Cara Jana Side Income RM1,000 – RM3,000 Sebulan: 25+ Kemahiran yang Boleh ‘Dijual’

cara jana side income

Nak cari duit sampingan tetapi tak tahu kemahiran apa yang boleh ‘dijual’? 

Salah satu cara paling realistik untuk jana duit sampingan dalam jumlah RM1,000 hingga RM3,000 sebulan tanpa perlu berhenti kerja tetap adalah dengan menjual kemahiran digital (service-based freelancing).

Daripada pening memikirkan modal besar untuk simpan stok barang, anda boleh tawarkan servis yang memang tengah dicari oleh pemilik bisnes kecil, usahawan, dan pencipta kandungan pada waktu ini.

Antara kepakaran yang laku keras di pasaran termasuklah copywriting, video editing, pengurusan media sosial, reka bentuk grafik, live hosting, simpan kira (bookkeeping) asas, bina laman web, tutor dan banyak lagi sebenarnya.

Nak tahu apa sahaja kemahiran digital yang boleh jana duit sampingan? Hah, jom rujuk di bawah.

Ringkasan Artikel – Cara Jana Side Income

# Jenis Kemahiran / Servis Kategori Industri Anggaran Kadar Caj Pasaran Sasaran Klien Utama
1 Reka Bentuk Proposal & Pitch Deck Penulisan & Pemasaran RM500 – RM2,500 / projek Usahawan Startup, PKS, Korporat
2 Ghostwriting Threads / Media Sosial Penulisan & Pemasaran RM600 – RM1,500 / bulan Pengasas Produk, Influencers
3 Pengurusan TikTok & Meta Ads Sistem & Pengiklanan RM800 – RM2,500 / bulan Peniaga E-dagang, Pemilik Produk
4 Penulisan Skrip Closing & Copywriting Penulisan & Pemasaran RM50 – RM150 / skrip Pasukan Jualan, Usahawan Online
5 Content Writing & SEO Writing Penulisan & Pemasaran RM100 – RM400 / artikel Portal Media, Agensi Pemasaran
6 Audit & Strategi Media Sosial Penulisan & Pemasaran RM500 – RM1,200 / akaun PKS, Pencipta Kandungan, Kreator
7 Suntingan Video Pendek Media Sosial Penghasilan Media & Kreatif RM40 – RM120 / video TikTokers, YouTubers, Bisnes
8 Fotografi Produk (Guna Telefon) Penghasilan Media & Kreatif RM150 – RM500 / sesi Restoran Tempatan, Vendor Kecil
9 Subtitle & Transkripsi Video Penghasilan Media & Kreatif RM30 – RM100 / video Penerbit Podcast, Syarikat Korporat
10 Reka Bentuk Packaging & Label Penghasilan Media & Kreatif RM300 – RM1,500 / projek Kilang OEM, Pengasas Kosmetik/Makanan
11 Design Merchandise & Baju Event Penghasilan Media & Kreatif RM100 – RM500 / rekaan Kelab Kereta, Penganjur Sukan, Sekolah
12 Presentation & Infographic Design Penghasilan Media & Kreatif Mengikut bilangan slaid Perunding (Consultants), Trainers
13 Voice Over (Alihan Suara) Penghasilan Media & Kreatif RM50 – RM300 / video Agensi Iklan, Video Korporat
14 Pembinaan Landing Page Sistem & Pengiklanan RM500 – RM2,000 / halaman Penjual E-book, Penganjur Seminar
15 Web Design (Laman Web Penuh) Pembangunan Digital RM1,500 – RM5,000 / projek Firma Korporat, Agensi Hartanah
16 Setup TikTok Shop atau Shopee Pembangunan Digital RM300 – RM1,200 / kedai Peniaga Kedai Fizikal, Ejen Produk
17 Setup Sistem POS & Cashier Cloud Pembangunan Digital RM300 – RM1,000 / kedai Kafe Butik, Restoran, Barbershop
18 Chatbot Automation (ManyChat) Pembangunan Digital RM400 – RM1,500 / projek Peniaga Online (Trafik Mesej Tinggi)
19 Hos Jualan Siaran Langsung (Live Host) Jualan & Komunikasi RM50 – RM200 / jam (+komisyen) Vendor Fesyen, Jenama TikTok Shop
20 Pengacara Majlis atau MC Jualan & Komunikasi RM300 – RM1,500 / acara Penganjur Majlis Kawwin, Hotel, Korporat
21 Virtual Assistant (Pembantu Maya) Operasi & Pentadbiran RM20 – RM50 / jam (atau bulanan) Pengarah Syarikat, Busy Founders
22 Data Entry (Kemas Masukan Data) Operasi & Pentadbiran RM200 – RM800 / projek Syarikat Logistik, Agensi Kajian
23 Basic Bookkeeping (Simpan Kira Asas) Operasi & Kewangan RM300 – RM1,000 / bulan Syarikat Milikan Tunggal, Penjaja
24 Template Digital (Canva/Excel/Notion) Produk Digital & Pendidikan RM15 – RM150 / akses Pelajar, Freelancers, Pemilik Bisnes
25 E-book & Panduan Digital Produk Digital & Pendidikan RM20 – RM80 / naskhah Orang Awam, Pemula Industri
26 Tutor Online (Kelas Tambahan) Produk Digital & Pendidikan RM30 – RM80 / jam Ibu Bapa, Pelajar Universiti
27 Online Coaching (Bimbingan 1-ke-1) Produk Digital & Pendidikan RM100 – RM500 / sesi Individu, Usahawan Baharu

27 Kemahiran yang Boleh Jana Duit Sampingan RM1,000 – RM3,000 Sebulan

Kemahiran yang disenaraikan di bawah ini adalah antara kemahiran yang ‘hot’ dan boleh menjana duit sampingan sehingga RM3,000 sebulan bergantung pada portfolio dan kemahiran yang ditawarkan.

Bagi individu yang suka menulis, membuat kajian, menghasilkan idea dan memahami cara kandungan digunakan untuk pemasaran, anda boleh cuba sediakan servis di bawah.

1. Reka Bentuk Proposal & Pitch Deck Perniagaan

  • Anggaran caj: RM500 – RM2,500 setiap dokumen.
  • Sasaran klien: Startup, PKS, founder, konsultan dan syarikat yang memerlukan bahan pembentangan profesional.

Proposal dan pitch deck bukan sekadar dokumen yang perlu nampak cantik. Kandungannya perlu mempunyai struktur yang jelas supaya pembaca memahami masalah, penyelesaian, model perniagaan, kelebihan produk dan maklumat penting yang lain.

Untuk meningkatkan nilai servis, jangan hanya menawarkan “design slide”.

Tawarkan penyelesaian lengkap seperti menyusun kandungan, memperkemaskan storytelling, menghasilkan visual dan memastikan pembentangan mudah difahami.

Kemahiran seperti Canva, PowerPoint, Google Slides atau platform pembentangan berasaskan AI dapat membantu mempercepatkan proses kerja. Lagi cepat kerja anda siap, lebih banyak projek anda boleh dapat.

infografik Cara Jana Side Income guna proposal pitch deck

2. Ghostwriting Threads / Media Sosial

  • Anggaran caj: RM600 – RM1,500 sebulan setiap klien.
  • Sasaran klien: Founder, profesional, konsultan, coach dan personal brand.

Bukan buku je boleh ditulis oleh ghostwriter, sekarang ni ramai syarikat, founder dan sebagai perlukan seseorang untuk merancakkan threads atau platform media sosial mereka. Di situlah, fungsinya ghostwriter.

Sekiranya anda mempunyai kemahiran menulis, anda boleh tawarkan servis ini.

Ghostwriter membantu menukar idea, nota suara atau perbualan pelanggan kepada kandungan yang mempunyai gaya penulisan tersendiri.

Untuk servis yang premium, jangan sekadar menghasilkan posting generik.

Anda perlu memahami tone of voice, niche, pengalaman dan perspektif klien supaya kandungan kedengaran seperti datang daripada mereka sendiri.


3. Pengurusan TikTok & Meta Ads

  • Anggaran caj: RM800 – RM2,500 sebulan, bergantung kepada skop kerja.
  • Sasaran klien: E-dagang, perniagaan tempatan, agensi, pemilik produk dan perkhidmatan.

Pengurusan TikTok & Meta Ads juga salah kemahiran bernilai dalam dunia digital sekarang ini.

Kalau anda ada pengalaman atau pandai menguruskan kempen/iklan media sosial seperti Tiktok atau Meta Ads, jangan sia-siakan kemahiran anda.

Kerja buat ads ini bukannya sekadar tekan butang Publish atau Boost Post semata-mata. Kerjanya merangkumi rangka strategi kempen, buat kajian audiens sasaran, siapkan bahan kreatif (gambar/video), pantau prestasi iklan hari-hari, buat optimasi berdasarkan data harian dan sebagainya.

Elakkan tabur janji manis dekat klien yang mereka pasti akan dapat jualan mencanak atau nilai ROAS (Return on Ad Spend) yang spesifik dalam servis anda.

Sebabnya, dunia pengiklanan digital ini sentiasa berubah-ubah.

Jadi sebaiknya, anda tetapkan jangkaan yang realistik sejak awal dengan fokus kepada usaha mengoptimumkan kos perolehan pelanggan (CPA) dan kualiti trafik yang masuk.


4. Penulisan Skrip Closing & Copywriting

  • Anggaran caj: RM50 – RM150 setiap skrip atau mengikut pakej.
  • Sasaran klien: Perniagaan e-dagang, sales team, agen dan pemilik servis.

Ramai perniagaan kecil mahupun besar yang memerlukan servis ini untuk memasarkan produk mereka.

Inilah antara kerja yang pemilik syarikat akan cari orang untuk buatkan bagi membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih besar terhadap syarikat mereka.

Bagi syarikat yang masih membangun, mereka biasanya akan mencari penulis freelance yang boleh sediakan skrip dengan bayaran yang lebih rendah sedikit berbanding upah penulis professional. Inilah target klien anda.

Skrip jualan boleh digunakan untuk video, WhatsApp, panggilan jualan atau live selling. Sebagai penulis, anda perlu memahami produk, pelanggan sasaran, masalah pelanggan dan tindakan yang mahu dicapai.

Semakin baik anda memahami keseluruhan customer journey, semakin mudah anda menghasilkan copy yang relevan.


5. Content Writing & SEO Writing

  • Anggaran caj: Mengikut artikel, perkataan atau pakej bulanan.
  • Sasaran klien: Website, blog, agensi SEO, PKS dan penerbit digital.

Seterusnya, kemahiran penulisan anda juga boleh ‘dijual’ dengan menjadi penulis konten untuk artikel blog, panduan, penerangan produk, kandungan website dan sebagainya.

Sekiranya anda juga mempunyai kemahiran SEO, inilah nilai yang anda boleh ‘jual’ dengan harga yang lebih tinggi sebagai penulis konten.

Selain itu, anda juga boleh tawarkan sekali servis keyword research dan content optimization dalam pakej anda.

Gabungan kemahiran ini membolehkan anda menyediakan servis lengkap untuk syarikat media, start-up, agensi dan sebagainya. Bayaran untuk servis lengkap sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding penulisan sahaja.

infografik Cara Jana Side Income - content writing

6. Audit & Strategi Media Sosial

  • Anggaran caj: RM500 – RM1,200 setiap akaun.
  • Sasaran klien: PKS, personal brand, creator dan perniagaan tempatan.

Selain daripada menulis, kalau anda jenis yang suka mengkaji trend dan faham algoritma, servis Audit & Strategi Media Sosial ini adalah satu lagi kemahiran premium yang boleh anda ‘jual’.

Banyak PKS, usahawan tempatan, dan pencipta kandungan (creators) yang akaun mereka tengah ‘nyawa-nyawa ikan’ sebab tak tahu cara naikkan engagement.

Di sinilah peranan anda masuk sebagai penasihat. Tugas anda adalah bedah akaun media sosial klien secara menyeluruh.

Bermula daripada kekemasan bio profil, kualiti visual, hala tuju kandungan (content pillars), penulisan kapsyen, sehinggalah kepada taktik pautan Call-To-Action (CTA) yang mereka guna selama ini.

Untuk jadikan servis anda ini bernilai tinggi dan laku keras dengan anggaran caj RM500 hingga RM1,200 setiap akaun, jangan sekadar cakap akaun mereka “kurang menarik”.

Sebaliknya, buat satu analisis dalam laporan PDF yang profesional, lengkap bersama pelan tindakan bertulis untuk 30 hari akan datang.

Bila klien nampak strategi yang jelas dari A sampai Z, mereka takkan berkira untuk bayar harga premium yang anda tetapkan.


Kalau anda mahir bekerja dengan gambar, video dan elemen visual berbanding menulis, ada banyak kemahiran kreatif yang boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Tak perlu gadget yang mahal pun, yang penting ada kemahiran dan kreativiti.

7. Suntingan Video Pendek untuk Media Sosial (Tiktok/IG Reels/dll)

  • Anggaran caj: RM40 – RM120 setiap video.
  • Sasaran klien: Creator, YouTuber, influencer, perniagaan dan agensi.

Satu lagi kemahiran yang tengah ‘laku keras’ dan dicari-cari oleh hampir semua pemilik bisnes sekarang ialah Suntingan Video Pendek (Short-Form Video Editing).

Lambakan platform seperti TikTok, Instagram Reels, dan YouTube Shorts membuatkan pencipta kandungan dan pengasas produk tak menang tangan nak edit video mentah mereka hari-hari.

Di sinilah peluang besar untuk anda ambil upah edit video. Bermula dengan bajet kosong pun tiada masalah, asalkan anda mahir menggunakan perisian seperti CapCut.

Belajar cara letak potongan babak yang pantas (jump cuts), masukkan kesan bunyi (SFX) yang kena pada tempatnya, serta sarikata (captions) dinamik yang boleh buat penonton terpaku dalam 3 saat pertama. Kemahiran ini akan meningkatkan kualiti servis anda, hasilkan, klien sanggup nak bayar lebih.

Tawarkan pakej lengkap yang merangkumi sumbang saran idea (brainstorming) konsep video dan pencarian audio yang tengah trending.

Bila anda mudahkan kerja mereka daripada fasa idea sampai video siap sedia untuk dimuat naik, usahawan ini pasti sanggup bayar secara kontrak bulanan (retainer) untuk pastikan media sosial mereka sentiasa aktif. Cubalah!


8. Fotografi Produk (Guna Telefon Pun Boleh je!)

  • Anggaran caj: RM150 – RM600 setiap sesi atau batch.
  • Sasaran klien: Restoran, bakeri, seller online dan perniagaan kecil.

Seterusnya, kalau ada kemahiran mengambil gambar, ia boleh menjadi sumber duit untuk anda. Anda boleh tawarkan servis Fotografi Produk Menggunakan Telefon (Mobile Product Photography).

Ramai peniaga kecil-kecilan terutamanya dalam niche makanan, produk kecantikan, dan fesyen kesuntukan masa untuk menghasilkan gambar produk yang eksklusif untuk media sosial mereka. Jadi, inilah peluang anda.

Menariknya, anda tidak perlukan kamera DSLR yang berharga ribuan ringgit untuk bermula. Cukup sekadar telefon pintar dengan fungsi kamera yang baik, ditambah dengan lampu studio mini (ring light atau softbox) bajet, serta gubahan latar belakang (props) yang estetik.

Untuk naikkan lagi nilai servis anda sehingga boleh caj RM150 hingga RM500 bagi setiap pakej gambar, jangan sekadar tangkap gambar biasa.

Kuasai aplikasi suntingan seperti Lightroom Mobile atau Snapseed untuk menaikkan ton warna (color grading) gambar supaya nampak setaraf dengan hasil studio profesional.

Pakej ini akan jadi lebih laku keras kalau anda tawarkan sekali servis penggubahan konsep (flat-lay staging) mengikut identiti jenama klien.

Bila gambar produk mereka nampak premium dan menarik minat pelanggan untuk membeli, pemilik bisnes ini tidak akan teragak-agak untuk terus melanggan khidmat anda setiap kali mereka meluncurkan produk atau menu baharu.

infografik Cara Jana Side Income - mobile photography

9. Subtitle & Transkripsi Video

  • Anggaran caj: RM30 – RM100 setiap video, bergantung kepada durasi dan skop.
  • Sasaran klien: Podcaster, YouTuber, creator, trainer dan syarikat.

Selain daripada suntingan video secara penuh, khidmat menyediakan Subtitle & Transkripsi Video juga adalah satu lagi kemahiran yang sangat dicari sekarang.

Ramai pencipta kandungan, penerbit podcast, dan syarikat korporat sedar yang video mereka wajib ada sarikata sebab majoriti pengguna media sosial suka menonton video dalam mod senyap (mute) semasa berada di tempat awam atau pejabat.

Untuk memulakan servis ini, anda tidak memerlukan komputer spesifikasi tinggi pun.

Malah, dengan bantuan perisian pintar seperti CapCut, Adobe Premiere, atau alat kecerdasan buatan (AI tools) seperti vrew.ai, anda boleh jana draf sarikata awal dalam masa beberapa minit sahaja.

Nilai sebenar yang anda ‘jual’ di sini (yang membolehkan anda caj sekitar RM30 hingga RM100 untuk satu video) adalah ketelitian anda membetulkan kesilapan perkataan, menyusun masa sarikata (timing) supaya selari dengan suara, serta menyediakan terjemahan dwi-bahasa (contohnya Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris) yang tepat mengikut konteks perbualan, bukannya diterjemah secara bulat-bulat.

Servis ini sangat mudah untuk diubah menjadi pendapatan bulanan tetap (retainer) jika anda berjaya dapatkan peluang bekerjasama bersama portal berita digital, agensi pemasaran, atau YouTuber tempatan yang mengeluarkan video secara berkala.

Bila mereka tahu anda boleh settlekan bahagian sarikata dengan cepat dan kemas, mereka pasti akan mengupah anda secara berterusan sebab membantu proses kerja (workflow) mereka akan jadi jauh lebih lancar.


10. Reka Bentuk Packaging & Label

  • Anggaran caj: RM150 – RM600 untuk rekaan asas; projek lebih kompleks boleh lebih tinggi.
  • Sasaran klien: Jenama makanan, kosmetik, minuman dan produk fizikal.

Kebanyakan pemilik bisnes tiada kepakaran untuk reka kotak, botol, atau label pelekat yang nampak eksklusif dan memikat mata pembeli di rak kedai. Atau, tidak mempunyai masa yang mencukupi.

Di sinilah anda masuk sebagai penyelamat. Bermula dengan perisian seperti Adobe Illustrator, Photoshop, atau Canva, anda boleh bantu usahawan ini tukarkan visi mereka menjadi realiti.

Untuk membolehkan anda meletakkan anggaran caj sekitar RM300 hingga RM1,500 bagi setiap projek reka bentuk, jangan sekadar hantar gambar 2D flat sahaja kepada klien.

Nilai tambah yang membuatkan servis anda berbaloi dibayar mahal adalah keupayaan anda menyediakan paparan visual 3D Mock-up yang realistik supaya klien boleh bayangkan rupa fizikal produk mereka sebelum dicetak, beserta penyediaan fail akhir format vektor (AI/PDF) berskala tepat yang sedia untuk diserahkan terus kepada kilang cetak.

Bila rekaan packaging anda berjaya menaikkan nilai estetika jenama mereka dan membantu melonjakkan jualan, syarikat-syarikat ini pasti akan melantik anda semula setiap kali mereka mahu meluncurkan variasi produk atau perisa baharu.

infografik Cara Jana Side Income - reka bentuk packaging produk

11. Design Merchandise & Baju Event

  • Anggaran caj: RM100 – RM500 setiap rekaan.
  • Sasaran klien: Sekolah, kelab, organisasi, event, komuniti dan syarikat.

Satu lagi cabang reka bentuk grafik yang permintaannya tak pernah surut di Malaysia ialah Design Merchandise & Baju Event.

Setiap bulan, pasti akan ada kelab kereta, kumpulan konvoi motor, penganjur acara sukan (seperti fun run), pihak sekolah, hinggalah ke syarikat korporat yang mahu menempah baju khas untuk program mereka.

Selain baju, anda boleh menghasilkan design untuk:

  • Topi
  • Tote bag
  • Baju event
  • Merchandise
  • Lanyard

Sediakan fail yang sesuai untuk proses cetakan dan nyatakan dengan jelas sama ada harga termasuk mockup atau tidak.


12. Presentation & Infographic Design

  • Anggaran caj: Berdasarkan jumlah slide atau projek.
  • Sasaran klien: Trainer, syarikat, pelajar, consultant, speaker dan organisasi.

Selain daripada menyediakan slaid jualan (pitch deck) untuk pelabur, kemahiran Presentation & Infographic Design ini juga merupakan satu lagi cabang lubuk duit yang sangat besar.

Saban hari, ramai pakar perunding (consultants), penceramah korporat (speakers), tenaga pengajar (trainers), hinggalah ke organisasi besar yang kesuntukan masa untuk menguruskan timbunan data dan maklumat yang mahu dibentangkan.

Nilai tambah boleh datang daripada kemampuan menyusun maklumat kompleks menjadi visual yang mudah difahami.


13. Voice Over

  • Anggaran caj: Mengikut jumlah perkataan (word count) atau durasi video (contoh: RM50 – RM300+ per video).
  • Sasaran klien: Agensi iklan, YouTuber, pengasas produk TikTok, dan syarikat korporat.

Kemahiran Voice Over (VO) atau alihan suara ini adalah satu lagi cara buat duit tepi yang sangat lumayan. Bina beberapa sampel seperti:

  • Gaya iklan
  • Storytelling
  • Tutorial
  • Corporate
  • Energetic

Anda cuma perlu rakam suara di ruang yang sunyi menggunakan mikrofon telefon atau USB, pastikan tiada gema, dan tapis bunyi bising (noise). Portfolio suara akan membantu pelanggan memilih gaya yang sesuai.

Hantar draf audio yang sudah di-trim bersih supaya klien boleh terus guna dalam video mereka.


Kategori ini sesuai untuk individu yang mempunyai kemahiran dan minat terhadap teknologi, website, platform digital dan sistem perniagaan.

14. Landing Page

  • Anggaran caj: RM500 – RM2,000 setiap halaman.
  • Sasaran klien: Peniaga, coach, creator, event organizer dan pemilik produk digital.

Ramai usahawan mahu satu halaman web khas (one-page website) yang fokus untuk menjual produk spesifik.

Kalau anda ada kemahiran membina landing page, anda boleh sediakan servis lengkap dari A sampai Z, merangkumi penyusunan struktur halaman yang strategik, kedudukan butang Call-To-Action (CTA) yang senang nampak, tetapan borang pendaftaran yang lancar, serta integrasi asas sistem bayaran.

Jangan sesekali abaikan fungsi mobile optimization dan basic SEO sebab lebih 90% pembeli akan buka web klien menggunakan telefon pintar mereka.

Pakej lengkap ini akan memudahkan kerja klien. Hasilnya, mereka pasti nak upah anda lagi!


15. Web Design

  • Anggaran caj: Sekitar RM1,500 hingga RM5,000+ per projek, mengikut jumlah halaman dan sistem yang dipasang.
  • Sasaran klien: Syarikat korporat, agensi hartanah, pemilik jenama fesyen, dan perniagaan tempatan yang mahu nampak lebih dipercayai (credible).

Berbeza dengan landing page yang ringkas, servis Web Design penuh memerlukan anda membina struktur laman web yang lengkap dengan pelbagai halaman penting.

Jangan sekadar menyerahkan kedai web yang kosong kepada klien. Nilai premium servis anda akan melonjak tinggi jika anda menawarkan pakej optimasi kelajuan (speed optimization) dan pemasangan sijil keselamatan (SSL Certificate).

Jelaskan kepada klien bahawa web yang lambat dibuka atau tertulis “Not Secure” di pelayar internet akan menakutkan bakal pelanggan mereka.

Apabila anda menyerahkan web yang selamat, laju, dan dioptimumkan sepenuhnya untuk enjin carian Google, syarikat ini pasti sanggup membayar upah yang tinggi kerana laman web tersebut berfungsi sebagai jurujual automatik mereka selama 24 jam.


16. Setup TikTok Shop atau Shopee

  • Anggaran caj: RM300 – RM1,200 setiap akaun, bergantung kepada skop kerja.
  • Sasaran klien: Seller baharu dan perniagaan kecil.

Ada peniaga yang tahu cara menjual, tetapi mereka pening kepala dan tiada masa nak menguruskan bahagian teknikal di belakang tabir.

Tugas anda adalah membantu mereka bermula daripada fasa kosong.

Ini merangkumi pendaftaran akaun peniaga, pengesahan dokumen perniagaan, tetapan logistik penghantaran (seperti J&T, PosLaju, atau NinjaVan), memuat naik gambar produk, serta menulis deskripsi produk yang menarik.

Untuk pelanggan TikTok Shop, tawarkan nilai tambah dengan menghubungkan akaun rasmi mereka ke Seller Center serta menetapkan sistem komisyen Affiliate asas.

Kerja ini sebenarnya mudah je kalau anda dah faham nak buat macam mana, bayaran pun lumayan. Sebulan boleh ambil 3-5 projek, boleh dapat RM1000 lebih dah kalau caj RM300 ke atas setiap satu.


17. Setup Sistem POS & Cashier Cloud

  • Anggaran caj: RM300 – RM1,000 setiap setup.
  • Sasaran klien: Restoran, kafe, butik dan kedai fizikal.

Anda boleh membantu pemilik perniagaan menyediakan sistem POS, memasukkan produk, kategori dan tetapan asas.

Jika sistem tersebut mempunyai fungsi inventori, anda juga boleh membantu pelanggan memahami cara menggunakannya.

Kerja-kerja digital ini kebanyakan pemilik perniagaan tidak mahir sangat nak buat dan mengambil masa yang panjang. Oleh sebab itu, ramai yang suka upah orang lain buat supaya mereka boleh fokus pada operasi bisnes sahaja.

Di sinilah peluang anda buat duit. Tawarkan lagi servis-servis sampingan lain untuk dapatkan bayaran lebih.

Contohnya, seperti sesi latihan ringkas (handover session) selama 1-2 jam untuk staf kaunter mereka, tunjukkan cara buat transaksi, cara terima bayaran pelbagai kaedah (tunai, kad, atau e-wallet), bagaimana nak kemas kini stok bila barang baru sampai dan sebagainya.


18. Chatbot Automation

  • Anggaran caj: RM500 – RM2,000 setiap flow, bergantung kepada kompleksiti.
  • Sasaran klien: Perniagaan yang menerima banyak pertanyaan melalui media sosial.

Sebagai pemilik bisnes, dulu saya selalu upah pekerja untuk balas mesej pelanggan, tapi jujurnya cara itu masih lambat dan kurang efisien.

Sampailah satu hari, ada freelancer tawarkan servis tolong buatkan chatbot automation. Chabot automation ni sangat memudahkan pemilik bisnes.

Jadi, kalau anda tahu cara hasilkan chatbot automation yang boleh balas dan respon mesej pelanggan dengan segera, jangan segan silu untuk tawarkan servis anda.

Hasilkan chatbot boleh digunakan untuk menjawab soalan lazim (FAQ), bagi rekomendasi produk, urus pendaftaran, hantar pautan jualan, kumpul data bakal pembeli (leads), sehinggalah buat mesej susulan (follow-up).

Dengan kemahiran digital ini, percayalah memang tak menang tangan anda setiap bulan nak siapkan kerja klien.


Kemahiran komunikasi juga mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi, khususnya dalam bidang jualan.

Ramai orang ingat buat duit tepi digital ini mesti kena duduk menghadap komputer riba dan pandai kod sahaja. Realitinya, kebolehan bercakap, memujuk, dan mengajar adalah antara ‘aset’ paling mahal yang syarikat sanggup bayar secara tunai.

19. Servis Hos Jualan Siaran Langsung (Live Host)

  • Anggaran caj: RM50 – RM150 sejam + komisen, bergantung kepada persetujuan.
  • Sasaran klien: Seller TikTok Shop, jenama pakaian, kosmetik, makanan dan produk pengguna.

Ini antara kerja yang sedang ‘blooming’ sekarang ni. Setiap seller pasti akan buat live streaming berjam-jam sehari untuk dapatkan followers dan membuat jualan.

Tapi, tak semua pemilik perniagaan boleh bercakap di hadapan orang ramai atau mempunyai masa untuk menjadi live host produk sendiri.

Ramai tawaran menjadi Live Host yang anda boleh cari di thread, instagram ataupun tiktok. Siap ada yang tawarkan boleh bekerja dari rumah sendiri lagi.

Tugas Live Host adalah berdiri di depan kamera, pegang produk klien, berinteraksi dengan penonton, jawab soalan bertulis di ruangan komen secara spontan, dan yakinkan pelanggan untuk tekan butang beg kuning dengan kadar segera sebelum slot habis.


20. Pengacara Majlis atau MC

  • Anggaran caj: RM400 – RM1,500 setiap slot.
  • Sasaran klien: Event organizer, syarikat, sekolah dan organisasi.

Pandai bercakap? Hah, ambil job jadi pengacara majlis. Mungkin mulanya agak kekok, tpai bila lama-lama pasti akan semakin mahir.

Setiap bulan, mesti ada sahaja orang kahwin atau majlis tertentu. Jadi kerja sampingan sebagai pengacara majlis pasti akan memberikan anda pulangan yang lumayan. Anda boleh bermula dengan menjadi MC majlis kahwin keluarga atau rakan kemudian barulah perlahan-lahan menjadi pengacara majlis yang besar dan professional.

Lebih mantap lagi kalau anda dapat join agensi atau organisasi yang menguruskan majlis. Silap-silap boleh betukar jadi kerja sepenuh masa.


Kategori ini sangat sesuai untuk individu yang jenis teliti, teratur, dan selesa menguruskan data atau tugasan yang berulang (repetitive tasks).

Ramai orang tersalah anggap bahawa kerja freelance ini hanya terhad kepada bidang kreatif seperti suntingan video atau reka bentuk grafik sahaja.

Realitinya, di sebalik tabir setiap perniagaan yang berjaya, ada timbunan urusan operasi, dokumen, dan aliran tunai yang sangat memusingkan kepala pemilik bisnes.

Disebabkan tugasan pentadbiran ini memakan masa yang sangat panjang dan memerlukan fokus yang tinggi, pemilik bisnes lebih rela mengeluarkan bajet untuk mengupah freelancer luar yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan kerja-kerja ini dari rumah.

Jika anda seorang yang sukakan struktur, mahir menggunakan hamparan kerja seperti Microsoft Excel atau Google Sheets, dan mempunyai sifat amanah yang tinggi, kategori ini menawarkan peluang pendapatan sampingan yang sangat stabil dan boleh bertahan untuk jangka masa panjang.

21. Virtual Assistant

  • Anggaran caj: Mengikut jam, tugasan atau pakej bulanan.
  • Sasaran klien: Pengasas produk yang sibuk, influencer, pemilik bisnes e-dagang, atau pengarah syarikat yang tak cukup masa.

Jika anda seorang yang jenis teratur dan suka menyusun jadual, anda boleh cuba jadi Virtual Assistant (VA). Kerjanya tak susah, tapi memerlukan komitmen yang tinggi.

Sebagai VA, anda akan bertindak sebagai pembantu peribadi yang bekerja dari jarak jauh (remote) dari rumah sahaja.

Skop tugas VA sangat fleksibel, merangkumi kerja pentadbiran harian seperti tolong susun kalendar temu janji klien, balas dan tapis e-mel masuk, kemas kini fail dalam Google Drive, sehinggalah tolong tempah tiket penerbangan atau hotel untuk urusan kerja klien.

Walaupun nampak mudah, pemilik bisnes sanggup bayar mahal kalau anda ada sifat proaktif dan boleh dipercayai.

Bila anda berjaya kurangkan beban fikiran klien, mereka pasti akan kekal mengupah anda untuk jangka masa panjang. Memang masyuk lah!

22. Data Entry

  • Anggaran caj: Mengikut jam, jumlah data atau projek.
  • Sasaran klien: Perniagaan, syarikat kecil dan individu.

Kerja yang melibatkan data memerlukan ketelitian dan kesabaran yang sangat tinggi. Kebanyakan pemilik bisnes ada banyak borang manual, resit fizikal, atau timbunan maklumat pelanggan yang mereka perlu tukarkan ke dalam sistem digital syarikat.

Tugas anda adalah menaip dan memasukkan semula semua data tersebut ke dalam Microsoft Excel, Google Sheets, atau sistem pangkalan data (database) dalaman mereka dengan tepat tanpa ada kesilapan ejaan mahupun angka.

Walaupun nampak macam kerja menaip biasa, nilai anda akan naik kalau anda tahu cara guna fungsi asas Excel yang bijak (seperti VLOOKUP, Pivot Tables, atau formula pembersihan data).

Tunjukkan kepada klien yang anda bukan sekadar menaip buta, tetapi anda mampu menyusun data itu dengan kemas, tersusun, dan bebas daripada rekod bertindih (duplicate entries).


23. Basic Bookkeeping

  • Anggaran caj: RM400 – RM1,500 sebulan bergantung kepada skop.
  • Sasaran klien: Perniagaan kecil dan individu yang memerlukan bantuan menyusun rekod.

Jika anda mahu menawarkan servis ini, tugasan asas yang boleh anda buat merangkumi kerja-kerja merekod jualan harian, memasukkan rekod perbelanjaan syarikat, tolong menyusun resit mengikut bulan dan kategori, serta menguruskan hamparan kerja (spreadsheet) seperti di Microsoft Excel atau Google Sheets.

Dari situ, anda boleh bantu sediakan laporan asas seperti penyata untung rugi ringkas supaya klien tahu ke mana duit bisnes mereka pergi setiap bulan.

Semua kerja digital ini sebenarnya tidaklah terlalu rumit, tetapi ia sangat mengambil masa yang panjang.

Pemilik perniagaan biasanya tidak mahir atau tiada masa untuk menghadap komputer bagi menguruskan hal ini.

Tapi, ingat. Jangan menawarkan perkhidmatan yang memerlukan kelayakan profesional jika anda tidak mempunyai kelayakan tersebut.


Menariknya tentang dunia freelance zaman sekarang, kemahiran yang anda ada tidak semestinya dijual melalui servis semata-mata.

Kalau anda menawarkan servis, pendapatan anda ada hadnya sebab masa anda terhad. Bila anda berhenti buat kerja, duit pun berhenti masuk.

Di sinilah datangnya kelebihan kategori ini, di mana anda boleh menghasilkan produk digital atau bahan pendidikan yang boleh dijual berulang kali tanpa henti (passive income).

Anda cuma perlu bersusah-payah buat kerja sekali sahaja di peringkat awal untuk siapkan produk tersebut.

Selepas produk itu siap, ia akan bertukar menjadi aset digital yang boleh dimuat turun oleh pelanggan secara automatik pada bila-bila masa, walaupun semasa anda sedang tidur.

24. Template Digital

  • Anggaran caj: RM100 – RM1,000 sebulan bergantung kepada jenis template.
  • Sasaran klien: Perniagaan kecil dan individu yang memerlukan bantuan menyusun rekod.

Biasanya peniaga memang mahukan hasil kerja yang cepat. Tetapi mereka tiada masa atau kurang mahir nak reka sesuatu reka bentuk dari kosong.

Tugas anda di sini adalah cipta templat siap guna yang boleh disunting semula oleh pembeli dengan mudah mengikut keperluan mereka.

Antara templat yang mempunyai permintaan paling tinggi di pasaran sekarang termasuklah templat grafik media sosial (Canva), templat pengurusan bajet perniagaan (Excel/Google Sheets), kalendar harian, template bajet perbelanjaan majlis kahwin, template sistem pengurusan tugasan harian (Notion) dan macam-macam lagi.

Template ini anda boleh jual di Shoppe, Tiktok, Thread atau media sosial lain.

Sediakan juga video tutorial pendek berdurasi 2–3 minit cara gunakan template yang anda reka. Ini akan menarik perhatian pembeli dengan mudah.

infografik Cara Jana Side Income - template digital

25. E-book & Panduan Digital

  • Anggaran caj: Sekitar RM20 hingga RM300 sebuah, terpulang kepada nilai ilmu dan jalan penyelesaian yang anda tawarkan.
  • Sasaran klien: Orang awam yang nak belajar kemahiran baru, pemula industri, atau usahawan yang mencari solusi pantas.

Menulis e-book adalah cara terbaik untuk tukar kepakaran anda menjadi produk yang boleh dijual berulang kali (passive income).

Kuncinya di sini, jangan tulis buku teori yang tebal dan membosankan. Orang sekarang lebih suka panduan yang ringkas, padat, dan berasaskan langkah-demi-langkah (actionable guide).

Sebelum mula menulis, rajinkan diri skodeng media sosial untuk tengok apa soalan atau masalah yang paling kerap orang keluhkan dalam niche anda.

Sediakan jawapan lengkap dalam e-book tersebut, dan gunakan video pendek di TikTok atau Reels sebagai alat pemasaran organik untuk bawa trafik ke pautan jualan (payment link) anda.


26. Tutor Online

  • Anggaran caj: Berdasarkan jam atau pakej.
  • Sasaran klien: Pelajar, ibu bapa dan individu yang mahu mempelajari kemahiran tertentu.

Jika anda ada kebolehan mengajar atau mahir dalam subjek tertentu (seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Mengaji, mahupun kemahiran teknikal seperti suntingan video dan seni reka grafik), anda boleh cuba jadi tutor dalam talian (online tutor).

Anda tidak perlukan modal besar untuk sewa kelas fizikal. Cukup sekadar bilik yang sunyi, sambungan internet yang stabil, komputer riba, dan aplikasi sidang video percuma seperti Google Meet, Zoom, atau Microsoft Teams untuk mula mengajar dari rumah.

RM100 × 10 sesi = RM1,000.


27. Online Coaching

  • Anggaran caj: RM100 hingga RM500+ per sesi (biasanya 1 hingga 2 jam), atau pakej bulanan intensif.
  • Sasaran klien: Individu yang nak turunkan berat badan, profesional yang mahu lonjakkan kerjaya, usahawan baru, atau sesiapa sahaja yang perlukan bimbingan peribadi 1-ke-1.

Berbeza dengan tutor yang fokus mengajar subjek akademik atau teknikal, Online Coaching lebih kepada membimbing klien mencapai matlamat spesifik mereka secara custom.

Tugas anda di sini adalah mendengar masalah klien, buat penilaian situasi semasa mereka, dan reka satu pelan tindakan (blueprint) tersuai untuk mereka ikut.

Sesi bimbingan ini biasanya dijalankan secara 1-ke-1 melalui Google Meet atau Zoom secara mingguan atau bulanan.

Jangan sekadar tamat sesi dan biarkan klien terkontang-kanting sendiri. Nilai premium servis bimbingan anda terletak pada khidmat sokongan harian (daily accountability support) melalui WhatsApp atau Telegram.

Klien sanggup bayar mahal bukan sekadar untuk beli ilmu anda, tetapi mereka membayar untuk ‘sistem pemantauan’ yang memastikan mereka kekal berdisiplin buat tindakan sampai jadi.

Bila anda tawarkan borang jejak kemajuan (progress tracker) bulanan dan rajin semak perkembangan mereka, klien akan rasa sangat dihargai dan tidak ragu-ragu untuk terus melanggan servis anda.

Bagaimana Nak Dapatkan Kemahiran Untuk Jana Duit Sampingan?

Ini persoalan yang ramai tanya. Dah tahu, kemahiran ini itu boleh jana RM sekian. Tapi, masalahnya, macam mana nak belajar dan ada kemahiran tersebut?

Jangan risau. Ramai orang beranggapan perlu mempunyai sijil profesional atau pengalaman bertahun-tahun sebelum boleh menawarkan sesuatu servis.

Sebenarnya, tidak semestinya begitu.

Untuk kebanyakan kemahiran freelance, perkara paling penting ialah kemahiran yang boleh dibuktikan melalui hasil kerja.

Contohnya, kalau anda mahu menawarkan servis editing video, pelanggan biasanya lebih berminat melihat contoh video yang anda pernah hasilkan berbanding sekadar mengetahui anda pernah mengikuti kursus editing.

Untuk menambah ilmu dan belajar kemahiran yang diperlukan, anda boleh:

Banyak kemahiran boleh dipelajari secara dalam talian. Anda boleh menggunakan YouTube, ikuti kursus dalam talian, sertai webinar, masuk ke dalam group facebook komuniti profesional, cari bahan pembelajaran percuma dan sebagainya.

Untuk kemahiran digital, jangan sekadar menonton tutorial. Cuba terus praktikkannya.

Di Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mempunyai pelbagai inisiatif berkaitan ekonomi digital dan pembangunan kemahiran digital.

Anda juga boleh melihat program latihan melalui HRD Corp, khususnya jika anda sudah bekerja dan organisasi anda menyediakan peluang latihan.

Ini antara cara paling cepat untuk mengetahui sama ada sesuatu kemahiran sesuai dengan anda.

Contohnya:

  • Belajar CapCut → edit 5 video → jadikan portfolio → tawarkan servis kepada bisnes.
  • Belajar copywriting → tulis 5 contoh iklan → jadikan portfolio → cari pelanggan pertama.

Portfolio tidak semestinya perlu datang daripada pelanggan sebenar. Pada peringkat awal, projek contoh yang anda hasilkan sendiri juga boleh digunakan untuk menunjukkan kemampuan.

Jangan cuba belajar 10 kemahiran pada masa yang sama. Pilih satu kemahiran yang paling dekat dengan minat atau pengalaman anda. Kemudian gunakan formula mudah:

Susah ke Nak Dapat Side Income RM1,000 – RM3,000 Sebulan?

Kita juga perlu berpijak di bumi yang nyata. Pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 hingga RM3,000 sebulan ini bukannya datang bergolek atau dijamin masuk ke akaun bank secara tetap setiap bulan.

Realitinya, jumlah yang anda bawa balik sangat bergantung kepada tahap kemahiran, trend permintaan semasa, berapa ramai pelanggan aktif yang anda ada, cara anda letak harga, dan berapa banyak masa terluang yang anda sanggup korbankan.

Asalkan anda rajin asah bakat, ada portfolio contoh yang kemas, dan tahu cara ketuk pintu pasaran, kerja freelance ini pasti boleh jadi lubuk pendapatan kedua yang sangat berbaloi untuk masa depan kewangan anda.

Ingat, kunci utama bukan semestinya mendapatkan ramai pelanggan. Sebaliknya, fikirkan tentang nilai setiap projek.

Kesimpulan: Pilih Satu Kemahiran & Mula Mengorak Langkah Hari Ini!

Mencari duit sampingan sebanyak RM1,000 hingga RM3,000 sebulan melalui dunia freelance sebenarnya bukanlah perkara yang mustahil di Malaysia, asalkan anda ada kemahiran yang betul dan tahu cara menjualnya.

Anda tidak perlu pening kepala mahu kuasai semua 25 kemahiran yang kita bincangkan tadi. Kuncinya di sini, pilih satu sahaja kemahiran yang paling dekat dengan minat atau latar belakang anda sekarang, asah bakat tersebut sampai tajam, dan mula cipta beberapa projek contoh (mock projects) sebagai bukti hasil kerja untuk dijadikan portfolio rasmi anda.

Langkah pertama ini sangat penting supaya bakal pelanggan yakin dengan keupayaan anda walaupun anda baru sahaja bermula.

Satu pesanan penting, apabila pendapatan sampingan anda sudah mula masuk secara konsisten setiap bulan, pastikan anda anda daftarkan perniagaan secara rasmi di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kategori Milikan Tunggal (Sole Proprietorship).

Rujuk: Cara Daftar SSM Percuma 2026 – Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin

Jangan lupa juga untuk mengasingkan rekod kewangan dan simpan semua resit perbelanjaan kerja dengan rapi bagi memudahkan urusan pengisytiharan cukai pendapatan tambahan kepada LHDN menjelang musim cukai nanti menggunakan Borang B.

Rekod kewangan yang bersih bukan sahaja mengelakkan anda daripada terkena penalti, malah sangat membantu sekiranya anda mahu memohon pinjaman daripada pihak bank pada masa akan datang kerana bank mengiktiraf hasil freelance yang sah.

Selamat mencuba dan semoga langkah pertama anda ke dunia freelance ini dipermudahkan!


Rujukan

NOTA EDITOR: Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan merujuk beberapa sumber. Sekiranya terdapat kesalahan maklumat atau fakta yang kurang tepat, sila maklumkan kepada pasukan eWarta agar artikel ini boleh disemak semula demi menyediakan panduan yang tepat & terkini kepada pembaca.

FAQ – Soalan Lazim Cara Jana Side Income

1. Bolehkah kemahiran freelance menjana RM1,000 hingga RM3,000 sebulan?

Boleh, tetapi jumlah tersebut tidak dijamin. Pendapatan bergantung kepada kemahiran, kadar caj, jumlah pelanggan, permintaan pasaran dan masa yang diperuntukkan.

2. Apakah kemahiran paling mudah untuk mula jana duit sampingan?

Antara kemahiran yang boleh dipelajari dengan lebih mudah ialah editing video asas, design Canva, copywriting, subtitle video, fotografi produk menggunakan telefon dan pengurusan media sosial.

3. Perlu ada sijil untuk buat kerja freelance?

Tidak semua kerja freelance memerlukan sijil. Namun, sesetengah bidang mempunyai keperluan kelayakan atau peraturan tertentu. Untuk kemahiran digital, portfolio dan hasil kerja sering menjadi perkara penting kepada pelanggan.

4. Berapa modal diperlukan untuk mula buat kerja freelance?

Ia bergantung kepada kemahiran. Sesetengah servis boleh dimulakan dengan komputer atau telefon dan perisian percuma. Kemahiran tertentu pula mungkin memerlukan langganan perisian, kamera, peralatan atau kos latihan.

5. Boleh ke buat duit sampingan walaupun sudah bekerja tetap?

Boleh, tetapi semak kontrak pekerjaan dan polisi majikan anda terlebih dahulu. Pastikan kerja sampingan tidak mengganggu tugas utama atau menimbulkan konflik kepentingan.

6. Bagaimana nak dapatkan pelanggan pertama?

Mulakan dengan membina portfolio, tawarkan servis kepada rangkaian kenalan atau bisnes kecil, gunakan media sosial dan sertai platform freelance yang sesuai.

7. Perlukah letak harga murah untuk dapat pelanggan pertama?

Tidak semestinya. Lebih baik tawarkan pakej permulaan dengan skop yang jelas dan harga munasabah daripada menetapkan harga terlalu rendah sehingga tidak berbaloi dengan masa yang digunakan.

8. Mana lebih baik, fokus satu kemahiran atau belajar banyak kemahiran?

Untuk pemula, fokus kepada satu kemahiran utama biasanya lebih mudah. Selepas kemahiran tersebut sudah kukuh, anda boleh menambah kemahiran yang berkaitan.

9. Adakah AI akan menghapuskan kerja freelance?

AI mengubah cara sesetengah kerja dilakukan, tetapi ia juga mewujudkan peluang baharu. Individu yang boleh menggunakan AI sebagai alat untuk meningkatkan produktiviti sambil mempunyai kemahiran manusia seperti kreativiti, komunikasi dan pemahaman pelanggan boleh mempunyai kelebihan.

10. Perlukah daftar perniagaan jika buat kerja freelance?

Keperluan bergantung kepada bentuk dan skala aktiviti anda. Jika menjalankan aktiviti perniagaan secara berterusan, semak keperluan pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta tanggungjawab percukaian dengan LHDN.

Penafian: Segala anggaran caj dan skop kerja di atas adalah sebagai anggaran dan bukan nilai tetap. Artikel ini disediakan sebagai panduan am dan tidak menggantikan nasihat profesional bagi bidang yang memerlukan lesen atau kelayakan khusus.

Asraf merupakan penulis artikel Bahasa Melayu di ewarta.my yang mempunyai pengalaman dalam menganalisis topik semasa, bantuan kerajaan, tips kewangan di Malaysia, isu viral serta liputan berita dan acara nasional di Malaysia. Komited untuk menyediakan panduan mudah difahami oleh pembaca umum.

View All Posts

You Missed