Info harian, berita, bantuan, semakan, permohonan, tips-tips dan perkongsian umum.
Info harian, berita, bantuan, semakan, permohonan, tips-tips dan perkongsian umum.

Skim Perubatan MADANI 2026 – Cara Semak Kelayakan & Senarai Klinik 

skim-perubatan-madani-cara-terima-rawatan-percuma

Skim Perubatan MADANI 2026 ini disediakan bagi memudahkan golongan sasar yang layak mendapatkan rawatan pesakit luar atau kes penyakit ringan di klinik swasta terdekat yang ada panel MADANI secara percuma.

Jadi, kalau anda layak untuk guna Skim Perubatan MADANI ini, and boleh pergi terus ke klinik swasta terdekat sekiranya mengalami demam, cirit birit, selesema, batuk, gatal-gatal, terseliuh dan sebagainya.

Tak perlu dah pergi ke hospital kerajaan dan bazir masa menunggu lama untuk dapatkan rawatan. Manfaatkan lah skim bantuan yang kerajaan sediakan ini.

Untuk menyemak kelayakan sama ada anda layak atau tidak untuk menggunakan Skim Perubatan MADANI 2026 dan senarai klinik yang menyediakan skim ini, sila rujuk perkongsian di bawah.

Skim Perubatan MADANI Itu Apa?

Skim Perubatan MADANI ini adalah bantuan daripada kerajaan untuk golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendapatkan rawatan percuma di klinik swasta biasa.

Kalau setakat demam, batuk, selesema, muntah, atau luka kecil, tidak perlu lagi pergi beratur panjang atau menunggu berjam-jam di hospital kerajaan.

Kelayakan skim ini adalah automatik tanpa perlu daftar, jadi anda cuma perlu bawa Kad Pengenalan (IC) asal dan pergi ke mana-mana klinik swasta yang ada logo Skim Perubatan MADANI.

Selepas doktor periksa dan beri ubat, boleh terus balik rumah tanpa perlu bayar satu sen pun, asalkan baki bantuan tahunan masih ada.

skim-perubatan-madani

Siapa Layak Guna Skim Perubatan MADANI?

  • Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berkeluarga, warga emas (tanpa pasangan) dan bujang.
  • Kelayakan adalah secara automatik.
  • Mereka yang layak WAJIB membuat pengisytiharan bahawa mereka TIDAK menerima mana-mana manfaat yang sama atau serupa seperti Skim ini daripada mana-mana skim majikan/kerajaan negeri/agensi perubatan lain.

Kelayakan akses bagi Skim Perubatan MADANI dipautkan secara langsung dengan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)

Sekiranya nama anda atau pasangan tersenarai sebagai penerima sah STR 2026, maka anda serta tanggungan berdaftar di bawah isi rumah anda secara automatik layak menikmati skim perubatan percuma ini.

Had Manfaat

Berikut adalah pecahan kategori penerima berserta had siling kos rawatan maksimum yang ditanggung bagi tahun 2026:

1. Kategori Isi Rumah Berkeluarga

  • Had Manfaat Tahunan: RM250.
  • Sasaran: Merangkumi ketua keluarga, pasangan, serta anak-anak atau tanggungan sah yang didaftarkan di dalam sistem STR.

2. Kategori Warga Emas (Tanpa Pasangan)

  • Had Manfaat Tahunan: RM125.
  • Sasaran: Individu warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai pasangan (sama ada bujang, duda, atau balu).

3. Kategori Individu Bujang & OKU

  • Had Manfaat Tahunan: RM75.
  • Sasaran:
    • Individu bujang biasa yang berumur antara 21 hingga 59 tahun.
    • Individu bujang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) berumur antara 19 hingga 59 tahun.

Setiap kali anda selesai menerima rawatan di klinik panel, baki had manfaat tahunan ini akan ditolak secara automatik mengikut jumlah kos rawatan sebenar yang dikenakan oleh doktor.

Syarat Kelayakan Skim Perubatan MADANI & Had Manfaat Tahunan 2026

Cara Guna Skim Perubatan MADANI

Nak guna Skim Perubatan MADANI tapi tak tahu caranya? Rujuk panduan di bawah.

  1. Semak Kelayakan: Pastikan anda status layak di laman web rasmi ProtectHealth sebelum ke klinik.
  2. Cari Klinik Panel: Pergi ke mana-mana klinik swasta yang mempunyai pelekat logo Skim Perubatan MADANI.
  3. Bawa MyKad: Tunjukkan Kad Pengenalan anda kepada petugas di kaunter pendaftaran klinik.
  4. Terima Rawatan: Dapatkan rawatan sakit ringan secara percuma. Kos rawatan akan ditolak terus daripada baki had manfaat tahunan anda.

Apa Rawatan yang Boleh Digunakan untuk Skim Perubatan MADANI?

Skim Perubatan MADANI dikhususkan untuk Rawatan Penjagaan Kesihatan Primer Akut sahaja.

A. Senarai Simptom & Sakit Ringan yang BOLEH Dirawat (Ditanggung)

Penerima boleh mendapatkan konsultasi, pemeriksaan fizikal, prosedur ringan, dan ubat-ubatan bagi kes berikut:

  • Demam, batuk, selesema, dan jangkitan saluran pernafasan.
  • Cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut, dan keracunan makanan.
  • Sakit kepala, migrain, dan pening mual.
  • Terseliuh, lebam otot, dan sakit sendi ringan.
  • Trauma ringan seperti luka kecil, calar, gatal-gatal kulit, atau gigitan serangga ringan.

B. Senarai Perkhidmatan Kesihatan yang TIDAK TERMASUK (Dikecualikan)

Manfaat skim ini tidak boleh digunakan bagi tujuan perkhidmatan klinikal berikut:

  • Imunisasi / Vaksinasi Rutin (Contoh: Suntikan bayi atau vaksin influenza).
  • Saringan Kesihatan Am (Contoh: Ujian darah menyeluruh, ujian air kencing, atau x-ray rutin).
  • Rawatan Susulan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Rutin (Contoh: Janji temu berkala bagi penyakit darah tinggi, kencing manis, atau kolesterol tinggi).
  • Rawatan Susulan Ibu dan Anak Rutin (Contoh: Pemeriksaan kandungan berkala atau buku merah).
  • Perancangan Keluarga (Contoh: Suntikan perancang atau pil perancang keluarga).
  • Perkhidmatan Rehabilitasi (Contoh: Sesi fisioterapi dan terapi pemulihan carakerja).
  • Permintaan Ubat Tanpa Konsultasi (Contoh: Membeli ubat di kaunter tanpa pemeriksaan doktor).
  • Permintaan Suplemen (Contoh: Pembelian vitamin, minyak ikan, atau zat besi).
Kategori Rawatan yang Ditanggung Skim Perubatan MADANI & Dikecualikan

Bagaimana Nak Semak Kelayakan Skim Perubatan MADANI?

Sebelum anda melangkah ke mana-mana klinik perubatan swasta, anda boleh menyemak status kelayakan Skim Perubatan MADANI melalui kaedah di bawah:

Kaedah 1: Semakan Melalui Laman Web Rasmi ProtectHealth

  1. Layari portal semakan kelayakan di pautan: https://kelayakan-spm.protecthealth.com.my/.
  2. Masukkan Nombor Kad Pengenalan (12 digit tanpa sempang) ke dalam ruangan yang disediakan.
  3. Tandakan pada kotak verifikasi keselamatan “I’m not a robot”.
  4. Klik butang “Semak”. Sistem akan terus memaparkan status sama ada anda “Layak” atau “Tidak Layak” bersama kategori manfaat anda.
Skim Perubatan MADANI 2026

Kaedah 2: Semakan Melalui Aplikasi MySejahtera

  1. Buka aplikasi MySejahtera di telefon pintar anda.
  2. Di halaman utama (Home Page), anda akan melihat ikon khusus atau sepanduk maklumat mengenai Skim Perubatan MADANI.
  3. Klik pada pautan “Check my eligibility”. Status kelayakan anda yang diintegrasikan dengan pangkalan data STR akan dipaparkan dengan jelas.

Kaedah 3: Melalui Aplikasi Rasmi Perubatan MADANI

Pihak ProtectHealth turut menyediakan aplikasi dedikasi untuk memudahkan pengguna memantau hak perlindungan kesihatan mereka.

Di Mana Lokasi Klinik Skim Perubatan MADANI?

Bagi menikmati rawatan percuma ini, anda wajib mengunjungi klinik perubatan swasta (GP) yang telah berdaftar secara sah sebagai panel ProtectHealth. Klinik-klinik ini biasanya memamerkan pelekat (sticker) logo rasmi Skim Perubatan MADANI di luar premis atau pintu masuk mereka.

Untuk mencari klinik panel yang paling hampir dengan lokasi rumah atau pejabat anda (Klinik Skim Perubatan Madani Near Me), ikuti langkah pencarian digital berikut:

  1. Layari portal carian klinik di pautan: Klinik Panel Skim Perubatan MADANI 
  2. Klik atau pilih butang ‘Cari Klinik Skim Perubatan Madani’.
  3. Pilih maklumat Negeri, Daerah, dan Bandar anda daripada menu lungsur (drop-down).
  4. Klik butang ‘Cari’.
  5. Sistem akan menyenaraikan nama penuh klinik, alamat premis, serta nombor telefon untuk rujukan anda.

Nota Lokasi Fokus Utama: Walaupun pendaftaran klinik baharu sentiasa dibuka dan meningkat dari semasa ke semasa di seluruh negara, tumpuan aksesibiliti utama dilaksanakan di daerah-daerah padat penduduk termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Johor Bahru, Kinta, Timur Laut Pulau Pinang, Kota Kinabalu, dan Kuching.

4 Cara Mudah Menyemak Baki Manfaat Perubatan

Kalau nak semak berapa baki had tahunan anda, ikuti 4 cara mudah membuat semakan di bawah:

  1. Semakan Di Kaunter Klinik: Semasa mendaftar masuk atau selepas menerima rawatan, anda boleh terus bertanyakan jumlah baki semasa kepada staf kaunter klinik. Mereka boleh menyemak baki langsung melalui sistem ProtectHealth.
  2. Semakan Melalui Aplikasi Telefon: Log masuk ke dalam aplikasi khusus Skim Perubatan Madani untuk melihat baki ringgit bantuan anda dikemas kini secara masa nyata (real-time).
  3. Notifikasi SMS Automatik: Biasanya, sistem pusat akan menghantar pesanan ringkas (SMS) pengesahan ke nombor telefon anda sejurus selepas rawatan selesai, lengkap memaparkan kos rawatan dan baki manfaat terkini.
  4. Talian Khidmat Pelanggan: Anda juga boleh membuat panggilan terus ke talian rasmi ProtectHealth di nombor +603-8687 2525 untuk urusan semakan baki dan bantuan teknikal.
skim-perubatan-madani-2025-semakan

Rujukan dan Pertanyaan

Untuk rujukan rasmi, aduan, atau sebarang pertanyaan mengenai Skim Perubatan MADANI, anda boleh menghubungi pihak ProtectHealth Corporation (urus setia rasmi pelaksana skim di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia).

FAQ – Skim Perubatan MADANI

Siapakah yang layak menerima Skim Perubatan MADANI ini?

Semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori Isi Rumah Berkeluarga, Warga Emas (tanpa pasangan), dan Bujang.

Adakah saya perlu mendaftar terlebih dahulu?

Tidak perlu. Kelayakan adalah secara automatik. Anda hanya perlu menyemak status sama ada anda layak atau tidak dan membawa MyKad ke klinik panel bagi mendapatkan rawatan sekiranya layak.

Bagaimanakah cara untuk menyemak status kelayakan?

Anda boleh menyemak kelayakan melalui portal rasmi Semakan Kelayakan ProtectHealth atau menggunakan aplikasi MySejahtera.

Berapakah had amaun rawatan percuma yang diberikan?

Isi Rumah Berkeluarga: RM250, Warga Emas (Tanpa Pasangan): RM125, Kategori Bujang: RM75

Bolehkah saya menggunakan skim ini berulang kali?

Boleh. Anda boleh mendapatkan rawatan beberapa kali sehingga baki had manfaat tahunan kategori anda habis sepenuhnya.

Adakah saya perlu membayar apa-apa caj di klinik?

Tidak. Tiada sebarang bayaran atau caj tambahan boleh dikenakan kepada pesakit bagi rawatan dan ubat-ubatan di bawah skop kes akut.

Apakah jenis rawatan yang ditanggung?

Hanya rawatan pesakit luar kes-kes akut (sakit ringan) seperti demam, selesema, batuk, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, dan luka ringan.

Di manakah saya boleh mendapatkan rawatan ini?

Di mana-mana Klinik Perubatan Swasta (General Practitioner / GP) yang berdaftar secara rasmi di bawah urus setia ProtectHealth. Klinik terlibat biasanya mempunyai pelekat logo rasmi “Skim Perubatan MADANI” di premis mereka.

Penulis bebas Bahasa Melayu, suka menulis mengenai travel, kewangan, isu semasa, bantuan kerajaan, keagamaan dan berita tempatan.

View All Posts

You Missed