Seruan Istito’ah – 5 Perkara Penting Perubahan Simpanan Tabung Haji yang Perlu Bakal Haji Tahu
Seruan Istito’ah diperkenalkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai Pelan Persediaan Haji yang bertujuan untuk membantu pendeposit membuat persediaan menunaikan haji. Melalui pelan ini, TH memperkenalkan sistem Kelayakan Giliran Haji Automatik, syarat simpanan minimum RM15,000, serta pengenalan Tabung Istito’ah bagi membantu bakal jemaah membina simpanan haji secara lebih terancang dan berdisiplin.
–
Sebagai umat Islam di Malaysia, berita tentang perubahan sistem simpanan haji ini pastinya menarik perhatian kita semua.
Ada yang rasa bimbang tentang nasib giliran haji ibu ayah dan diri sendiri yang tak kunjung tiba serta anak-anak yang sudah didaftarkan sejak lahir lagi.
Masih ramai juga yang keliru bagaimana cara sistem baharu ini berfungsi, adakah menjejaskan giliran haji mereka dan adakah RM15,000 memang wajib untuk dapat giliran haji, kalau tak mampu macam mana dan sebagainya.
Jangan risau atau panik.
Pelan Persediaan Haji (Seruan Istito’ah) ini sebenarnya adalah satu usaha murni pihak Tabung Haji untuk memastikan langkah kita ke Baitullah menjadi lebih teratur.
Jom kita fahami 5 perkara penting tentang perubahan simpanan Tabung Haji ini agar impian kita menjadi tetamu Allah dipermudah.

- Ringkasan Artikel Seruan Istito'ah
- Apa Itu Seruan Istito'ah?
- 5 Perkara Penting Perubahan Sistem Simpanan Tabung Haji Terkini - Seruan Istitoah
- Apa Maksud Perubahan Ini Kepada Anda?
- Tindakan yang Perlu Dilakukan oleh Bakal Haji
- Kalkulator Sasaran Seruan Istito'ah (Misi RM15,000)
- Apa Terjadi Selepas 1 Januari 2029?
- Adakah Sistem Baharu Ini Membatalkan Giliran Haji Terdahulu & Pendaftaran Anak?
- Cadangan Solusi Untuk Ibu Bapa Yang Ramai Anak
- Rujukan
- FAQ - Soalan Lazim Seruan Istito'ah Tabung Haji
Ringkasan Artikel Seruan Istito’ah
Berikut adalah ringkasan fakta penting yang perlu anda tahu tentang Pelan Persediaan Haji baharu ini:
- Pelan Persediaan Haji: Seruan Istito’ah diperkenalkan untuk membantu pendeposit membuat persediaan menunaikan ibadah haji dengan lebih mudah, ringkas, dan lancar.
- Giliran Automatik: Kelayakan Giliran Haji Automatik diberikan kepada pendeposit yang memenuhi syarat simpanan tanpa perlu membuat pendaftaran secara manual.
- Syarat RM15,000: Simpanan minimum RM15,000 diperlukan untuk layak mendapat Kelayakan Giliran Haji Automatik.
- Tarikh Akhir 2028: Pendeposit yang telah mendaftar haji diberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai simpanan minimum yang ditetapkan.
- Tabung Istito’ah: Pengenalan Tabung Istito’ah membantu membentuk disiplin simpanan dengan lebih terancang bagi mencapai sasaran simpanan haji.
Apa Itu Seruan Istito’ah?
Berdasarkan penjelasan rasmi Tabung Haji, Seruan Istito’ah diperkenalkan sebagai Pelan Persediaan Haji untuk membantu pendeposit membuat persediaan menunaikan haji dengan lebih mudah, ringkas dan lancar.
Melalui inisiatif Seruan Istito’ah ini, TH memperkenalkan tiga ciri utama untuk membantu bakal jemaah, iaitu Kelayakan Giliran Haji Automatik, syarat simpanan minimum RM15,000, serta pengenalan Tabung Istito’ah.

Di dalam rukun Islam kelima, ibadah haji bukanlah sekadar menuntut niat dan azam yang kuat semata-mata. Seseorang umat Islam itu wajib memenuhi syarat Istito’ah, yang bermaksud “kemampuan”, sama ada dari sudut kesihatan fizikal, keselamatan perjalanan, penguasaan ilmu haji, dan yang paling utama ialah kemampuan kewangan.
Langkah ini dilaksanakan untuk mengenal pasti jemaah yang benar-benar sudah bersedia, sekali gus memastikan proses perjalanan ke Tanah Suci berjalan dengan baik.

5 Perkara Penting Perubahan Sistem Simpanan Tabung Haji Terkini – Seruan Istitoah
Sistem simpanan Tabung Haji kini memperkenalkan Pelan Persediaan Haji (Seruan Istito’ah) untuk menjadikan persediaan haji umat Islam di Malaysia lebih teratur, ringkas dan lancar.
Setelah saya membuat pembacaan dengan teliti melalui info rasmi yang dikongsikan oleh Tabung Haji, berikut ialah 5 perubahan besar di bawah Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang wajib anda ambil tahu:





1. Kelayakan Giliran Haji Automatik
Sebelum ini, pendeposit perlu membuat pendaftaran haji secara manual sama ada di kaunter, melalui aplikasi THiJARI, atau melalui pautan simpanan KWSP.
Tetapi sekarang, tiada lagi pendaftaran manual. Ia digantikan dengan sistem Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Nama anda akan masuk ke dalam barisan giliran haji secara automatik sebaik sahaja akaun anda mencapai simpanan minimum RM15,000 di Tabung Haji.

Mengapa Langkah Ini Diperkenalkan?
Kita pasti pernah mendengar kisah orang terdekat kita yang sangat gembira apabila mendapat surat tawaran haji, tetapi akhirnya terpaksa menolak dengan hati yang berat.
Berdasarkan data rasmi TH, sebelum ini hampir 50 peratus pendeposit terpaksa menangguhkan hasrat ke Tanah Suci kerana kekangan kewangan yang belum bersedia pada saat akhir.
Pengalaman sebegini amat menyedihkan bagi seorang bakal haji.
Sebab itulah, sistem automatik ini diperkenalkan untuk mewujudkan pengurusan yang lebih telus, adil, dan mampan bagi memastikan mereka yang dipanggil adalah mereka yang benar-benar sudah bersedia.
Perkara penting yang saya rasa semua orang kena cakna ialah, perubahan ini sama sekali TIDAK menjejaskan prinsip asal “siapa dahulu, didahulukan” (First-Come, First-Served). Sistem ini TIDAK memotong barisan anda, sebaliknya ia mengiktiraf usaha murni anda yang menyimpan secara konsisten untuk ke Baitullah.
Jangan keliru, RM15,000 BUKAN KOS HAJI. Tetapi, ia adalah SIMPANAN MINIMUM untuk menunjukkan anda telah bersedia.

2. Syarat Simpanan Minimum RM15,000
Untuk melayakkan nama kita dimasukkan ke dalam sistem penggiliran automatik, Lembaga Tabung Haji (TH) kini menetapkan syara simpanan minimum sebanyak RM15,000 di dalam akaun.
Angka RM15,000 ini bukanlah diletakkan suka-suka untuk menyusahkan kita, tetapi ia adalah satu penanda aras (benchmark) awal yang menunjukkan kita sudah bersedia dari segi kewangan.

Kita semua tahu bahawa kos untuk menunaikan ibadah haji semakin meningkat saban tahun akibat faktor ekonomi dunia.
Hari ini, kos sebenar untuk menunaikan haji bagi seorang jemaah telah mencecah RM33,300. Bagi kumpulan B40, jumlah RM15,000 ini adalah nilai anggaran minimum yang perlu dibayar oleh jemaah selepas mengambil kira bantuan kewangan haji daripada TH.
Ramai jemaah pernah mengalami pengalaman cemas apabila menerima surat tawaran haji tetapi duit simpanan belum mencukupi. Terpaksa pula berhutang atau menggadaikan barang kemas dalam masa yang singkat.
Ini semua sebenarnya dapat dielakkan melalui seruan Istito’ah yang dilancarkan baru-baru ini.
Keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang mula diperkenalkan pada tahun 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran Haji menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus, berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.
Jadi, dengan syarat terkini Kelayakan Giliran Haji Automatik kena ada simpanan RM15,000 itu pasti dapat mengurangkan lagi peratus penangguhan haji.
3. Tarikh Akhir: 31 Disember 2028
Bagi jemaah yang sudah mendaftar haji sebelum sistem baharu ini diperkenalkan, anda tidak perlu panik. TH memberikan tempoh penyeragaman (grace period) sehingga 31 Disember 2028 untuk anda mencukupkan simpanan sehingga RM15,000.
Selepas tarikh ini, susunan giliran akan diselaraskan semula mengikut kecukupan syarat kewangan anda.
Ada Masa 2 Tahun Lebih untuk Cukupkan RM15,000
Dengan adanya tempoh masa sehingga hujung tahun 2028, kita diberi ruang untuk bernafas dan menyusun semula strategi kewangan keluarga tanpa perlu tergesa-gesa.
Namun, janganlah pula kita mengambil mudah tempoh yang diberikan ini.
Mulai 1 Januari 2029, sistem TH akan mula menyusun semula kedudukan giliran haji mengikut siapa yang lebih awal mendaftar dan siapa yang duitnya sudah cukup RM15,000.
Jadi, jom kita ambil peluang ini sebagai ruang untuk menabung secara terancang, bukannya alasan untuk tunggu sampai ke saat-saat akhir.

4. Pengenalan Sistem “Multi-Tabung”
Satu lagi pembaharuan yang sangat menarik di bawah pelan Seruan Istito’ah ini adalah pengenalan sistem Multi-Tabung yang akan mula dilaksanakan pada 19 September 2026.
Melalui ciri terbaharu ini, akaun Lembaga Tabung Haji (TH) kita tidak lagi bercampur aduk. Sebaliknya, ia akan dipecahkan kepada dua tabung berbeza di dalam satu akaun yang sama:
- Tabung Am: Ini adalah tabung utama untuk urusan harian kita seperti biasa, termasuklah untuk memasukkan duit atau membuat pengeluaran apabila ada keperluan mendesak.
- Tabung Istito’ah: Ini pula adalah tabung khas yang diwujudkan khusus untuk simpanan haji. Wang di dalam tabung ini akan menjadi penanda aras kesiapsiagaan kewangan kita untuk ke Tanah Suci.


Dengan kemudahan Multi-Tabung, pendeposit boleh mengasingkan simpanan kepada Tabung Istito’ah bagi membantu menyediakan dana khusus untuk tujuan persediaan menunaikan haji.
Simpanan ke Tabung Istito’ah dibuat melalui pindahan daripada Tabung Am. Pendeposit perlu memindahkan sejumlah simpanan daripada Tabung Am ke Tabung Istito’ah mengikut kemampuan dan perancangan kewangan masing-masing.
Langkah ini amat membantu kita melihat dengan jelas sejauh mana tahap kemampuan kewangan sebenar kita demi menyahut seruan Ilahi.
5. Pengekalan Prinsip “Yang Dahulu Didahulukan”
Apabila mendengar tentang syarat baharu yang diperkenalkan TH, sudah pasti ada dalam kalangan kita yang mula rasa keliru dan bimbang.
Kita mungkin terfikir, “Adakah sistem baharu ini bermakna orang yang kaya dan berduit boleh memotong barisan jemaah yang dah lama menunggu?”
Jawapannya adalah tidak sama sekali.
Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa mereka tetap mengekalkan prinsip keadilan yang utama, iaitu prinsip “yang dahulu didahulukan” (First-Come, First-Served).
Sistem baharu ini hanya bertindak sebagai penyaring untuk memastikan jemaah yang bakal dipanggil itu benar-benar sudah bersedia dari segi kewangan.
Dengan mencukupkan simpanan RM15,000 sebelum tarikh akhir 31 Disember 2028, giliran haji anda lebih terjamin.
Apa Maksud Perubahan Ini Kepada Anda?
| Situasi | Apa perlu buat? |
|---|---|
| Sudah daftar haji | Pastikan simpanan mencapai RM15,000 sebelum 31 Disember 2028 |
| Belum daftar & belum cukup RM15k | Mula bina simpanan secara konsisten |
| Belum daftar & sudah RM15k | Semak kelayakan giliran automatik |
| Ada anak ramai | Susun sasaran simpanan mengikut keutamaan |
| Sudah tunaikan haji | Tabung Istito’ah boleh digunakan untuk matlamat simpanan lain |
Tindakan yang Perlu Dilakukan oleh Bakal Haji
TH telah membahagikan garis panduan tindakan kepada dua kategori utama bakal haji:
1. Pendeposit yang Telah Mendaftar Haji
Bagi mengekalkan kelayakan kedudukan giliran sedia ada, pendeposit yang telah mendaftar sebelum ini perlu mengambil tindakan berikut:
- Pendeposit yang sudah mempunyai rekod pendaftaran haji sebelum ini perlu menambah simpanan mereka secara konsisten sehingga jumlah baki akaun mencecah sekurang-kurangnya RM15,000.
- TH memberikan masa, di mana pendeposit sedia ada diberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencukupkan baki tersebut.
- Bermula 1 Januari 2029, sistem akan menyusun semula kedudukan giliran haji mengikut syarat kecukupan simpanan minimum RM15,000 yang telah ditetapkan.
2. Individu yang Belum Daftar Haji
- Bagi anda yang belum buat pendaftaran haji, tindakan pertama yang wajib dilakukan adalah menabung di dalam akaun Tabung Haji (Tabung Istito’ah) sehingga baki mencapai RM15,000.
- Sebaik sahaja jumlah simpanan mencecah RM15,000, pendeposit tidak perlu mendaftar secara manual kerana sistem akan memasukkan nama mereka ke dalam senarai giliran haji secara automatik.
- Ketetapan wajib RM15,000 sebagai syarat asas kelayakan giliran ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2029.
Melalui pelaksanaan skim yang lebih berstruktur ini, Tabung Haji bukan sahaja memperkasakan kesediaan mental dan fizikal jemaah, malah memastikan ekosistem pengurusan haji negara kekal mampan dalam mendepani cabaran peningkatan kos logistik dan penginapan di Tanah Suci pada masa hadapan.

Kalkulator Sasaran Seruan Istito’ah (Misi RM15,000)
Anda boleh buat pengiraan berapa simpanan yang diperlukan sebelum 31 Disember 2028 untuk mencapai nilai RM15,000 dalam akaun Tabung Haji anda.
Pilih tarikh dan masukkan simpanan semasa di Tabung Haji.
Kalkulator akan membuat kiraan berapa baki yang diperlukan dan berapa simpanan yang diperlukan untuk capai RM15,000 berdasarkan masa yang tinggal.
- Contohnya, sekarang (14 SEPTEMBER 2026) anda ada simpanan RM2,000 di TH.
- Ini bermakna anda ada 27 bulan lagi sebelum tarikh akhir, 31 Disember 2028.
- Simpanan bulanan yang diperlukan ialah RM482 sebulan.
Kalkulator Sasaran Seruan Istito’ah (Misi RM15,000)
Pilih tarikh hari ini pada kalendar, masukkan simpanan semasa anda, dan klik butang “Kira” untuk mengetahui sasaran simpanan bulanan sehingga 31 Disember 2028.
Apa Terjadi Selepas 1 Januari 2029?
Mengikut kenyataan rasmi Tabung Haji, sistem akan mula menyusun semula kedudukan giliran haji secara sistematik berdasarkan gabungan dua benda: tarikh asal korang mendaftar DAN bila simpanan cukup RM15,000.
- Kesan Jika Tidak Cukup RM15,000: Jika pada 1 Januari 2029 simpanan anda masih belum mencecah RM15,000 (contohnya baru ada RM5,000), nama anda mungkin akan ditangguhkan sementara daripada sistem pemilihan giliran aktif. Walaubagaimanapun, belum ada penjelasan rasmi daripada TH mengenai isu ini.
Langkah ini dilaksanakan oleh Tabung Haji bagi memastikan bakal jemaah benar-benar mempunyai kemampuan kewangan (istito’ah) sebelum terpilih, memandangkan kos haji semasa telah meningkat.

Adakah Sistem Baharu Ini Membatalkan Giliran Haji Terdahulu & Pendaftaran Anak?
Ini adalah antara kerisauan terbesar yang paling banyak disuarakan oleh ibu bapa. Ramai yang telah mendaftarkan anak-anak sejak lahir lagi dengan modal RM1,300.
Timbul ketakutan: “Kalau ada ramai anak dan simpanan tak cukup RM15,000 menjelang hujung tahun 2028, adakah pendaftaran mereka terbatal? Rugilah daftar awal dulu”
Jawapan Ringkas: Tidak Terbatal, Tetapi Disusun Semula
Sistem baharu ini tidak membatalkan akaun pendaftaran sedia ada anak-anak anda. Walau bagaimanapun, cara giliran itu disusun dalam sistem komputer akan mengalami perubahan.
Info ini akan dikemaskini daripada masa ke semasa.
Adakah Rugi Daftar Haji Awal Dulu?
Sama sekali tidak rugi. Tarikh pendaftaran lama anda tetap merupakan satu kelebihan yang besar. Sebagai contoh:
Anak A: Mendaftar haji pada tahun 2018, dan baki akaunnya cukup RM15,000 pada Mac 2028.
Anak B: Baru mendaftar haji pada Mac 2027 dan terus mencukupkan simpanan RM15,000.
Dalam situasi ini, Anak A akan mendapat giliran yang lebih awal berbanding Anak B kerana sistem mengambil kira “senioriti” tarikh daftar asal tahun 2018 milik Anak A.
Maksudnya, status pendaftaran awal anda tetap bernilai, asalkan anda berusaha memenuhi syarat RM15,000 tersebut kemudian hari.
⚠️ Nota Penting: Walau bagaimanapun, segala urusan penggiliran dan kelayakan ini adalah bergantung sepenuhnya kepada polisi, terma, serta syarat semasa yang ditentukan oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH). Anda digalakkan untuk sentiasa menyemak status akaun melalui portal rasmi mereka dari semasa ke semasa.
Cadangan Solusi Untuk Ibu Bapa Yang Ramai Anak
Jika anda mempunyai bilangan anak yang ramai dan kekangan modal untuk mencukupkan RM15,000 bagi setiap anak sekali gus, berikut adalah strategi yang boleh anda lakukan:
- Pindahkan atau cukupkan simpanan RM15,000 untuk anak yang paling dewasa dahulu. Ini kerana giliran mereka untuk dipanggil adalah lebih dekat berbanding anak yang masih bayi.
- Manfaatkan ciri pemindahan wang berkala ke dalam Tabung Istito’ah anak secara konsisten setiap bulan, walaupun dalam jumlah yang kecil seperti RM50 atau RM100.
- Gunakan duit raya anak, bonus tahunan anda, atau dividen tahunan Tabung Haji untuk dimasukkan terus ke akaun anak demi mengejar sasaran sebelum Disember 2028.
Perubahan yang dibawakan melalui Seruan Istito’ah oleh Tabung Haji ini sebenarnya bertujuan untuk memastikan proses ke Tanah Suci adalah adil dan selaras dengan tuntutan syarak. Ia mendidik kita semua bahawa ibadah haji memerlukan persediaan yang rapi, bukan sekadar impian kosong.
Sama-sama kita semak semula baki akaun kita dan anak-anak di portal THiJARI dan mula merancang kewangan dari sekarang.
Semoga Allah mempermudah urusan kita semua untuk menjadi tetamu-Nya pada masa yang tepat.

Rujukan
Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah dirujuk bersandarkan kepada kenyataan media rasmi dan garis panduan terkini daripada pihak Tabung Haji di Malaysia:
- Kenyataan Media Rasmi: Lembaga Tabung Haji (TH) – Pengenalan Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah (Tarikh: 11 September 2026).
- Portal Rasmi Tabung Haji: www.tabunghaji.gov.my
- Soalan Lazim Seruan Istito’ah: https://www.tabunghaji.gov.my/bm/soalan-lazim/seruan-istitoah
- Portal Semakan Akaun & Pendaftaran: thijari.com.my
NOTA EDITOR: Artikel ini ditulis berdasarkan sumber rasmi yang dinyatakan di atas. Sekiranya terdapat kesalahan maklumat atau fakta yang kurang tepat, sila maklumkan kepada pasukan eWarta agar artikel ini boleh disemak semula demi menyediakan panduan yang tepat & terkini kepada pembaca.
FAQ – Soalan Lazim Seruan Istito’ah Tabung Haji









Muat Turun FAQ Seruan Istito’ah – Pelan Persediaan Haji versi PDF di bawah. Klik butang ‘Download’ untuk mula muat turun.
Tidak perlu. Jika anda sudah mempunyai rekod pendaftaran haji sebelum ini, sistem komputer TH akan mengesan akaun anda secara automatik. Kelayakan giliran haji anda akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja baki akaun mencukupi syarat minimum tanpa perlu mengisi sebarang borang baharu.
Nilai RM15,000 ini adalah penanda aras minimum kesiapsiagaan kewangan asas yang diambil daripada kos minimum bayaran haji bagi kumpulan B40. Walau bagaimanapun, jumlah sebenar bayaran haji adalah tertakluk kepada pengisytiharan kategori pendapatan (B40, M40, atau T20) semasa surat tawaran haji dikeluarkan kelak.
Ya, boleh. Bermula 19 September 2026, TH menyediakan kemudahan Multi-Tabung. Anda boleh menetapkan arahan potongan automatik atau pemindahan wang secara berkala dari akaun bank luar terus ke dalam pecahan Tabung Istito’ah anak-anak atau akaun sendiri melalui portal THiJARI.
Sama sekali tidak. Dalam hukum Islam, ibadah haji hanya diwajibkan kepada mereka yang mempunyai kemampuan (Istito’ah).
Langkah ini diambil kerana permintaan untuk menunaikan haji di Malaysia semakin meningkat setiap tahun, manakala kuota yang diberikan adalah terhad. TH mahu memastikan proses penggiliran menjadi lebih adil. Melalui Seruan Istito’ah, TH dapat mengenal pasti jemaah yang benar-benar sudah bersedia daripada awal. Ia juga mendidik kita supaya menukar niat kepada tindakan yang berdisiplin, bukannya sekadar mendaftar nama tanpa membuat perancangan kewangan yang serius.
Penafian (Disclaimer): Informasi yang terkandung dalam artikel ini adalah bertujuan untuk rujukan am dan panduan maklumat sahaja. Penulisan ini tidak mewakili sebarang bentuk nasihat kewangan, perundangan, atau keputusan rasmi daripada pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH). Pembaca amat dinasihatkan untuk sentiasa merujuK portal rasmi Lembaga Tabung Haji atau aplikasi rasmi TH untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.
