Cara Daftar eKasih 2026 | Panduan Pendaftaran, Bancian Rumah & Semakan Status

cara daftar ekasih icu jpm

Pendaftaran eKasih TIDAK BOLEH dilakukan secara dalam talian (online). Hanya proses semakan status kelayakan dan pengemaskinian profil boleh dilakukan melalui portal eKasih di https://ekasih2.icu.gov.my/.

Rujuk panduan yang disusun berdasarkan maklumat rasmi yang tersedia serta penerangan praktikal untuk membantu pembaca memahami proses pendaftaran, bancian dan semakan status eKasih di bawah.

Apa yang anda akan dapat dalam panduan ini?

Panduan ini ditulis khas untuk membantu anda faham keseluruhan mengenai permohonan eKasih dari mula hingga akhir.

Kami tidak hanya menerangkan cara mendaftar, malah kami perincikan lima perkara yang sering mengelirukan pemohon:

  • Beza Daftar eKasih vs Semak Status : Penjelasan kenapa pendaftaran baharu wajib dibuat secara fizikal manakala semakan status sahaja yang boleh dibuat secara online.
  • Senarai Semak Dokumen: Dokumen sokongan wajib yang perlu dibawa ke kaunter bagi memastikan permohonan anda tidak ditolak serta-merta.
  • Proses Bancian Lapangan: Apa yang berlaku selepas anda daftar dan tip persediaan bancian ke rumah.
  • Maksud Status Semakan di Portal eKasih: Maksud sebenar 4 status utama (Disahkan, Ditolak, Disemak, Baru) yang muncul dalam sistem semakan.
  • Pelan Tindakan Alternatif: Langkah yang boleh anda ambil sekiranya permohonan ditolak atau status masih belum dikemas kini selepas tempoh yang lama.

๐Ÿ’ก Fakta: Pendaftaran baharu eKasih wajib secara fizikal di Pejabat Pembangunan Negeri/Daerah kerana tiada sistem pendaftaran online. Pendaftaran eKasih adalah untuk isi rumah yang memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan dalam sistem.


cara daftar eKasih

Mengapa Penting Berdaftar dengan eKasih?

eKasih adalah sistem pangkalan data kemiskinan yang diuruskan oleh ICU JPM.

Kepentingan berdaftar dalam sistem eKasih ialah kerana ia merupakan prasyarat untuk menerima berbagai bantuan kerajaan yang khusus, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan i-Suri, dan beberapa bantuan/subsidi yang diperuntukkan khas untuk kategori eKasih.

Namun, pendaftaran dalam eKasih TIDAK bermaksud anda automatik menerima SEMUA bantuan kerajaan.

Sesetengah program menggunakan data atau status eKasih sebagai salah satu kriteria, tetapi setiap bantuan mempunyai syarat kelayakan dan kaedah permohonan tersendiri.

Cara Daftar & Permohonan Baru eKasih (2026)

Untuk mendaftar eKasih, anda perlu hadir secara fizikal ke:

  1. Pejabat yang ICU JPM yang berdekatan
  2. Atau, daftar melalui Pemimpin Tempatan/ Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)/ Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Persekutuan (JPKKP).

Bagi memastikan urusan anda di Pejabat ICU JPM berjalan lancar dan permohonan tidak ditolak, pastikan anda selesaikan senarai semak ini di rumah terlebih dahulu:

1. Senaraikan Semua Ahli Isi Rumah (AIR)

  • Status kemiskinan eKasih dinilai menggunakan konsep pendapatan per kapita (jumlah pendapatan dibahagi bilangan ahli rumah).
  • Tindakan: Ambil sehelai kertas dan tulis nama semua individu yang tinggal bersama di bawah satu bumbung, termasuk anak-anak, warga emas, atau adik-beradik yang ditanggung.

2. Kira Jumlah Pendapatan Kasar Isi Rumah

  • Penilai akan melihat jumlah pendapatan keseluruhan, bukan gaji ketua keluarga sahaja.
  • Tindakan: Campurkan gaji kasar suami, isteri, dan mana-mana ahli keluarga lain yang sudah bekerja tetapi masih tinggal bersama di rumah tersebut.

3. Kumpulkan Bukti Pendapatan Fizikal

  • Pendaftaran eKasih memerlukan bukti bertulis untuk mengelakkan ketirisan maklumat.
  • Tindakan: Sediakan slip gaji 3 bulan terkini untuk pekerja makan gaji. Bagi yang bekerja sendiri atau tiada slip gaji (seperti peniaga kecil, petani, atau pemandu), dapatkan Surat Pengesahan Pendapatan yang disahkan oleh Ketua Kampung atau JPKK.

4. Sediakan Dokumen Pengenalan Diri Ahli Keluarga

  • Pegawai kaunter perlu memasukkan nombor pengenalan diri yang sah bagi setiap ahli isi rumah ke dalam sistem.
  • Tindakan: Kumpulkan kad pengenalan (MyKad) asal/salinan untuk semua ahli dewasa dan Sijil Kelahiran (Sijil Lahir) untuk anak-anak yang berumur di bawah 12 tahun.

5. Catat Perincian Beban Kewangan & Komitmen Keluarga

  • Semasa sesi bancian lapangan nanti, bukti bebanan kewangan yang tinggi boleh membantu mengukuhkan status kelayakan anda.
  • Tindakan: Buat satu nota ringkas atau failkan resit bulanan bagi perkara berikut:
    • Resit sewa rumah atau ansuran bulanan.
    • Bil utiliti terkini (elektrik dan air).
    • Anggaran kos pengangkutan harian dan kos persekolahan anak-anak.
    • Kos rawatan penyakit kronik atau komitmen penjagaan ahli keluarga OKU (sediakan laporan perubatan/kad OKU jika ada).
cara daftar ekasih
Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM

Proses pendaftaran eKasih:

Ramai pemohon menyangka proses pendaftaran boleh dibuat di internet tapi sebaliknya. Untuk menjimatkan masa anda, rujuk jadual di bawah:

Panduan Urusan eKasih

Panduan Urusan eKasih

Jenis Urusan Boleh Online? Tindakan Yang Perlu Anda Buat
Pendaftaran Baharu โŒ Tidak Boleh Hadir fizikal ke Pejabat ICU JPM, Pejabat Daerah, atau hubungi wakil komuniti (Ketua Kampung / JPKK / JPKKP).
Semakan Status โœ”๏ธ Boleh Masukkan nombor kad pengenalan anda terus di Portal Rasmi eKasih.
Kemas Kini Profil โœ”๏ธ Boleh Log masuk ke portal eKasih sekiranya profil anda sudah sedia ada dalam sistem.
Pertanyaan & Aduan Hubungi talian rasmi atau hantar e-mel ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) negeri masing-masing.

Berdasarkan semakan setakat: 9 Ogos 2026

Untuk makluman, anda boleh juga daftarkan orang lain (saudara/jiran/rakan/dll) dalam sistem eKasih sekiranya mereka berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa. Anda boleh telefon pejabat ICU JPM atau  atau membuat laporan kes kemiskinan melalui Pemimpin Tempatan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Kenapa Pendaftaran Baru eKasih Tak Boleh Online?

Pihak ICU JPM menetapkan pendaftaran baru mesti melalui pejabat ICU JPM atau wakil rasmi atas sebab-sebab berikut:

  • Pengesahan Kelayakan: Memastikan semakan pendapatan adalah tepat berdasarkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.
  • Proses Bancian Lapangan: Selepas maklumat diterima, proses verifikasi atau bancian lapangan boleh dijalankan bagi mendapatkan dan mengesahkan maklumat berkaitan keadaan isi rumah.

Berapa Pendapatan Layak Daftar eKasih?

Setiap permohonan pendaftaran hendaklah memenuhi kriteria berikut:

  1. Ketua Isi Rumah (KIR) adalah warganegara Malaysia;
  2. Pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa;
  3. Butiran maklumat pemohon yang lengkap.
syarat pendapatan ekasih

Okay, apa pula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa tu?

Maksud Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ialah ambang minimum pendapatan bulanan bagi sesebuah isi rumah untuk menampung keperluan asas hidup seperti makanan, pakaian, perumahan, pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan.

Setakat tahun 2026 ini, penentuan status kemiskinan eKasih adalah menggunakan PGK 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Ekonomi.

Pengkelasan status kemiskinan juga adalah menggunakan konsep per kapita di mana jumlah pendapatan isi rumah sebulan dibahagi dengan bilangan isi rumah.

Nilai Purata PGK Nasional Semasa

Kadar purata PGK nasional yang digunapakai adalah berdasarkan semakan terbaharu:

  • Berdasarkan laporan DOSM bagi tahun 2024, purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah RM2,705 sebulan. Namun, nilai PGK sebenar berbeza mengikut negeri dan lokaliti. Oleh itu, angka RM2,705 tidak boleh dianggap sebagai satu had kelayakan yang sama untuk semua isi rumah di Malaysia.
  • Bagi kategori miskin tegar, purata PGK makanan nasional pada tahun 2024 ialah RM1,236 sebulan. Namun, nilai PGK makanan sebenar turut berbeza mengikut negeri dan lokaliti.

Bagaimanakah Nilai PGK Ditentukan?

  1. Dua Tahun Sekali: Nilai PGK dinilai dan disemak semula setiap dua tahun oleh Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
  2. Survei Pendapatan: Data diambil melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) untuk memantau corak perbelanjaan rakyat.
  3. Variasi Negeri: Nilai PGK sebenar berbeza mengikut lokaliti kerana kos sara hidup di kawasan bandar dan sesetengah negeri (seperti Sabah dan Sarawak) adalah lebih tinggi berbanding purata nasional.

Perbezaan Kategori Kemiskinan

  • Miskin Mutlak: Keadaan di mana pendapatan sesebuah keluarga tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas utama, termasuk komponen bukan makanan seperti bil utiliti dan sewa rumah.
  • Miskin Tegar: Keadaan kritikal di mana jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak mampu pun untuk membeli makanan yang mencukupi bagi keperluan kalori dan nutrisi harian yang sihat.

Di Mana Pejabat ICU JPM untuk Daftar eKasih? – Lokasi Pejabat ICU JPM

Untuk memudahkan anda, berikut kami kongsikan lokasi dan nombor telefon Pejabat ICU JPM setiap negeri di bawah: (Disemak pada Ogos 2026)

Senarai Nombor Telefon dan Faks ICU JPM Negeri

Negeri / Wilayah Nombor Telefon Nombor Faks
ICU JPM PERLIS 04-9777959 04-9778682
ICU JPM KEDAH 04-7209236 04-7209248
ICU JPM PULAU PINANG 04-2185700 / 04-5783700 04-2105733
ICU JPM PERAK 05-2497400 05-2497406
ICU JPM SELANGOR 03-55213600 03-55213700
ICU JPM WILAYAH PERSEKUTUAN 03-40420260 03-40411726
ICU JPM NEGERI SEMBILAN 06-7604812 06-7604842
ICU JPM MELAKA 06-3183000 06-2328570
ICU JPM JOHOR 07-3005000 07-2268020
ICU JPM KELANTAN 09-7455000 09-7481989
ICU JPM TERENGGANU 09-6272000 09-6243101
ICU JPM PAHANG 09-5318333 09-5318388
ICU JPM SABAH 088-484800 088-488294
ICU JPM SARAWAK 082-332837 082-332599

Apa Dokumen Perlu Dibawa ke Pejabat ICU JPM?

– Kad Pengenalan (MyKad) Ketua Isi Rumah (KIR)
– Kad Pengenalan (MyKad) / Sijil Kelahiran semua Ahli Isi Rumah (AIR) yang tinggal bersama.
– Slip gaji terkini atau surat pengesahan pendapatan (bagi yang bekerja sendiri/tiada slip gaji).
– Dokumen sokongan tambahan (jika ada) seperti laporan perubatan sakit kronik, kad OKU, atau sijil kematian/penceraian bagi ibu tunggal.

Dah Daftar, Nak Semak Pendaftaran eKasih Pula Kat Mana? –

Cara Menyemak Status Permohonan

Semakan pendaftaran eKasih boleh dilakukan secara dalam talian.

  1. Pergi ke portal rasmi eKasih di https://ekasih2.icu.gov.my/.
  2. Masukkan nombor kad pengenalan.
  3. Tandakan kotak I’m not a robot
  4. Klik butang โ€œKlik untuk Carianโ€
  5. Selesai. Status pendaftaran anda akan dipaparkan.
cara daftar ekasih - semak kelayakan

Ini adalah 4 status pendaftaran yang boleh dipaparkan:

  1. Disahkan: Maksudnya permohonan anda telah dibanci
  2. Ditolak: Maksudnya anda tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dan permohonan tidak layak dibanci
  3. Disemak: Maksudnya permohonan anda dalam proses semakan
  4. Baru/Daftar Terbuka: Maksudnya permohonan baru

Kalau anda belum pernah buat pendaftaran di mana-mana pejabat ICU JPM atau melalui wakil rasmi, semakan stauts eKasih anda akan dipaparkan seperti berikut:

Kebaikan Berdaftar Dalam eKasih

Apabila nama anda berjaya disahkan dalam pangkalan data eKasih (kategori Miskin atau Miskin Tegar), status dan maklumat dalam eKasih boleh digunakan oleh agensi kerajaan tertentu bagi tujuan mengenal pasti atau menilai kelayakan bagi program bantuan tertentu.

Antaranya:

  • Sumbangan Asas Rahmah (SARA): Bantuan barangan dapur tanpa tunai bulanan menggunakan MyKad di pasar raya terpilih [eKasih ICU JPM].
  • Insentif i-Suri KWSP: Caruman tambahan percuma daripada kerajaan ke dalam akaun KWSP suri rumah yang berdaftar.
  • Rebat Bil Elektrik: Diskaun atau rebat bil elektrik bulanan sehingga RM40 bagi setiap isi rumah yang layak.
  • Bantuan Pendidikan Khas: Program bantuan sekolah seperti elaun murid berkeperluan khas, biasiswa, dan baucar buku khusus

dan banyak lagi!

Namun, pendaftaran atau pengesahan dalam eKasih tidak menjamin penerimaan sesuatu bantuan kerana setiap program mempunyai syarat dan kaedah kelayakan tersendiri.

Apa yang Perlu Disediakan Sebelum Bancian eKasih?

Proses verifikasi atau bancian lapangan boleh melibatkan penilaian keadaan sebenar isi rumah, bergantung kepada proses yang ditetapkan oleh pihak berkaitan.

Semasa proses bancian, berikan maklumat yang tepat dan jujur mengenai keadaan isi rumah. Sediakan dokumen sokongan yang berkaitan sekiranya diminta.

Sediakan dokumen-dokumen penting yang mungkin diperlukan seperti laporan perubatan (jika ada), kad OKU, bukti bil utiliti yang tinggi, surat pengesahan pendapatan semasa dan sebagainya bagi memudahkan penilaian pegawai.

Berapa Lama Proses Pendaftaran eKasih?

Ini antara soalan yang sering ditanya oleh pemohon.

Namun, tiada satu tempoh yang sama untuk semua permohonan kerana proses pendaftaran melibatkan semakan maklumat dan proses verifikasi/bancian yang bergantung kepada keadaan setiap isi rumah.

Selepas permohonan diterima, maklumat pemohon perlu melalui proses semakan dan verifikasi.

Tempoh proses boleh berbeza mengikut keadaan pemohon, kelengkapan maklumat serta proses yang perlu dijalankan oleh pihak berkaitan

Apa yang perlu dilakukan jika tiada perkembangan?

Pemohon boleh membuat semakan status melalui saluran semakan rasmi yang disediakan. Jika status masih tidak berubah selepas tempoh yang lama, pemohon boleh menghubungi pejabat ICU JPM atau saluran rasmi yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sediakan nombor rujukan permohonan, MyKad dan maklumat pendaftaran apabila membuat pertanyaan supaya pihak berkaitan lebih mudah membantu membuat semakan.

Nota: Tempoh proses boleh berubah dan bergantung kepada keadaan setiap permohonan. Untuk mendapatkan maklumat paling tepat mengenai status dan proses semasa, rujuk saluran rasmi eKasih/ICU JPM.

Masalah Pendaftaran eKasih Yang Biasa Berlaku & Cara Mengatasinya

Ramai pemohon menghadapi kekeliruan selepas menghantar dokumen fizikal atau semasa menyemak status di portal eKasih2 ICU JPM, antaranya:

Sila bertenang, status “Baru” atau “Daftar Terbuka” bermakna data permohonan fizikal anda sudah selamat dimasukkan ke dalam sistem pangkalan data pusat ICU JPM. Namun, permohonan tersebut masih belum diproses atau dijadualkan untuk lawatan.

Anda tidak perlu menghantar permohonan baharu lagi. Sila tunggu giliran panggilan untuk fasa pengesahan.

Jika status tidak berubah untuk tempoh yang lama, hubungi pejabat ICU JPM negeri anda (gunakan senarai nombor telefon di atas) dengan menyatakan nombor kad pengenalan untuk semakan manual.

Status ini bermaksud permohonan anda sedang aktif berada dalam proses bancian lapangan atau penilaian jawatankuasa peringkat daerah.

Anda tidak perlu buat apa-apa. Tugas anda sekarang adalah memastikan telefon bimbit sentiasa aktif kerana pegawai penilai akan menghubungi anda pada bila-bila masa untuk menetapkan tarikh lawatan fizikal ke rumah.

Sistem atau panel jawatankuasa mendapati profil isi rumah anda tidak memenuhi kriteria pendapatan di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Jangan putus asa. Anda dibenarkan membuat permohonan semula (rayuan) sekiranya berlaku perubahan ekonomi yang drastik seperti pemberhentian kerja, pemotongan gaji, atau pertambahan tanggungan ahli keluarga yang sakit kronik.

Anda wajib membawa bukti dokumen baharu ke kaunter untuk dinilai semula.

Tiada tempoh tetap untuk semua permohonan. Tempoh proses bergantung kepada semakan maklumat, proses verifikasi dan keadaan setiap isi rumah.

Anda boleh hantar emel rasmi susulan ke ekasih@icu.gov.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, dan nombor telefon untuk semakan status penjadualan bancian (lawatan rumah).

Ya, anda wajib mendaftar secara berasingan jika layak.

Pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN untuk Sumbangan Tunai Rahmah – STR) dan eKasih (ICU JPM) adalah dua sistem yang berbeza sepenuhnya.

Penerima STR kategori B40 yang mempunyai pendapatan di bawah RM2,705 tidak dimasukkan ke dalam eKasih secara automatik.

Untuk mendapatkan manfaat khusus eKasih, anda mesti hadir mendaftar secara fizikal.

5 Kesilapan Biasa Pemohon

1. Anggap pendaftaran eKasih boleh dibuat sepenuhnya secara online

Ramai yang menganggap pendaftaran baharu eKasih boleh dilakukan melalui portal secara dalam talian.

Sebenarnya, portal digunakan untuk tujuan tertentu seperti semakan, manakala pendaftaran baharu perlu dibuat melalui saluran yang ditetapkan seperti pejabat ICU JPM, Pejabat Daerah atau melalui pemimpin tempatan yang berkaitan.

2. Menganggap daftar eKasih bermaksud automatik dapat bantuan

Pendaftaran dalam eKasih tidak bermaksud pemohon akan terus menerima bantuan kerajaan. eKasih merupakan pangkalan data yang membantu mengenal pasti isi rumah berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Setiap bantuan seperti SARA, bantuan JKM atau program lain mempunyai syarat dan proses kelayakan tersendiri.

3. Memberikan maklumat isi rumah yang tidak lengkap atau tidak tepat

Pastikan maklumat berkaitan ahli isi rumah, pendapatan, pekerjaan dan keadaan kediaman diberikan dengan tepat semasa proses pendaftaran atau bancian.

Maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat boleh menyebabkan proses semakan menjadi lebih sukar.

4. Tidak membuat semakan selepas pendaftaran

Selepas mendaftar, jangan terus menganggap permohonan telah selesai tanpa menyemak status. Gunakan saluran semakan eKasih yang disediakan untuk mengetahui status pendaftaran.

Jika terdapat persoalan mengenai maklumat atau status, dapatkan penjelasan daripada pejabat atau agensi yang berkaitan.

5. Had Pendapatan RM2,705 Bukan Mutlak

Angka RM2,705 ialah nilai purata nasional, dan kos sara hidup mengikut negeri (lokaliti) menentukan nilai PGK sebenar yang digunakan oleh pegawai penilai.

Kamus Istilah Bantuan: Fahami Beza eKasih, STR, SARA, B40 & PGK

Pastikan anda tidak terkeliru dengan singkatan-singkatan ini. Setiap istilah mempunyai fungsi, kriteria, dan sistem pangkalan data yang berbeza:

Glosari Istilah Bantuan Kewangan

Glosari Istilah & Definisi Bantuan

Istilah / Perkara Maksud Sebenar Huraian Ringkas & Fungsi
eKasih Pangkalan Data Kemiskinan Nasional Sistem data yang diuruskan oleh ICU JPM untuk mendaftar isi rumah kategori Miskin dan Miskin Tegar sahaja. Ia adalah pintu masuk utama untuk menerima bantuan bersasar khusus.
STR Sumbangan Tunai Rahmah Program bantuan kewangan tahunan oleh LHDN. Kelayakan STR dikira secara berasingan daripada data eKasih berdasarkan had pendapatan yang ditetapkan oleh kementerian.
SARA Sumbangan Asas Rahmah Bantuan keperluan asas tanpa tunai secara bulanan menggunakan MyKad. Penerima eKasih yang disahkan layak akan diberikan keutamaan untuk menerima bantuan SARA ini.
B40 Kategori Pendapatan Isi Rumah Kumpulan 40% populasi rakyat Malaysia dengan pendapatan di bawah had tertentu. Tidak semua golongan B40 automatik masuk eKasih; eKasih hanya untuk mereka yang berada di bawah garis kemiskinan tegar/miskin mutlak.
PGK Pendapatan Garis Kemiskinan Penanda aras atau ambang minimum pendapatan bulanan isi rumah untuk menampung keperluan asas hidup (Setakat ini bernilai RM2,705 sebulan untuk kategori Miskin).

Rujukan & Pertanyaan

Jika anda mempunyai soalan umum mengenai kriteria atau status pangkalan data, hubungi pihak pengurusan pusat di Putrajaya:

FAQ – Soalan Lazim Cara Daftar eKasih

Boleh wakil daftar untuk ahli keluarga?

Boleh, tetapi syaratnya ketat. Seseorang individu dibenarkan mewakili ahli keluarga terdekat (seperti ibu bapa yang uzur, pasangan, atau adik-beradik) untuk menyerahkan borang di kaunter. Walau bagaimanapun, anda wajib membawa dokumen pengenalan diri (MyKad) asal bagi semua ahli isi rumah yang ingin didaftarkan. Sila pastikan anda mengetahui perincian pendapatan bulanan dan komitmen kewangan mereka secara tepat kerana maklumat ini akan dimasukkan terus ke dalam sistem semasa pendaftaran.

Adakah daftar eKasih menjamin penerimaan bantuan?

Tidak. Sistem eKasih hanyalah pangkalan data berpusat untuk mengurus dan mengesahkan profil kemiskinan rakyat. Apabila nama anda disahkan dalam sistem (kategori Miskin atau Miskin Tegar), anda akan diberi keutamaan atau rujukan automatik kepada agensi pembasmi kemiskinan. Kelulusan akhir sesuatu jenis bantuan adalah tertakluk sepenuhnya kepada kriteria kelayakan dan peruntukan semasa agensi pemberi bantuan tersebut.

Apa beza eKasih dengan kategori B40?

Perbezaan terbesar terletak pada had pendapatan dan skop bantuan. Kategori B40 merujuk kepada kumpulan 40% populasi rakyat Malaysia dengan pendapatan di bawah had nasional tertentu. Manakala sistem eKasih dibina khusus untuk menguruskan data kelompok yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Boleh kemas kini maklumat selepas bancian?

Sebarang perubahan maklumat tidak boleh dibuat sehinggalah status rasmi permohonan anda dipaparkan di portal. Sekiranya anda perlu membetulkan maklumat kritikal selepas itu, anda dikehendaki mengunjungi semula pejabat ICU JPM atau membuat permohonan pengemaskinian rasmi melalui portal eKasih.

Boleh laporkan isi rumah lain yang memerlukan bantuan?

Ya, sangat digalakkan. Anda boleh bertindak sebagai pelapor kes kemiskinan masyarakat. Caranya adalah dengan menghubungi Pejabat Pembangunan Negeri (ICU JPM) atau membuat aduan rasmi melalui Pemimpin Tempatan, Ketua Kampung, atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tempat tinggal individu tersebut. Pihak berkuasa tempatan akan melakukan semakan awal sebelum menjadualkan sesi bancian rasmi ke rumah keluarga yang dilaporkan itu.

Apa perlu buat jika maklumat keluarga berubah?

Anda bertanggungjawab untuk mengemas kini profil eKasih anda. Proses pengemaskinian profil bagi individu yang sudah sedia ada dalam sistem boleh dilakukan secara atas talian terus melalui Portal Rasmi eKasih2. Sekiranya perubahan tersebut melibatkan perkara besar (seperti kehilangan pekerjaan total atau pertambahan kes penyakit kronik yang mengubah status ekonomi), anda dinasihatkan untuk membawa dokumen bukti baharu ke pejabat ICU JPM bagi memohon sesi penilaian semula status kemiskinan anda.


Kami akan mengemas kini artikel ini sekiranya terdapat perubahan pada prosedur, syarat atau saluran rasmi pendaftaran.

Penafian:  Artikel ini disediakan untuk tujuan rujukan am sahaja berasaskan rujukan manual pengguna Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) terkini. Kami tidak mengumpul sebarang data peribadi pemohon dan tidak bertanggungjawab atas tindakan anda. Pembaca dinasihatkan untuk sentiasa merujuk terus ke laman web rasmi eKasih2 ICU JPM bagi mendapatkan maklumat yang paling tepat dan muktamad. Laman ini bukan portal rasmi kerajaan.

Ain merupakan penulis artikel di ewarta.my. Menulis berkaitan bantuan kerajaan, kewangan, pelaburan runcit tempatan dan turut aktif menulis beberapa topik lain berkaitan gaya hidup, tips harian dan topik trending. Komited menyediakan panduan yang tepat dan telus.

View All Posts

You Missed