Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW: Soalan & Jawapan Untuk Guru & Ibu Bapa – PDF Percuma!
Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW | Jom rujuk senarai soalan Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW yang lengkap dengan jawapan beserta fakta sirah di bawah. Anda juga boleh muat turun fail PDF percuma di hujung artikel ini untuk dicetak sebagai rujukan.
- Siapa Sasaran Kuiz Ini?
- Soalan & Jawapan Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW
- Panduan Cara Menggunakan Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW
- Sistem Pemarkahan
- Muat Turun PDF Kuiz Kenali Nabi SAW
- Apa Yang Boleh Dipelajari Daripada Kuiz Ini?
- Info Tambahan: Akhlak Rasulullah SAW Yang Boleh Dicontohi Dalam Kehidupan Harian
- Rujukan
- FAQ - Soalan Lazim Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW
Siapa Sasaran Kuiz Ini?
Kuiz ini sangat sesuai digunakan oleh pelbagai kumpulan seperti:
- Murid Sekolah Rendah & Menengah: Soalan dipecahkan mengikut tahap kesukaran untuk disesuaikan dengan tahap umur mereka.
- Guru-Guru: Sebagai bahan bantu mengajar (BBM) yang pantas di dalam kelas atau dewan sekolah.
- Ibu Bapa: Sesuai dijadikan pengisian aktiviti keluarga di rumah pada hujung minggu atau malam hari.
- Jawatankuasa Surau & Masjid: Boleh digunakan sebagai slot santai sebelum ceramah perdana atau aktiviti berkumpulan remaja masjid.
- Urusetia Program: Bahan aktiviti sampingan untuk menceriakan program-progam agama di peringkat pejabat, komuniti, atau taman perumahan.
Soalan & Jawapan Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW
Jom jawab soalan kuiz di bawah!
Tahap 1: Pemula (Kanak-Kanak & Sekolah Rendah)
1. Di manakah kota tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW?
JAWAPAN
Jawapan: Kota Mekah
- Baginda lahir di perkampungan Syi’b Ali di Mekah, sebuah kota yang kering kontang tetapi penuh dengan sejarah Nabi Ibrahim AS.
2. Siapakah nama bapa dan ibu kandung Nabi Muhammad SAW?
JAWAPAN
Jawapan: Bapanya bernama Abdullah, ibunya bernama Aminah.
- Bapa baginda wafat sebelum baginda lahir, manakala ibunya wafat ketika baginda berusia 6 tahun. Baginda membesar sebagai seorang anak yatim piatu.
3. Pada tarikh berapakah Nabi Muhammad SAW dilahirkan?
JAWAPAN
Jawapan: 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah.
- Dinamakan Tahun Gajah kerana pada tahun tersebut, kota Mekah diserang oleh tentera bergajah Abrahah yang mahu meruntuhkan Kaabah, namun diselamatkan oleh Allah melalui burung Ababil.
4. Siapakah nama datuk Nabi yang memelihara baginda selepas kematian ibunya?
JAWAPAN
Jawapan: Abdul Mutalib.
- Abdul Mutalib ialah seorang pemimpin Quraisy yang sangat dihormati dan sangat menyayangi Nabi Muhammad SAW.
5. Siapakah wanita yang menjadi ibu susuan pertama Nabi di kawasan pedalaman?
JAWAPAN
Jawapan: Halimatusaโdiaah (Halimah as-Sa’diyah).
- Kehidupan keluarga Halimah berubah menjadi penuh berkat dan mewah semenjak mereka menyusukan dan menjaga Nabi Muhammad SAW.
6. Apakah gelaran yang diberikan oleh penduduk Mekah kepada Nabi kerana sifat baginda yang tidak pernah berbohong?
JAWAPAN
Jawapan: Al-Amin (Yang Dipercayai).
- Sejak kecil lagi, Nabi terkenal dengan sifat jujur sehingga musuh Islam sendiri pun mempercayai baginda untuk menyimpan harta mereka.
7. Siapakah isteri pertama Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang usahawan wanita yang hebat?
JAWAPAN
Jawapan: Saiditina Khadijah binti Khuwailid.
- Saiditina Khadijah adalah orang pertama yang beriman dengan risalah kenabian Nabi dan mengorbankan seluruh hartanya demi Islam.
- Melalui siri Irsyad Al-Hadith Siri Ke-448, perkongsian Mufti WP berkaitan status Siti Khadijah adalah sebagai:“Pemimpin wanita pada zamannya, ibu bagi anak-anak Nabi SAW, manusia pertama yang beriman dengan risalah kenabian Baginda.”
8. Apakah haiwan tunggangan yang dinaiki oleh Nabi semasa peristiwa Israk Mikraj?
JAWAPAN
Jawapan: Buraq.
- Buraq bergerak dengan kelajuan yang sangat luar biasa (sekali melangkah sejauh mata memandang) sebagai tanda kekuasaan Allah.
9. Berapakah bilangan anak Nabi Muhammad SAW?
JAWAPAN
Jawapan: 7 orang (3 lelaki, 4 perempuan).
- Anak lelaki baginda ialah Qasim, Abdullah, dan Ibrahim (kesemuanya wafat waktu kecil). Anak perempuan baginda ialah Zainab, Ruqayyah, Ummu Kulthum, dan Fatimah.
10. Di manakah Nabi Muhammad SAW wafat dan dimakamkan?
JAWAPAN
Jawapan: Di Kota Madinah (di dalam rumah Saiditina Aisyah).
- Makam Nabi kini terletak di dalam Masjid Nabawi di Madinah, di bawah Kubah Hijau (Green Dome).
Tahap 2: Sederhana (Sekolah Menengah & Umum)
11. Di manakah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama?
JAWAPAN
Jawapan: Di Gua Hira’ (Bukit Jabal Nur).
- Wahyu pertama yang turun ialah Surah Al-Alaq (ayat 1-5) yang menekankan tentang kepentingan membaca dan menuntut ilmu (Iqra’).
12. Siapakah nama sahabat baik Nabi yang menemani baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah?
JAWAPAN
Jawapan: Saidina Abu Bakar As-Siddiq.
- Mereka berdua terpaksa bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari daripada buruan kafir Quraisy sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah.
13. Apakah nama asal kota Madinah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW?
JAWAPAN
Jawapan: Yathrib.
- Nama Yathrib kemudiannya ditukar kepada Madinatun Nabi (Kota Nabi) atau Al-Madinah Al-Munawwarah (Kota yang Bercahaya).
14. Apakah gelaran yang diberikan kepada penduduk asal Madinah yang menyambut dan membantu orang Islam Mekah?
JAWAPAN
Jawapan: Kaum Ansar (Golongan Penolong).
- Sifat kaum Ansar yang sanggup berkongsi harta, rumah, dan perniagaan dengan orang Mekah (Kaum Muhajirin) adalah simbol persaudaraan Islam yang paling agung.
15. Apakah peperangan besar pertama yang dimenangi oleh tentera Islam walaupun bilangan mereka sedikit?
JAWAPAN
Jawapan: Perang Badar.
- Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang menentang 1,000 tentera Quraisy. Kemenangan ini membuktikan bantuan Allah mengatasi logistik manusia.
16. Berapakah umur Nabi Muhammad SAW ketika baginda diangkat menjadi Rasul?
JAWAPAN
Jawapan: 40 tahun.
- Umur 40 tahun sering dikaitkan dengan tahap kematangan minda dan jiwa yang paling sempurna bagi seorang manusia.
17. Apakah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang kekal sehingga hari kiamat?
JAWAPAN
Jawapan: Kitab Suci Al-Quran.
- Mukjizat nabi-nabi terdahulu hilang selepas nabi tersebut wafat, tetapi Al-Quran dipelihara oleh Allah dan boleh dibaca oleh kita sehingga ke hari ini.
18. Apakah nama perjanjian damai antara Nabi dengan kafir Quraisy yang berlaku pada tahun ke-6 Hijrah?
JAWAPAN
- Jawapan: Perjanjian Hudaibiyah.
- Walaupun syarat-syarat perjanjian kelihatan berat sebelah dan merugikan Islam pada awalnya, ia sebenarnya membuka jalan kepada pembukaan kota Mekah tanpa tumpahan darah.
- Melalui artikel Bayan Linnas Siri Ke-157: Sulh Al-Hudaibiyah: Fiqh Pengajaran Dan Iktibar, pejabat Mufti membincangkan bagaimana perjanjian yang awalnya kelihatan “rugi” di mata sebahagian sahabat, sebenarnya merupakan satu kemenangan strategi dakwah yang sangat besar buat umat Islam
19. Siapakah nama bapa saudara Nabi yang sentiasa membela baginda daripada ancaman Quraisy walaupun beliau tidak memeluk Islam?
JAWAPAN
- Jawapan: Abu Talib.
- Kematian Abu Talib (bersama Saiditina Khadijah) pada tahun yang sama menyebabkan tahun tersebut dinamakan Aam al-Huzn (Tahun Kesedihan) bagi Nabi.
20. Apakah nama dokumen perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal oleh Nabi untuk menyatukan penduduk Madinah?
JAWAPAN
- Jawapan: Piagam Madinah (Sahifah Madinah).
- Piagam ini berjaya menyatukan kaum berbilang bangsa dan agama (termasuk suku Yahudi) di Madinah di bawah satu sistem keadilan.
Tahap 3: Mencabar (Remaja & Dewasa)
21. Bagaimanakah sifat ketebalan janggut Rasulullah SAW berdasarkan hadis dalam kitab Syamail al-Muhammadiyah?
JAWAPAN
Jawapan: Janggut baginda tebal dan lebat (Katthu al-Lihyah / Katsira Sya’ri al-Lihyah).
- Menurut penjelasan di laman rasmi Mufti dalam artikel Al-Kafi #331: Hukum Menyimpan Jambang, istilah Lihyah (janggut) mengikut para ulama termasuklah bulu yang tumbuh di kedua-dua pipi (jambang) dan dagu. Baginda menganjurkan umatnya memelihara janggut kemas sebagai sunnah.
22. Apakah buah-buahan yang direkodkan dalam kitab Syamail pernah dimakan oleh Nabi SAW bersama buah tamar (kurma)?
JAWAPAN
Jawapan: Buah tembikai (Al-Bittikh).
- Merujuk kepada artikel Irsyad Al-Hadith Siri Ke-420: Hadith Kelebihan Buah Tembikai, Pejabat Mufti menukilkan riwayat daripada Saiditina Aisyah R.Anha bahawa: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama buah tamar basah (rutab).” (Riwayat Al-Tirmizi)
23. Bagaimanakah cara Nabi Muhammad SAW berjalan?
JAWAPAN
Jawapan: Baginda berjalan dengan cepat, tegap, dan condong sedikit ke hadapan seolah-olah sedang turun dari tempat yang tinggi.
- Dijelaskan secara terperinci dalam Irsyad Al-Hadith Siri Ke-362, sunnah berjalan menurut Nabi SAW ialah tidak berjalan dengan gaya takabbur (meninggi diri), tidak terlalu lambat, dan tidak menunduk layu.
24. Apakah nama pedang Nabi Muhammad SAW yang paling terkenal yang diwarisi daripada bapa baginda?
JAWAPAN
Jawapan: Al-Ma’thur.
- Pedang yang awal dimiliki oleh Baginda SAW sebagai harta pusaka daripada bapanya. Pedang ini telah diberikan kepada Saidina Ali. Panjang hujungnya 99 sentimeter. Sekarang tersimpan di Muzium Topkapi, Turki – Bayan Linnas Siri Ke-19 di Laman Rasmi Mufti WP.
25. Berapakah jumlah ibadah Haji yang sempat ditunaikan oleh Nabi sepanjang hayat baginda?
JAWAPAN
Jawapan: Hanya 1 kali (iaitu Haji Wada’ / Haji Perpisahan).
- Rasulullah SAW pernah mengerjakan ibadah umrah sebanyak empat kali iaitu pada bulan Zulkaedah tahun ke-6, 7 dan 8 hijrah serta ketika mengerjakan haji sekali pada tahun ke-10 hijrah. – Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri Ke-98
26. Apakah amalan yang dilakukan oleh Nabi sehinggakan kaki baginda menjadi bengkak/sakit?
JAWAPAN
Jawapan: Solat malam (Qiyamullail) yang terlalu lama.
- Apabila ditanya oleh Saiditina Aisyah mengapa baginda beribadah sebegitu rupa sedangkan dosanya telah diampunkan, Nabi menjawab: “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?” – AL-KAFI #1110: CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT
27. Tahun kesedihan (‘Amul Huzn) merupakan salah satu fasa paling berat dalam sejarah dakwah Nabi Muhammad SAW. Peristiwa apakah yang menjadi alasan utama disebutnya tahun ini sebagai tahun kesedihan?
JAWAPAN
Jawapan: Wafatnya Abu Thalib dan Khadijah binti Khuwailid.
- Tahun ini disebut tahun kesedihan karena Abu Thalib (bapa saudara yang selalu melindungi Baginda) dan Khadijah (isteri tercinta yang selalu menyokong dakwah beliau) wafat dalam waktu yang berdekatan.
28. Setelah menerima wahyu pertama di Gua Hira, Nabi Muhammad SAW merasa ketakutan. Khadijah kemudian membawa beliau menemui seorang pendeta Nasrani yang merupakan pakar kitab Injil dan sepupu Khadijah. Siapakah nama pendeta tersebut?
JAWAPAN
Jawapan: Waraqah bin Naufal
- Waraqah bin Naufal adalah sepupu Khadijah yang membenarkan bahawa apa yang dialami Muhammad di Gua Hira adalah wahyu yang sama seperti yang diturunkan kepada Nabi Musa AS.
29. Dalam Perang Uhud, umat Islam mengalami ujian berat dan banyak sahabat yang gugur (syahid). Siapakah bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang gugur dalam pertempuran tersebut dan digelar sebagai Sayyidus Shuhada (Penghulu Para Syuhada)?
JAWAPAN
Jawapan: Hamzah bin Abdul Muthalib
- Hamzah bin Abdul Muthalib, gugur di Perang Uhud dan mendapat gelar Singa Allah serta Penghulu Para Syuhada.
30. Nabi Muhammad SAW melaksanakan ibadah haji satu-satunya di akhir hayat beliau yang dikenal sebagai Haji Wada’. Di manakah Nabi SAW menyampaikan khutbah terakhirnya yang sangat bersejarah kepada puluhan ribu umat Islam?
JAWAPAN
Jawapan: Padang Arafah (Jabal Rahmah)
- Nabi SAW menyampaikan Khutbah Wada’ di depan ribuan umat Islam dari atas Jabal Rahmah di Padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah tahun 10 H.

Panduan Cara Menggunakan Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW
Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW boleh digunakan sebagai aktiviti pembelajaran yang santai tetapi bermanfaat.
Kuiz ini bukan sekadar menguji ingatan peserta, malah boleh dijadikan peluang untuk mengenali sirah, keluarga, akhlak dan peristiwa penting dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW.
1. Untuk Aktiviti Di Sekolah
Guru boleh menggunakan kuiz sebagai aktiviti dalam kelas Pendidikan Islam, program Maulidur Rasul atau aktiviti selepas sesi penerangan tentang sirah Nabi Muhammad SAW.
Murid boleh menjawab secara individu atau dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mewujudkan suasana yang lebih interaktif.
Selepas kuiz selesai, guru boleh membincangkan beberapa soalan bersama murid, terutama soalan yang mempunyai fakta sirah penting.
Cara ini membantu murid memahami mengapa jawapan tersebut betul, bukannya sekadar menghafal jawapan.
2. Untuk Program Maulidur Rasul
Kuiz juga sesuai dijadikan salah satu acara dalam program Maulidur Rasul di sekolah, masjid, surau atau komuniti.
Penganjur boleh menetapkan masa tertentu, menyediakan borang jawapan dan memberikan hadiah kecil kepada peserta yang memperoleh markah tertinggi.
Untuk program berkumpulan, soalan boleh dibacakan oleh pengacara dan setiap kumpulan diberikan masa tertentu untuk berbincang sebelum jawapan dikumpulkan.
3. Untuk Aktiviti Bersama Anak Di Rumah
Ibu bapa boleh menggunakan kuiz sebagai aktiviti pembelajaran bersama anak, khususnya pada waktu lapang. Pilih soalan mengikut umur dan tahap pengetahuan anak supaya aktiviti tidak terasa seperti ujian.
Selepas anak menjawab, ibu bapa boleh menerangkan fakta ringkas berkaitan jawapan tersebut.
Sebagai contoh, jika soalan berkaitan keluarga Nabi Muhammad SAW, ibu bapa boleh mengambil peluang untuk memperkenalkan nama ibu, bapa, datuk, ibu susuan dan ahli keluarga baginda secara ringkas.
Sistem Pemarkahan
Jika kuiz digunakan dalam pertandingan, penganjur boleh memberikan 1 markah bagi setiap jawapan yang betul. Jumlah markah kemudiannya boleh digunakan untuk menentukan pemenang.
Sebagai contoh, bagi kuiz yang mempunyai 30 soalan:
- 26โ30 markah: Sangat baik
- 21โ25 markah: Baik
- 15โ20 markah: Memuaskan
- 0โ14 markah: Boleh cuba lagi
Muat Turun PDF Kuiz Kenali Nabi SAW
Sila muat turun PDF percuma kuiz kenali Nabi SAW di bawah:
Apa Yang Boleh Dipelajari Daripada Kuiz Ini?
Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW ini bukan sekadar aktiviti uji minda biasa. Ia sebenarnya merupakan salah satu medium pembelajaran sirah yang interaktif untuk kita sebagai umat Islam mengenali dan mengingati semula fakta mengenai Nabi Muhammad SAW.
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada kuiz ini ialah:
1. Meneladani Keluhuran Akhlak dan Keperibadian Rasulullah SAW
Melalui kuiz ini, pembaca didedahkan dengan gelaran Al-Amin (Yang Dipercayai) yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW sejak usia muda kerana kejujuran Baginda.
Selain itu, perincian hadis tentang cara Baginda berjalan yang tegap dan tidak sombong, serta kesungguhan Baginda mendirikan solat malam sehingga bengkak kaki mengajar kita tentang erti tawaduk (rendah diri) dan rasa kesyukuran yang tinggi kepada Allah SWT.
2. Memahami Susur Galur Keluarga dan Latar Belakang Baginda
Soalan tahap pemula membantu pembaca mengenali insan-insan penting di sekeliling Nabi, termasuk ibu bapa Baginda (Abdullah dan Aminah), datuknya (Abdul Mutalib), serta ibu susuan (Halimah as-Sa’diyah).
Kisah Baginda yang membesar sebagai anak yatim piatu memberikan pengajaran mendalam tentang ketabahan hidup sejak kecil.
Pembaca juga dapat mengenali Saiditina Khadijah sebagai contoh wanita berkerjaya dan usahawan hebat yang mengorbankan seluruh jiwanya demi Islam.
3. Mengetahui Kronologi dan Peristiwa Penting Penurunan Wahyu
Kuiz ini memperincikan detik permulaan kenabian pada usia 40 tahun di Gua Hira’ melalui Surah Al-Alaq.
Melalui soalan berkaitan Waraqah bin Naufal, pembaca dapat memahami bagaimana ajaran Islam melambangkan kesinambungan kebenaran wahyu terdahulu (seperti yang diturunkan kepada Nabi Musa AS).
Ini melatih pembaca untuk menghargai kepentingan ilmu dan budaya membaca (Iqra’) dalam kehidupan.
4. Mempelajari Strategi Kepimpinan, Dakwah, dan Kedamaian
Di peringkat yang lebih mencabar, kuiz ini mengupas tentang Piagam Madinah sebagai perlembagaan bertulis pertama di dunia yang berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama secara adil.
Pembaca juga dapat mempelajari fasa kritikal seperti Perjanjian Hudaibiyah yang mengajar kita erti diplomasi dan pandangan jauh (strategic thinking) dalam menyelesaikan konflik demi mencapai keamanan jangka panjang tanpa tumpahan darah.
5. Menghayati Semangat Persaudaraan dan Pengorbanan Para Sahabat
Kisah penghijrahan dari Mekah ke Madinah bersama Saidina Abu Bakar serta peranan Kaum Ansar yang sanggup berkongsi harta dan rumah dengan Kaum Muhajirin menonjolkan simbol persaudaraan Islam yang paling agung.
Selain itu, kisah pengorbanan Saidina Hamzah yang gugur di Perang Uhud memberikan inspirasi tentang erti kesetiaan, keberanian, dan perjuangan dalam mempertahankan prinsip kebenaran.
Info Tambahan: Akhlak Rasulullah SAW Yang Boleh Dicontohi Dalam Kehidupan Harian
Berikut adalah senarai akhlak Rasulullah SAW yang boleh dicontohi dalam kehidupan:
1. Berbicara dengan Lemah Lembut dan Beradab
Baginda tidak pernah berkata kasar atau mencaci maki, sebaliknya sentiasa mengamalkan perkataan yang mendatangkan kebaikan.
- Aplikasi Harian: Mengawal emosi ketika marah dan mengelakkan perkataan kesat, termasuk ketika menulis di media sosial.
2. Sifat Pemaaf dan Membawa Rahmat kepada Semua
Walaupun ditindas, dihina, dan disakiti oleh musuh sepanjang fasa dakwah, Baginda sentiasa memilih jalan kemaafan dan mendoakan hidayah buat mereka.
- Aplikasi Harian: Membuang sifat dendam dan mudah memaafkan kesilapan rakan sekerja atau ahli keluarga yang tersilap langkah.
3. Mengelakkan Perkataan Buruk dan Menjaga Lisan
Rasulullah SAW sangat menitikberatkan umatnya untuk menyempurnakan keindahan akhlak dengan menjaga setiap bait bicara agar tidak menyinggung atau menzalimi orang lain.
- Aplikasi Harian: Mengelakkan tabiat mengumpat, memfitnah, atau mengejek kekurangan orang lain.
4. Saling Hormat-Menghormati Terutamanya kepada yang Lebih Tua
Antara keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ialah menyantuni dan meletakkan kedudukan yang tinggi kepada golongan yang lebih berusia serta orang tua.
- Aplikasi Harian: Menghormati ibu bapa, mendengar nasihat warga emas, dan memberikan keutamaan kepada mereka dalam urusan harian atau kemudahan awam.
5. Berlaku Adil dalam Setiap Urusan dan Hubungan Kekeluargaan
Baginda sentiasa mempamerkan keluhuran akhlak yang tinggi, termasuk dalam menguruskan keadilan dan hak dalam kehidupan berumah tangga tanpa sebarang bentuk pengkhianatan.
- Aplikasi Harian: Menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab, membahagikan tugas rumah tangga secara adil, dan jujur dengan pasangan.

Rujukan
Berikut ialah antara rujukan yang digunakan dalam artikel ini:
- Al-Kafi #331: Hukum Menyimpan Jambang
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-420: Hadith Kelebihan Buah Tembikai
- Bayan Linnas Siri Ke-157: Sulh Al-Hudaibiyah: Fiqh Pengajaran Dan Iktibar
- AL-KAFI #1110: CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT
- Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri Ke-98
- Bayan Linnas Siri Ke-19 di Laman Rasmi Mufti WP
NOTA EDITOR: Artikel ini telah disemak. Namun, sekiranya terdapat kesalahan maklumat atau fakta yang kurang tepat, sila maklumkan kepada pasukan eWarta agar artikel ini boleh disemak semula demi menyediakan panduan yang tepat & terkini kepada pembaca.
FAQ – Soalan Lazim Kuiz Kenali Nabi Muhammad SAW
Kuiz ini boleh disesuaikan untuk pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak, murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan orang dewasa. Tahap kesukaran soalan boleh diubah mengikut umur dan pengetahuan peserta.
Antara topik yang boleh dimasukkan ialah kelahiran Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, zaman kanak-kanak, permulaan kenabian, peristiwa hijrah, perjuangan dakwah serta akhlak Rasulullah SAW.
Ya. Kuiz boleh dijadikan salah satu aktiviti dalam sambutan Maulidur Rasul di sekolah, masjid, surau, komuniti atau organisasi. Ia boleh dijalankan secara individu atau berkumpulan mengikut kesesuaian program.
Ya. Semua jawapan disemak berdasarkan kitab sirah muktabar (seperti Syamail al-Muhammadiyah) dan disandarkan kepada artikel penjelasan rasmi daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Namun sekiranya ada kesilapan sila maklumkan kepada pihak eWarta.
Penafian: Kandungan kuiz dan penerangan dalam artikel ini disediakan untuk tujuan pendidikan, pembelajaran dan aktiviti umum sahaja.Pembaca disarankan merujuk sumber agama yang berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti atau kitab sirah yang muktabar untuk mendapatkan penerangan yang lebih terperinci. Bahan kuiz ini tidak bertujuan menggantikan pengajian atau pandangan daripada guru, ustaz, ustazah atau pihak berautoriti dalam bidang agama.