Info harian, berita, bantuan, semakan, permohonan, tips-tips dan perkongsian umum.
Info harian, berita, bantuan, semakan, permohonan, tips-tips dan perkongsian umum.

Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli – Fakta Penting dan Hukuman Kepada Ibu Bapa

Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli

Akta Antibuli 2026 (Akta 876) adalah undang-undang baru di Malaysia untuk memastikan kes buli dapat ditangani dengan cekap.

Selain Akta Antibuli 2026, Tribunal Antibuli juga dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Seri Azalina Othman Said bermula 16 Jun 2026 di Malaysia.

Ini adalah berita baik buat semua pihak terutamanya ibu bapa dan pelajar yang pernah atau sedang mengalami masalah buli.

Undang-undang ini dibuat untuk pelajar 18 tahun ke bawah dan yang paling penting, bukan pembuli sahaja yang kena hukuman tetapi mak ayah pun boleh kena hukum sekali!

Jom ambil tahu fakta penting mengenai Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli yang baru dilancarkan ini.

akta antibuli 2026

Ringkasan Artikel Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli

  • Mula berkuat kuasa secara rasmi pada 16 Jun 2026.
  • Ditubuhkan di bawah Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 (Akta 876).
  • Diterajui oleh Presiden, Timbalan Presiden, dan 56 anggota yang terdiri daripada pakar perundangan, kesihatan mental, serta pakar kanak-kanak.
  • Ibu pejabat beroperasi di AIAC Kuala Lumpur dengan sokongan 6 zon perbicaraan fizikal, dalam talian, atau hibrid (menggunakan pejabat BHEUU, Jabatan Insolvensi, dan Biro Bantuan Guaman).
  • Buat masa ini, undang-undang ini terpakai khusus untuk kes buli melibatkan individu berumur 18 tahun ke bawah.
  • Di bawah Seksyen 43 Akta 876, tribunal boleh mengarahkan pampasan maksimum sehingga RM250,000 kepada mangsa buli.
  • Tribunal berkuasa mengarahkan pesalah memohon maaf, menghapus kandungan buli siber, membayar perbelanjaan munasabah, atau menghadiri program pemulihan mandatori.
  • Memperkenalkan undang-undang tanggungjawab bersama di mana ibu bapa atau penjaga turut memikul liabiliti termasuk dalam aspek pembayaran denda jika anak mereka didapati bersalah.
  • Institusi pendidikan kekal sebagai barisan hadapan, namun mangsa boleh membawa kes terus ke tribunal jika tidak selesai di peringkat sekolah atau kejadian berlaku di luar kawasan sekolah.

Akta Antibuli 2026 & Liabiliti Bersama Ibu Bapa

Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli di Malaysia adalah undang-undang baharu yang perlu kita ambil tahu lebih-lebih lagi sekiranya mempunya anak di bawah umur 18 tahun.

Dulu kalau anak membuli, mak ayah cuma kena panggil untuk berbincang sahaja.

Tetapi sekarang, di bawah Akta Antibuli yang menggunakan konsep joint liability, mak ayah pun kena tanggung tindakan undang-undang sekali kalau anak didapati bersalah membuli.

Mak ayah boleh diheret ke tribunal dan berdepan hukuman membayar pampasan ganti rugi kepada mangsa sehingga maksimum RM250,000!

Skop kesalahan di bawah Akta 876 ini juga tidak hanya terhad kepada buli fizikal dan psikologi secara berhadapan, malah merangkumi kesalahan buli siber di platform digital.

Trivia

Konsep Joint Liability: Kenapa Ibu Bapa Boleh Dihukum Kerana Kesalahan Anak?

  • Di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876), undang-undang Malaysia kini memperkenalkan prinsip Joint Liability (Liabiliti Bersama).
  • Ini bermakna, jika seorang pelaku buli adalah remaja atau kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tanggungjawab undang-undang dan bayaran ganti rugi tidak lagi diletakkan di bahu pelaku semata-mata.
  • Ibu bapa atau penjaga sah boleh diheret sama ke Tribunal Antibuli dan diisytiharkan bertanggungjawab bersama atas kegagalan menyelia tingkah laku anak mereka.
  • Jika tribunal mendapati ada unsur pengabaian pengawasan, ibu bapa boleh diarahkan oleh undang-undang untuk membayar pampasan ganti rugi sivil kepada mangsa sehingga maksimum RM250,000.
akta 876
Gambar diambila daripada Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Apakah Itu Tribunal Antibuli & Bagaimana Ia Berfungsi?

Tribunal Bagi Antibuli bertindak sebagai saluran penyelesaian kedua sekiranya aduan yang dibuat gagal diselesaikan secara memuaskan di peringkat sekolah.

Badan kuasi-kehakiman ini diterajui oleh seorang Presiden dan dibantu oleh 56 anggota pakar dalam bidang perundangan, kebajikan kanak-kanak, serta kesihatan mental bagi memastikan setiap kes dinilai secara adil.

Bagi memudahkan urusan mangsa, prosiding perbicaraan boleh dijalankan di seluruh negara. Sama ada secara fizikal, hibrid, mahupun dalam talian (online).

Aduan juga boleh difailkan secara mudah terus melalui portal rasmi tribunal tersebut di https://tab.bheuu.gov.my/

Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli di Malaysia
Tribunal Bagi Antibuli
tribunal antibuli 2026
Gambar diambila daripada Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM
tribunal antibuli 2026 - 1
Gambar diambila daripada Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Fakta Penting Akta Antibuli 2026

  1. Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Tribunal Bagi Antibuli telah berkuat kuasa secara rasmi di Malaysia.
  2. Akta ini melindungi mangsa berumur 18 tahun ke bawah.
  3. Akta ini turut memperkenalkan konsep joint liability (tanggungjawab bersama).
  4. Ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan undang-undang bersama sekiranya anak mereka didapati bersalah membuli.
  5. ibu bapa pembuli boleh diarahkan membayar pampasan maksimum sehingga RM250,000 kepada mangsa jika didapati anak mereka bersalah.
  6. Aduan kes boleh difailkan secara terus kepada tribunal melalui Portal Rasmi TAB tanpa memerlukan laporan polis terlebih dahulu. (Tapi ada tapisan sama ada kes tersebut memenuhi syarat untuk didengar di tribunal ataupun tidak).
  7. Sekolah dan institusi pendidikan masih kekal sebagai barisan hadapan.
  8. Tribunal ini bertindak sebagai saluran penyelesaian akhir sekiranya kes gagal diselesaikan dengan sewajarnya oleh pihak sekolah.
  9. Tribunal Antibuli diuruskan oleh seorang Presiden, Timbalan Presiden, dan 56 anggota panel yang terdiri daripada pakar perundangan, pakar kesihatan mental, serta pakar kanak-kanak.
  10. Zon Perbicaraan: Mempunyai 6 zon perbicaraan fizikal dan hibrid.
  11. Ibu pejabat Tribunal Antibuli beroperasi di Kuala Lumpur (AIAC), namun prosiding boleh dijalankan di seluruh negara menerusi 6 zon perbicaraan fizikal, hibrid, mahupun secara dalam talian (online).
tribunal antibuli akta 876
Gambar diambila daripada Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Hukuman Kepada Pembuli dan Ibu Bapa

Bentuk Hukuman / Perintah Tribunal
Pelaku / Pembuli (Bawah 18 Tahun)
  • Mengarahkan pelaku membuat permohonan maaf secara rasmi kepada mangsa.
  • Mewajibkan pelaku mengikuti program intervensi kesihatan mental dan kaunseling.
  • Jika melibatkan kes buli siber, pembuli diwajibkan memadamkan semua kandungan, hantaran, atau komen buli yang telah dimuat naik di platform media sosial serta-merta.
Ibu Bapa / Penjaga (Joint Liability)
  • Ibu bapa boleh diarahkan oleh tribunal untuk membayar pampasan atau ganti rugi kepada mangsa sehingga maksimum RM250,000.
  • Ibu bapa juga boleh diarah membayar segala kos rawatan perubatan, kos sesi kaunseling mangsa, atau perbelanjaan munasabah lain yang timbul akibat daripada perbuatan buli tersebut.
  • Ibu bapa pelaku boleh diarahkan untuk mengikuti program intervensi seperti sesi kaunseling atau program bimbingan keibubapaan bagi membetulkan corak asuhan.

Maksud Buli & Jenis Buli

Buli merujuk kepada tingkah laku sengaja yang ditujukan terhadap mangsa, sama ada berulang atau satu insiden serius, yang menyebabkan kemudaratan fizikal, psikologi atau sosial.

Definisi ini selaras dengan Akta Antibuli 2026 [Akta 876].

  • Fizikal: kecederaan badan atau ancaman fizikal
  • Psikologi: tekanan emosi, ketakutan, atau trauma
  • Sosial: pengasingan, pemulauan, atau kerosakan reputasi

Jenis buli:

  1. Buli Fizikal: Tindakan fizikal yang menyakitkan seperti memukul, menolak, menendang, atau merosakkan barang.
  2. Buli Lisan dan Bahasa: Kata-kata menyakitkan, ejekan, ugutan, atau nama panggilan yang melukai hati.
  3. Buli Sosial: Memulaukan, menyebarkan cerita, atau menolak seseorang daripada kumpulan.
  4. Buli Emosi dan Psikologi: Ugutan, penghinaan, atau tindakan yang buat orang takut, malu, atau tertekan.
  5. Buli Siber (Lisan atau Bahasa): Kata-kata kasar, ugutan, atau ejekan melalui mesej, komen, atau panggilan.
  6. Buli Siber (Sosial): Memulaukan, memalukan, atau mengecualikan seseorang dalam ruang dalam talian.
  7. Buli Siber (Emosi dan Psikologi): Gangguan dalam talian yang buat seseorang rasa takut, tertekan, atau tidak selamat.

Hak Mangsa Buli

Hak Mangsa

Setiap mangsa buli berhak mendapat layanan yang bermaruah, maklumat yang jelas, dan sokongan yang sesuai dengan keadaan mereka.

  1. Hak untuk didengar. Laporan anda perlu diambil serius oleh pihak sekolah, institusi, atau pihak berkuasa yang berkaitan.
  2. Hak kepada keselamatan. Langkah perlindungan perlu diambil untuk memastikan anda tidak terdedah kepada risiko lanjut semasa kes disiasat.
  3. Hak kepada privasi. Maklumat peribadi anda dan butiran kes hendaklah dikendalikan dengan sulit.
  4. Hak kepada maklumat. Anda berhak mengetahui tindakan yang diambil dan perkembangan kes anda.

Langkah Segera yang Perlu Diambil

  1. Utamakan keselamatan diri. Jika terdapat ancaman segera, hubungi pihak berkuasa atau talian bantuan.
  2. Simpan semua bukti; mesej, tangkap layar, gambar, atau rekod kejadian. Jangan padam apa-apa.
  3. Catat tarikh, masa, dan tempat setiap kejadian dengan terperinci.
  4. Dapatkan sokongan daripada orang dewasa yang dipercayai; ibu bapa, guru, atau kaunselor.

Hak Ibu Bapa dan Penjaga

Ibu bapa dan penjaga berhak:

  • Menerima makluman daripada pihak sekolah tentang kes yang melibatkan anak mereka.
  • Meminta rekod bertulis tentang tindakan yang diambil oleh sekolah.
  • Membuat aduan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi jika tindakan sekolah dianggap tidak mencukupi.
  • Mendapatkan bantuan daripada talian sokongan atau perkhidmatan kaunseling yang berkaitan.

Panduan Cara Buat Aduan Jika Dibuli (Bawah 18 Tahun)

Jika anda atau anak anda mengalami buli, utamakan keselamatan diri dahulu. Catat apa yang berlaku, simpan bukti, dan dapatkan bantuan orang dewasa atau pihak sekolah dengan segera.

Siapa Boleh Membuat Aduan?

  • Mangsa buli
  • Jika anda sendiri mengalami buli, anda boleh membuat aduan.
  • Ibu bapa atau penjaga
  • Jika mangsa ialah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga boleh membuat aduan bagi pihak mereka.
  • Pengadu boleh terdiri daripada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, kanak-kanak yang ditahan, dipulihkan atau dilindungi di institusi termasuk Sekolah Henry Gurney atau ibu bapa atau penjaga mangsa.

Bila Buli Dianggap Berlaku

  • Buli Fizikal. Contoh: Perbuatan fizikal terhadap mangsa seperti memukul, mengganggu secara fizikal atau merosakkan barang mangsa.
  • Buli Emosi dan Psikologi. Contoh: Perbuatan mengugut, menghina, memalukan seseorang atau menyebabkan ketakutan berterusan.
  • Buli Sosial. Contoh: Memulaukan, menyebarkan cerita atau menjatuhkan maruah seseorang dalam kumpulan.
  • Buli Siber. Contoh : Hantaran dibuat melalui mesej, media sosial, kumpulan sembang, video, gambar atau kandungan digital lain.
  • Buli Lisan dan Bahasa. Termasuk penghinaan yang menyentuh latar belakang, keadaan, atau ciri peribadi seseorang.

Maklumat Yang Diperlukan

  • Identiti dan butiran pihak yang terlibat
  • Bila dan di mana kejadian berlaku
  • Apa yang berlaku dengan bahasan yang jelas dan ringkas
  • Sama ada sekolah, institusi aatu pihak lain sudah dimaklumkan
  • Maklumat saksi (jika ada)

Bukti Yang Boleh Disertakan

  • Tangkapan skrin, gambar atau video
  • Mesej, rekod sembang atau catatan berkaitan
  • Tarikh, masa dan butiran kejadian yang anda simpan

Langkah Mudah Untuk Membuat Aduan

1. Sediakan maklumat asas

Kumpulkan maklumat yang diperlukan sebelum membuat aduan:

  • nama pihak yang terlibat
  • tarikh dan tempat kejadian
  • keterangan ringkas tentang apa yang berlaku
  • sebarang bukti yang ada seperti tangkap layar, gambar, atau rekod bertulis.

2. Semak saluran yang sesuai

Sesetengah kes perlu dirujuk kepada sekolah atau institusi terlebih dahulu, manakala sesetengah kes boleh diteruskan secara terus melalui portal ini.

Semak jenis kes anda dan pilih saluran yang paling sesuai sebelum meneruskan.

3. Isi borang dengan jelas

  • Isi semua maklumat yang diperlukan dengan tepat dan jelas.
  • Gunakan bahasa yang mudah difahami.
  • Sertakan bukti yang berkaitan jika diminta.
  • Pastikan maklumat hubungan anda adalah betul supaya pihak berkaitan boleh menghubungi anda jika perlu.

4. Hantar dan simpan rujukan anda

Selepas menghantar aduan, simpan nombor rujukan atau pengesahan yang diberikan. Ini penting untuk tindakan susulan.

Anda mungkin akan dihubungi untuk maklumat tambahan. Pastikan anda boleh dihubungi melalui maklumat yang diberikan.

Apa Berlaku Selepas Aduan Dihantar?

1. Semakan awal

  • Aduan anda akan dilihat terlebih dahulu untuk memahami situasi dan menentukan laluan yang sesuai.
  • Tribunal akan menyemak maklumat yang dibekalkan untuk menentukan kes seterusnya di Tribunal atau Saluran lain yang lebih bersesuaian.

2. Usaha penyelesaian jika sesuai

  • Jika Keadaan mengizinkan dan semua pihak bersetuju kes mungkin cuba diselesaikan lebih awal.
  • Tribunal boleh menentukan sama ada aduan boleh dirujuk ke Jabatan Bantuan Guaman untuk proses pengantaraan diadakan setelah kedua-dua pihak bersetuju.

3. Pendengaran tribunal

  • Jika kes perlu diteruskan, satu pendengaran akan diadakan secara tertutup untuk melindungi provasi pihak terlibat.

Rujuk Cara Membuat Aduan dan Proses Tribunal Antibuli untuk maklumat lanjut.

Muat Turun Akta Antibuli 2026

Untuk bacaan lanjut Akta Antibuli 2026 (Akta 876), anda boleh muat turun PDF di bawah:

Muat Turun juga:

Talian Kecemasan

Bagi bantuan segera atau konsultasi awal mengenai situasi keganasan dan buli, orang awam boleh menghubungi talian bantuan 24 jam:

  • Talian Kasih KPWKM: Hubungi talian 15999 (atau WhatsApp ke 019-2615999).
  • Befrienders Kuala Lumpur: Hubungi talian 03-7956 8145 untuk sokongan emosi dan kesihatan mental.
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM): Hubungi 999 sekiranya melibatkan kecederaan fizikal jenayah yang memerlukan tindakan polis segera.
Talian Kecemasan Malaysia
Gambar diambila daripada Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Contoh Kes Buli yang Berlaku di Malaysia

Kes Tragis Zulfarhan Putera (UPNM – 2017)

Kes ini heboh satu Malaysia apabila mangsa disahkan diseksa secara kejam menggunakan seterika wap oleh rakan-rakan sekuliahnya selepas dituduh mencuri komputer riba.

Ini dianggap salah satu kes buli paling sadis dalam sejarah Malaysia.

Keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM pada rayuan akhir kes tersebut.

Contoh Kes Buli yang Berlaku di Malaysia
Harian Metro

Kes Kematian Zara Qairina Mahathir (2025) – #JusticeforZara

Terbaru, kes kematian pelajar di Sabah Zara Qairina Mahathir yang ditemui ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari balkoni tingkat tiga asramanya.

Kes ini mencetuskan gelombang kemarahan luar biasa di media sosial selepas keluarga mendedahkan bukti rakaman panggilan bahawa mangsa sering mengadu takut dibuli oleh pelajar senior.

kes buli di malaysia
Bernama

Rujukan dan Pertanyaan

Untuk sebarang urusan aduan, rujukan, atau kemusykilan mengenai Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Tribunal Bagi Antibuli (TAB), sila salurkan ke:

  1. Portal Rasmi Tribunal Bagi Antibuli (TAB)
  2. Emel: tab@bheuu.gov.my.
  3. Talian Pejabat Tribunal: +603-2271 1000
  4. Ibu Pejabat: Kompleks operasi fizikal tribunal berpusat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.
  5. Soalan Lazim

Ayuh bersama kita banteras gejala buli!

tribunal antibuli

FAQ – Soalan Lazim Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Antibuli

Siapakah yang dilindungi di bawah Akta Antibuli 2026?

Akta ini terpakai khusus untuk melindungi individu berumur 18 tahun ke bawah atau mana-mana pelajar yang sedang mendaftar di institusi pendidikan di Malaysia.

Apakah jenis buli yang boleh dilaporkan kepada Tribunal?

Semua bentuk buli yang mendatangkan kemudaratan fizikal, gangguan psikologi (mental), tekanan emosi, kesedihan sosial, termasuk buli siber (cyberbullying) di platform media sosial.

Betulkah ibu bapa pembuli boleh dikenakan tindakan undang-undang?

Ya, betul. Akta ini memperkenalkan konsep joint liability (tanggungjawab bersama). Ibu bapa atau penjaga sah akan diheret bersama ke tribunal dan memikul liabiliti undang-undang atas perbuatan anak mereka.

Adakah pembuli akan dimasukkan ke dalam penjara biasa?

Tidak. Pendekatan tribunal adalah bersifat restoratif (pemulihan). Pembuli bawah umur akan diarahkan untuk membuat permohonan maaf rasmi, memadam kandungan buli siber, dan wajib mengikuti program intervensi serta kaunseling kesihatan mental.

Bagaimana jika pihak sekolah cuba menyembunyikan (cover line) kes buli tersebut?

Pihak sekolah kekal sebagai barisan hadapan. Bagaimanapun, jika sekolah gagal menyelesaikan kes dengan adil atau cuba menyembunyikannya, mangsa atau penjaga mempunyai hak undang-undang untuk membawa kes terus ke Tribunal.

Di manakah saya boleh memfailkan aduan secara rasmi?

Anda boleh mendaftar, mengisi borang, dan memuat naik bukti kes secara terus melalui portal rasmi di tab.bheuu.gov.my.

Bagaimana jika buli berlaku di luar sekolah?

Akta Antibuli 2026 meliputi kes buli yang melibatkan mangsa kanak-kanak yang merupakan pelajar walaupun kejadian berlaku di luar pengawasan sekolah. Dalam keadaan tersebut, aduan boleh dibawa terus kepada Tribunal bagi Antibuli.

Adakah sekolah tahfiz atau tempat perlindungan dilindungi di bawah Akta ini?

Sekolah tahfiz yang didaftarkan sebagai institusi pendidikan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan tempat perlindungan yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 adalah dilindungi di bawah Akta Antibuli 2026.

Disklaimer: Laman web eWarta.my adalah sebuah portal informasi bebas dan TIDAK mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan. Segala maklumat yang dikongsikan di dalam artikel ini diambil daripada portal rasmi agensi berkaitan sebagai rujukan am sahaja. Pembaca dinasihatkan untuk sentiasa merujuk terus ke saluran atau portal rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat paling tepat dan terkini.

Penulis bebas, aktif menulis di beberapa laman sesawang berkaitan gaya hidup, berita, info viral dan topik bebas.

View All Posts

You Missed