Garam halus Kombinasi asid lemon dan sikit sentalan garam halus lebih cepat mengikis karat berbanding sos tomato.
Makanan melekat / Kerak tebal Rendam air panas + Baking soda Rendam dulu bagi lembut, kemudian tabur baking soda dan sental manja guna span lembut.

3 Tips & Cara Bersihkan Periuk Stainless Steel

Tips dan cara yang dikongsikan di bawah saya telah cuba sendiri dan memang berkesan. Sebelum ni, kalau tak hilang kesan tompok-tompok tu saya biar je tapi sakit juga mata menengoknya.

Apabila dah jumpa cara yang betul, memang berkliat periuk-periuk tu. Tak sakit mata lagi!

Ini tips dan cara-cara untuk bersihkan periuk stainless steel dengan mudah dan menggunakan bahan dapur:

1. Baking Soda + Air Mendidih

Kaedah ini sangat sesuai digunakan untuk menghilangkan kesan tompok minyak, makanan melekat atau kesan hangus.

  1. Masukkan air dalam periuk tersebut dan campurkan dengan baking soda.
  2. Biar air mendidih sampai kering. Memang kena biar sampai kering ya tapi jangan biar sampai hangit pula. Nanti boleh nampak ada kerak-kerak putih macam pes (rujuk gambar).
  3. Kalau dah kering air tu, matikan api dan biar sampai suam-suam supaya mudah nak sental.
  4. Bila dah sejuk boleh gunakan span basah dan sabun untuk sental perlahan.
grafik cara hilangkan kesan hangus dan kotoran periuk stainless steel
grafik cara bersihkan periuk stainless steel

TIPS 1: Baking soda tu pastikan menutupi semua kawasan kotor dan air pula jangan terlalu banyak nanti lama sangat nak tunggu mendidih dan kering. Gunakan air yang mencukupi untuk larutkan serbuk baking soda tersebut.

TIPS 2: Untuk bahagian luar periuk pula, gunakan cara yang sama, tapi gunakan periuk yang lebih besar daripada periuk stainless steel yang nak dibersihkan. Rendam periuk stainless steel dalam periuk besar tu, campur air dan baking soda kemudian didihkan sehingga air kering baru sental luaran periuk stainless steel tersebut.

2. Cuka Putih + Air

Bagi menghilangkan kesan tompokan air, kotoran degil atau nak kilatkan semula periuk stainless steel anda, boleh gunakan tips ini:

  1. Masukkan cuka putih dan air dengan nisbah 1:1 ke dalam periuk yang nak dibersihkan.
  2. Didihkan tapi jangan terlalu lama.
  3. Biarkan sejuk seketika.
  4. Letak sabun cuci pinggan dan gosokkan dengan perlahan.
  5. Selesai!

Mudah je kan?

Cara ni saya rujuk perkongsian daripada video facebook Rasa dan saya dah cuba memang hilang semua kesan-kesan air tu!

TIPS 1: Habis je basuh, terus lap dengan kain bersih sampai betul-betul kering supaya tak ada lagi kesan tompok air di periuk stainless anda. Jangan biar kering sendiri.

TIPS 2: Cuka yang dipanaskan ni sangat tajam baunya, jadi pastikan anda buka tingkap luas-luas dan ada peredaran udara yang baik.

3. Sos Tomato

Selalu sos tomato kita buat untuk makan dengan ayam goreng je, rupa-rupanya boleh buat cuci periuk!

Sos tomato mengandungi bahan berasid seperti asid sitrik dan asid asetik dalam jumlah tertentu. Keasidan ini boleh membantu menanggalkan kesan kotoran, perubahan warna dan kesan oksidasi ringan pada permukaan stainless steel.

Jadi, periuk yang dah legap dan tak berseri automatik akan jadi berkilat semula.

  1. Lumurkan sos tomato pada bahagian periuk yang kotor atau kusam, terutamanya di bahagian bawah dan luar periuk.
  2. Biarkan sos tomato bertindak balas selama 15 hingga 20 minit.
  3. Selepas dibiarkan, ambil span lembut dan sental perlahan-lahan. Anda akan nampak kesan kusam tersebut luntur bersama sos tomato.
  4. Bilas dengan air bersih dan basuh dengan sabun seperti biasa.
grafik cara bersihkan periuk stainless steel

TIPS 1: Cara ini paling berkesan untuk menaikkan semula kilauan asal periuk yang dah mula nampak kelam atau kekuningan akibat haba dapur.

TIPS 2: Jika kesan karat atau oksidasi terlalu degil, anda boleh campurkan sedikit garam halus bersama sos tomato untuk dijadikan agen penyental lembut.

Pantang Larang Penggunaan Periuk Stainless Steel

Untuk memastikan jangka hayat periuk stainless steel anda bertahan lama dan tidak melekat, pastikan anda ikut pantang larang ini:

  • Jangan Guna Berus Dawai (Steel Wool): Ini kesilapan nombor satu. Berus dawai atau bahan penyental yang terlalu kasar boleh meninggalkan calar pada permukaan stainless steel. Selain menjejaskan penampilan periuk, permukaan yang tercalar dan kasar juga boleh menjadikannya lebih sukar untuk dibersihkan dan menjejaskan kemasan asal periuk. Makanan pun akan jadi lebih mudah melekat nanti.
  • Jangan gunakan peluntur atau produk yang mengandungi klorin: Bahan berasaskan klorin boleh merosakkan permukaan stainless steel jika digunakan secara tidak sesuai atau dibiarkan terlalu lama. Sebaiknya gunakan sabun pencuci pinggan atau produk pembersih yang memang sesuai untuk stainless steel.
  • Jangan Siram Air Sejuk pada Periuk Panas: Perubahan suhu yang drastik (kejutan terma) boleh menyebabkan struktur tapak periuk meleding (warp) atau herot, menyebabkan haba tidak lagi sekata apabila memasak nanti.

Cara Guna Periuk Stainless Steel Dengan Betul

Bagi memastikan periuk keluli tahan karat anda kekal berkilat dan berfungsi dengan baik untuk tempoh yang lama, penjagaan dan teknik memasak yang betul amatlah diperlukan.

Panaskan periuk sebelum memasukkan minyak untuk elak masakan melekat

  • Ini dinamakan teknik “Leidenfrost effect”.
  • Panaskan periuk di atas api sederhana dahulu, kemudian titiskan sedikit air. Jika air melantun dan bergerak seperti guli, periuk sudah bersedia.
  • Lap air tersebut dan masukkan minyak.
  • Teknik ini boleh membantu mengurangkan makanan daripada melekat pada permukaan periuk, terutama apabila suhu, minyak dan masa memasak dikawal dengan betul.
grafik cara elak periuk stainless steel melekat

Nota editor: Teknik pemanasan stainless steel memang boleh membantu mengurangkan makanan melekat, tetapi ia bukan jaminan makanan tidak melekat langsung.

Kawal suhu api

  • Keluli tahan karat menyimpan haba dengan sangat baik.
  • Gunakan api sederhana atau kecil sahaja untuk memasak.
  • Penggunaan api yang terlalu besar boleh menyebabkan makanan cepat hangus dan meninggalkan kesan pelangi atau kehitaman pada permukaan periuk.

Jangan masukkan garam ke dalam air sejuk

  • Semasa merebus, tunggu sehingga air mendidih baru masukkan garam dan kacau sehingga larut.
  • Garam yang dibiarkan mendap pada permukaan stainless steel, terutama dalam keadaan tertentu, boleh meningkatkan risiko pitting corrosion atau hakisan berbentuk lubang kecil.

Penjagaan Harian Periuk Stainless Steel

Untuk memastikan periuk stainless steel anda kekal berkilat, rutin penjagaan harian selepas setiap kali memasak amatlah penting.

  • Jangan biarkan sisa makanan kering melekat terlalu lama.
  • Sentiasa biarkan periuk sejuk pada suhu bilik sebelum membasuhnya. Menyiram air sejuk terus pada periuk panas (kejutan termal) boleh melenturkan dasar periuk secara kekal.
  • Gunakan air suam & sabun. Air suam sangat efektif untuk melonggarkan sisa minyak harian. Sental lembut menggunakan span.
  • Sental ikut urat besi (grain). Jika anda perhatikan betul-betul, permukaan stainless steel mempunyai jalur urat halus. Sentiasa sental mengikut arah jalur tersebut, bukan secara membulat, untuk mengelakkan kesan calar halus kelihatan jelas.

“Keringkan Serta-merta” (Sangat Penting!)

Daripada pengalaman saya, perkara paling penting nak elak periuk nampak kusam dan ada kesan kotor ialah terus lap periuk selepas dicuci.

Kalau dibiarkan kering sendiri, nanti ada tompokan air dan periuk nampak comot. Lap guna kain mikrofiber yang kering sehingga betul-betul kering sebelum disimpan.

Boleh ke basuh periuk stainless steel guna dishwasher?

Kebanyakan periuk stainless steel boleh dibasuh menggunakan mesin pencuci pinggan (dishwasher), tetapi kesesuaiannya bergantung pada reka bentuk periuk dan arahan penjagaan daripada pengeluar.

Sebelum memasukkannya ke dalam mesin, semak label atau manual produk untuk memastikan ia mempunyai label “dishwasher safe”.

Selepas proses mencuci dan mengering, sesetengah periuk mungkin mempunyai tompokan putih atau kesan kusam akibat mendapan mineral daripada air.

Jika ini berlaku, lap permukaan dengan kain lembut yang dibasahkan sedikit dengan cuka putih, kemudian bilas dan keringkan dengan sempurna.

Semasa menyusun perkakas dalam dishwasher, elakkan periuk stainless steel bersentuhan rapat dengan perkakas daripada logam lain untuk tempoh yang lama, terutama dalam keadaan basah.

Ini boleh membantu mengurangkan risiko perubahan warna atau hakisan pada permukaan tertentu.

Jika dishwasher anda tidak mengeringkan perkakas sepenuhnya, lap periuk dengan kain bersih selepas kitaran mencuci selesai.

Ini boleh membantu mengurangkan kesan water spots dan memastikan permukaan stainless steel kekal lebih bersih dan berkilat.

tips basuh periuk stainless steel guna dishwasher

TIPS: Dishwasher boleh membantu membersihkan minyak dan sisa makanan biasa, tetapi kerak makanan yang sudah hangus atau melekat dengan tebal mungkin memerlukan rawatan awal. Rendam dan bersihkan kerak tersebut terlebih dahulu menggunakan kaedah yang sesuai sebelum memasukkan periuk ke dalam dishwasher.

FAQ – Soalan Lazim Cara Bersihkan Periuk Stainless Steel

Kenapa timbul kesan warna-warni seperti pelangi (heat tint) pada periuk saya? Adakah ia bahaya?

Tidak berbahaya. Biasanya tidak menjejaskan fungsi periuk, tetapi heat tint menunjukkan permukaan telah terdedah kepada suhu tinggi.

Bagaimana cara hilangkan kesan hangus pada periuk stainless steel?

Untuk bahagian dalam: Isi air sehingga menutupi kesan hangus, campurkan 1 cawan cuka putih, dan didihkan. Selepas mendidih, tutup api dan masukkan 2 sudu besar baking soda (air akan berbuih). Biarkan sejuk selama 15–20 minit, kemudian sental lembut dengan span biasa.
Untuk kesan hitam luar periuk: Lumurkan pes pekat baking soda + sedikit air, biarkan 15 minit, kemudian sental menggunakan gumpalan aluminium foil yang dikeronyok menjadi bola.

Bagaimana cara hilangkan tompok air pada periuk stainless steel?

Tuangkan sedikit cuka putih tulen (atau perahan lemon) pada kain mikrofiber atau span lembut, gosok pada tompokan tersebut, dan bilas dengan air bersih. Sifat asid cuka akan melarutkan mendapan mineral tersebut dalam beberapa saat.

Kenapa makanan mudah melekat pada periuk stainless steel?

Berbeza dengan periuk teflon, stainless steel mempunyai liang-liang seni (pori-pori mikroskopik) pada permukaannya. Apabila besi dipanaskan, logam akan mengembang dan menyebabkan makanan mudah melekat.

Bagaimana cara elak periuk stainless steel melekat?

Gunakan teknik Leidenfrost effect. Panaskan periuk kosong terlebih dahulu atas api sederhana, uji dengan titisan air (jika air melantun seperti guli, periuk sudah sedia), lap air, masukkan minyak, dan periuk secara automatik menjadi non-stick semula jadi.

Adakah periuk stainless steel boleh berkarat?

Boleh, jika lapisan pelindungnya rosak. Walaupun dinamakan “tahan karat”, ia bukanlah “anti-karat” sepenuhnya.

Penafian: Maklumat yang dikongsi dalam artikel ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi. Penulisan ini bertujuan untuk perkongsian info dan pendidikan sahaja. Kesan bagi setiap kaedah mungkin berbeza mengikut gred, jenama, dan tahap kerosakan periuk keluli tahan karat anda. Pembaca dinasihatkan untuk sentiasa merujuk manual penjagaan rasmi daripada pengeluar periuk masing-masing sebelum mencuba sebarang teknik pembersihan ekstrem.

Puan Sofia merupakan seorang ibu kepada 4 orang cahaya mata dan pengkaji kandungan digital yang aktif berkongsi panduan keibubapaan, tips harian, gaya hidup praktikal serta artikel informatif di ewarta.my.

View All Posts

You Missed