Info harian, berita, bantuan, semakan, permohonan, tips-tips dan perkongsian umum.
Info harian, berita, bantuan, semakan, permohonan, tips-tips dan perkongsian umum.

Kurikulum Baharu KPM – Apa Ibu Bapa Perlu Tahu & Persediaan Perlu Dilakukan?

Sistem pendidikan di Malaysia sedang melalui fasa transformasi yang besar. Seiring dengan pengenalan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan penstrukturan semula kurikulum dan kaedah pentaksiran murid.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah, perubahan ini pastinya menimbulkan pelbagai persoalan.

Jangan susah hati, kami sudah kumpulkan beberapa maklumat penting yang ibubapa/penjaga perlu tahu mengenai Kurikulum Baharu KPM supaya anda bersedia membantu pembelajaran anak di rumah.

RPM 2026–2035: Hala Tuju Baru Pendidikan Negara

RPM 2026–2035 ialah pelan reformasi pendidikan satu dekad yang dirancang untuk melahirkan modal insan yang kompetitif di peringkat global.

Pelan ini menekankan dua fokus utama yang baharu iaitu fleksibiliti guru dalam mengajar mengikut keperluan murid dan kemampanan sistem pendidikan negara.

Seiring dengan revolusi digital yang pantas memerlukan murid yang bukan sekadar menghafal maklumat, tetapi bijak menyelesaikan masalah kompleks.

Oleh itu, KPM memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang berorientasikan standard dan kompetensi.

Tujuannya adalah untuk menyeimbangkan pencapaian akademik dengan kemahiran insaniah (future skills).

TRIVIA:

  • RPM 2026–2035 bertindak sebagai pelan induk, dasar, dan strategi besar (masterplan) pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun.
  • KP2027 pula ialah pengisian atau kurikulum baharu yang digubal khas untuk menjayakan hasrat pelan induk tersebut di dalam bilik darjah.
  • Dalam dokumen rasmi KPM, pelaksanaan KP2027 diletakkan sebagai aktiviti utama di bawah Teras Strategik 2 RPM.

Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027)

Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) ialah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memfokuskan pembentukan karakter, literasi/numerasi (3M), dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Ia menggantikan kurikulum sedia ada, bermula di prasekolah (2026) dan Tahun 1/Tingkatan 1 (2027) dengan penekanan kepada Pendidikan Karakter.

Kurikulum Baharu KPM - Apa Ibu Bapa Perlu Tahu & Persediaan Perlu Dilakukan?

Garis Masa Pelaksanaan KP2027

Pelaksanaan kurikulum baharu ini (KP2027) akan mula diperkenalkan secara berperingkat kepada murid Prasekolah bermula tahun 2026, disusuli dengan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun 2027.

Seterusnya, kurikulum baharu diperluaskan pula kepada murid Tahun 2 dan Tingkatan 2 pada tahun 2028.

Semua murid di tingkatan atau darjah lain akan terus menggunakan kurikulum sedia ada (KSSR Semakan 2017 & KSSM) sehinggalah fasa pelaksanaan KP2027 ini diperluas sepenuhnya kepada semua tingkatan menjelang tahun 2031.

Kurikulum Baharu KPM

Matlamat

  • Melahirkan murid yang seimbang, berdaya saing, dan berdaya tahan (Insan Sejahtera).
  • Perubahan ini dilaksanakan berperingkat untuk memastikan kurikulum lebih relevan dengan keperluan masa hadapan dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
matlamat Kurikulum Baharu KPM

Pendekatan Baharu Kurikulum Persekolahan 2027

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan tiga pendekatan baharu utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), iaitu:

1. Pembentukan Karakter

  • Slot Masa Khusus: KPM memperuntukkan masa khas (contohnya 60 minit seminggu) dalam jadual waktu untuk program ini. Aktiviti dijalankan secara terancang dan bukan lagi sekadar sisipan dalam mata pelajaran lain.
  • Pembelajaran Sosioemosi: Fokus diletakkan pada pengurusan emosi, pemikiran positif, serta penghayatan nilai dan etika harian.
  • Merentas Semua Tahap: Pendekatan ini bermula seawal prasekolah sehingga peringkat menengah atas untuk melahirkan warganegara yang beradab (Generasi Madani).
Kurikulum Baharu KPM

2. Penekanan Khusus Literasi dan Numerasi

  • Intervensi Awal: KPM melaksanakan pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).
  • Sistem Sokongan / Pemulihan: Murid yang belum menguasai 3M akan diberikan bimbingan khusus sebelum beralih ke tahap pembelajaran seterusnya demi mengelakkan keciciran akademik.
Kurikulum Baharu KPM

3. Kelas Pembelajaran Bersepadu (Integrated Learning)

  • Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL): Pembelajaran tidak lagi terikat kepada subjek tunggal. Murid belajar melalui projek yang menghubungkaitkan pelbagai disiplin ilmu.
  • Gabungan Elemen Masa Hadapan: Projek yang direka menggabungkan elemen sains, teknologi, kejuruteraan, seni, muzik, kesihatan, dan digital (sebagai pengukuhan asas awal TVET).
  • Aplikasi Praktikal: Murid meneroka aplikasi teknologi dunia sebenar bermula dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3 untuk mengenal pasti potensi diri mereka lebih awal.
Kurikulum Baharu KPM

Bagi menyokong tiga pendekatan utama di atas, KPM turut memperkenalkan beberapa strategi pengajaran (PdP) moden:

  • Kaedah Co-Teaching: Pengenalan konsep dua guru di dalam satu kelas bagi subjek atau aktiviti tertentu untuk memastikan pemantauan dan bimbingan murid lebih efektif.
  • Pembelajaran Teradun (Blended Learning): Penyampaian modul pembelajaran secara pelbagai menggunakan gabungan teknologi digital dan fizikal secara fleksibel.

Maklumat rasmi mengenai struktur dan perkembangan pendekatan ini boleh diakses terus melalui Portal Kurikulum KPM.

8 Perubahan Besar Kurikulum Baharu Yang Ibu Bapa Wajib Tahu

Perubahan besar dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) akan mengubah cara anak anda belajar dan dinilai di sekolah.

Ibu bapa tidak lagi boleh menggunakan pengukur zaman dahulu untuk menilai prestasi anak-anak.Berikut adalah 5 perubahan besar yang wajib ibu bapa ketahui dan ambil perhatian:

1. Tiada Lagi Buku Teks di Prasekolah

  • Pembelajaran anak-anak berumur 4 hingga 5 tahun adalah berasaskan bermain, interaksi, dan penerokaan fizikal.
  • KPM mahu membina emosi yang stabil, keyakinan diri, dan kemahiran sosial anak sebelum mereka masuk ke dunia akademik formal.

2. Penstrukturan Subjek Tahap 1 (Tahun 1 & Tahun 2)

  • Subjek Baharu “Alam dan Manusia”, tiada lagi subjek Sains, Muzik, Seni Visual, dan Pendidikan Kesihatan.
  • Sistem Dua Guru (Co-Teaching): Subjek gabungan ini bakal diajar oleh dua orang guru serentak di dalam kelas semasa aktiviti amali dijalankan.
  • Slot Karakter Wajib: Peruntukan khas selama 60 minit seminggu disediakan dalam jadual waktu untuk aktiviti pemantapan sahsiah, disiplin, sivik, dan jati diri tanpa menyentuh akademik.
  • Fokus Mutlak 3M: Pembatalan subjek Sains tebal adalah bagi memberi ruang penuh untuk anak menguasai Membaca, Menulis, dan Mengira (3M).
  • Saringan & Intervensi Serta-merta: Murid yang dikesan belum menguasai kemahiran asas 3M akan diasingkan serta-merta ke kelas bimbingan khas demi mengelakkan isu keciciran.

3. Prestasi Bukan Lagi Berdasarkan Gred A, B, C

  • Prestasi anak tidak lagi dinilai melalui satu kertas peperiksaan akhir tahun sahaja tetapi melalui Pentaksiran Berterusan (PBD).
  • Guru menilai anak anda setiap hari berdasarkan hasil kerja, projek kumpulan, pembentangan, amalan sahsiah, dan penglibatan aktif di dalam kelas.

4. Jadual Waktu Sekolah Ada Slot “Karakter” & Masa Khas Projek

  • Jadual waktu anak anda akan mempunyai slot masa khas untuk pembentukan karakter (adab, nilai murni, integriti) dan pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning).
  • Tujuannya adalah untuk melahirkan murid yang bukan sahaja bijak akademik, tetapi mempunyai daya tahan tinggi, berakhlak mulia, dan pandai berkomunikasi.

5. Pengenalan Elemen Pendidikan Teknikal (TVET) Seawal Sekolah Rendah

  • Anak-anak akan diperkenalkan dengan asas teknologi digital, robotik, dan kemahiran praktikal (TVET) mengikut kesesuaian umur mereka.
  • Ini adalah untuk menyediakan anak anda dengan kemahiran yang relevan dengan pasaran kerja moden dan teknologi masa hadapan.

6. Dua Kumpulan Umur Masuk Tahun 1 Serentak (Sesi 2027)

Bermula sesi persekolahan 2027, bilik darjah Tahun 1 akan mencatatkan sejarah baharu apabila dua kumpulan umur (kohort) berbeza dimasukkan serentak:

  • Kumpulan 1 (Kohort 7 Tahun – Wajib): Kanak-kanak yang mencapai usia standard mengikut sistem sedia ada (dianggarkan seramai 405,033 murid).
  • Kumpulan 2 (Kohort 6 Tahun – Sukarela/Pilihan): Kanak-kanak di bawah inisiatif pendaftaran awal KPM. Ibu bapa diberi keluwesan mendaftarkan anak seawal umur 6 tahun sekiranya anak melepasi penilaian kesediaan emosi dan kognitif.

Bagaimana KPM elak kelas terlalu padat?

  • KPM membina 2,596 kelas segera menggunakan struktur kabin moden (IBS).
  • Melantik 3,150 guru baharu (kontrak COS dan simpanan SPP) untuk kurangkan beban guru sedia ada.

7. Struktur Baharu Sekolah Rendah (Tiga Tahap)

Sistem sekolah rendah dirombak kepada 3 fasa fokus supaya anak-anak tidak stres dan terbeban:

Fasa PersekolahanDarjah/TahunFokus Utama Kurikulum
Tahap 1: PenguasaanTahun 1 & Tahun 2Fokus kuasai asas Membaca, Menulis, Mengira (3M) & emosi stabil.
Tahap 2: EksplorasiTahun 3 & Tahun 4Mula belajar aplikasi ilmu, asas sains, teknologi, dan seni.
Tahap 3: PemantapanTahun 5 & Tahun 6Asah kemahiran berfikir secara kritis dan bersedia ke sekolah menengah.

8. Pengenalan “Matriks Pembelajaran Malaysia” (MPM)

KPM memperkenalkan sistem semakan berpusat baharu bernama Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM):

  • MPM hanyalah ujian diagnostik untuk melihat sejauh mana anak faham apa yang belajar, bukan untuk label anak pandai atau tidak.
  • Format soalan direka mengikut standard global bagi membiasakan anak dengan ujian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS.

Matriks Pembelajaran Malaysia Tahun 4

  • Tarikh Ujian: Murid Tahun 4 akan menduduki Ujian Matriks Pembelajaran Malaysia (MPT4) yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan pada 6 hingga 8 Oktober 2026.
  • Subjek Dinilai: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains. (Bahasa Cina (SJKC) / Bahasa Tamil (SJKT) bagi sekolah jenis kebangsan)
  • Keputusan disimpan dalam sistem SBPPA. Jika anak dikesan lemah (contoh: lemah subjek pecahan), cikgu boleh tahu awal dan beri kelas bimbingan khas semasa mereka di Tahun 5 dan 6.

Matriks Pembelajaran Malaysia Tingkatan 3 (bermula 2027)

  • Subjek Dinilai: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
  • Berbeza dengan Tahun 4 yang fokus kepada kelas bimbingan/intervensi awal, keputusan MPM Tingkatan 3 pula akan digunakan sebagai elemen panduan untuk penentuan pakej mata pelajaran (aliran) semasa mereka memasuki Tingkatan 4 nanti, sama ada aliran akademik mahupun kemahiran.

Apa Persediaan Ibu Bapa Boleh Lakukan?

Bagi memastikan transisi anak-anak berjalan lancar di bawah sistem Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), ibu bapa perlu membuat persediaan dari rumah lagi mengikut fasa umur anak.

Fasa ini tertumpu kepada persediaan Prasekolah (Sesi 2026) dan kemasukan pilihan ke Tahun 1 (Sesi 2027).

  • Fokus Kematangan Emosi, Bukan Akademik: Jangan paksa anak menghafal subjek berat. Kurikulum prasekolah baharu tiada buku teks. Banyakkan aktiviti bermain yang melatih anak mengurus emosi, berkongsi barang, dan mendengar arahan.
  • Buat Penilaian Sendiri Sebelum Daftar Awal: Jika anda mahu hantar anak masuk Tahun 1 seawal umur 6 tahun (Kohort Pilihan), pastikan anak sudah berdikari (tahu ke tandas sendiri, pandai pakai baju) dan mempunyai fokus yang baik. Anak anda akan menduduki ujian kesediaan emosi dan kognitif oleh KPM, jadi pastikan mental mereka bersedia.
  • Latih Kemahiran Motor Halus: Contohnya, banyakkan aktiviti menggunting, menguli doh, dan melukis untuk menguatkan otot tangan anak bagi memudahkan mereka belajar menulis nanti.

Fasa ini amat kritikal kerana berlakunya pengenalan subjek gabungan baharu dan kemasukan dua kohort umur serentak pada sesi 2027.

  • Pantau Penguasaan 3M Setiap Hari: Luangkan masa 15 minit setiap malam untuk membaca bersama anak. Take note, mana-mana murid yang dikesan belum menguasai kemahiran asas tersebut akan diasingkan serta-merta untuk mengikuti kelas bimbingan khas sebagai langkah intervensi awal.
  • Sokong Pembelajaran Bertema di Rumah: Memandangkan subjek Sains digabungkan dalam “Alam dan Manusia” (bersama Muzik, Seni, dan Kesihatan), bawa anak meneroka alam sekitar (contoh: melawat taman bunga, bercerita tentang sejarah keluarga) untuk merangsang sifat ingin tahu mereka.
  • Sediakan Bahan Bacaan : Sokong usaha KPM dalam Dekad Membaca Kebangsaan dengan membekalkan buku cerita fizikal atau majalah ilmiah ringkas di dalam beg anak. Ini bagi memudahkan mereka menyertai slot membaca senyap 10–15 minit sebelum kelas bermula setiap pagi.
  • Komunikasi dengan Guru tentang PBD: Jangan tanya “Anak saya dapat nombor berapa dalam kelas?” (kerana tiada lagi sistem ranking). Tanya guru: “Apakah kemahiran atau adab yang anak saya perlu perbaiki dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)?”

Fasa transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah yang memerlukan kekuatan mental dan kebolehan beradaptasi.

  • Bina Daya Tahan (Resilience) & Karakter: Kurikulum menengah KP2027 menekankan slot karakter harian (15 minit pertama setiap pagi) dan kebolehan menyelesaikan masalah dunia sebenar. Galakkan anak menyertai aktiviti kokurikulum dan berdikari dalam menguruskan jadual belajar.
  • Sediakan Gajet/Kemudahan Digital yang Selamat: Sesi pembelajaran di peringkat menengah akan banyak menggunakan pendekatan Blended Learning (Pembelajaran Teradun). Pastikan anak mempunyai akses internet atau peranti yang dipantau untuk tujuan pembelajaran berasaskan projek.
  • Latih Kemahiran Kerja Berkumpulan: Banyak tugasan sekolah akan berbentuk Project-Based Learning (PBL). Galakkan anak untuk aktif berkomunikasi, bertolak ansur, dan berani membentangkan idea di hadapan orang ramai.

Fasa persediaan akhir ke arah pasaran kerja, pendidikan tinggi, dan persediaan menghadapi ujian standard antarabangsa.

  • Fahami Keputusan MPM Tingkatan 3: Keputusan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) Tingkatan 3 anak anda (yang bermula sesi 2027) bertindak sebagai panduan penting. Gunakan keputusan ini untuk berbincang dengan anak sama ada mereka lebih cenderung ke arah aliran akademik tulen atau bidang kemahiran (TVET).
  • Fokus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT): Format penilaian menengah atas banyak mengadaptasi standard global (seperti PISA/TIMSS). Galakkan anak membaca berita, membincangkan isu semasa, dan mengasah kemahiran analisis, bukan sekadar menghafal skema jawapan buku rujukan.
  • Sokong Pengurusan Stres Anak: Beban pembelajaran berasaskan projek dan penilaian berterusan boleh memenatkan. Ibu bapa perlu menyediakan persekitaran rumah yang harmoni dan menyokong kesihatan mental anak sepanjang fasa pemantapan ini.

Muat Turun Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027)

Rujukan & Pertanyaan

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), berikut adalah saluran rujukan rasmi yang disediakan oleh pihak KPM:

  1. Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia
  2. Kurikulum Persekolahan 2027 – Portal KPM
  3. Portal Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM 2026–2035)
  4. Media Sosial KPM:

FAQ – Soalan Lazim Kurikulum Baharu KPM

Adakah pendaftaran kanak-kanak berumur 6 tahun (5+) masuk ke Tahun 1 pada sesi 2027 diwajibkan?

Tidak diwajibkan. Kemasukan awal ini adalah pilihan sukarela ibu bapa dan bergantung sepenuhnya kepada kesediaan emosi serta mental kanak-kanak tersebut. Murid juga disyaratkan telah mengikuti prasekolah pada usia 5 tahun dan wajib lulus ujian saringan diagnostik

Jika anak masuk Tahun 1 pada usia 6 tahun, adakah dia akan bersekolah dalam Tahun 1 selama dua tahun?

Tidak. Murid tersebut tidak akan mengulang kelas. Mereka akan mengikut struktur laluan biasa iaitu 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah, bermakna mereka akan tamat persekolahan menengah atas lebih awal iaitu pada usia 16 tahun.

Bagaimanakah cara untuk memohon kemasukan ke Tahun 1 bagi sesi 2027?

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal Sistem Bersepadu KPM (MOEIS / iDME) di bawah Modul Pengurusan Awam. Bagi kanak-kanak bukan warganegara, permohonan perlu dibuat secara luar talian di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terdekat.

Apakah maksud Sistem Dua Guru (Co-Teaching) dalam kurikulum baharu?

Konsep ini bermaksud dua orang guru akan berada dan mengajar serentak di dalam satu kelas yang sama.

Adakah UPSR dan PT3 akan dihidupkan semula dalam Kurikulum 2027?

Tidak sama sekali. KPM menggantikan terus format peperiksaan pusat berorientasikan gred tersebut dengan sistem baharu berasaskan kompetensi, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), serta alat diagnostik yang dipanggil Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM).

Apakah kegunaan keputusan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) bagi murid Tahun 4?

Keputusan MPM Tahun 4 (yang mula diduduki pada Oktober 2026) disimpan dalam sistem SBPPA untuk tujuan intervensi awal. Jika murid dikesan lemah dalam subjek atau topik tertentu, guru boleh merangka program bimbingan khas semasa mereka berada di Tahun 5 dan Tahun 6 sebelum naik ke sekolah menengah.


Penafian: Maklumat yang terkandung dalam artikel ini disediakan untuk tujuan makluman am dan perkongsian ilmu sahaja. Ibu bapa dan pembaca dinasihatkan untuk sentiasa merujuk terus ke Portal Rasmi KPM (www.moe.gov.my) untuk mendapatkan pekeliling dan arahan rasmi yang terkini.

Ain merupakan penulis artikel kewangan di ewarta.my, memfokuskan kepada pengurusan kewangan mikro dan pelaburan runcit tempatan. Turut aktif menulis di beberapa laman sesawang berkaitan kewangan, gaya hidup dan topik trending.

View All Posts

You Missed